Buku berkulit keras dengan tajuk Advanced Surgical Techniques
for Rural Surgeons oleh Amy L. Halverson ditutup. Arief menanggalkan kaca mata
berbingkai putih yang setia bertenggek sejak tiga jam lalu di atas hidungnya.
Dia menarik sapu tangan lembut dari poket beg laptop dan habuk yang melekat
pada kaca mata itu dibersihkan. Kepalanya digerakkan ke kiri kanan, cuba melegakan
otot-otot leher dan serentak itu tengkuknya mengeluarkan bunyi keriuk-keriuk.
Arief
menjawab salam itu perlahan lantas menoleh.
‘Apa
lagi dia nak ni,’ rungutnya dalam hati.
Namun
rasa sebal itu ditutup dengan senyum pendek. Cukup untuk tidak dicop sombong.
Kaca mata dikenakannya semula. Dia angkat kening, bertanya.
“Arief,
saya nak minta simpati awak, boleh? Dah sepuluh kali saya rombak Bab 4 ni, tapi lecturer tu masih tak terima. Saya
dah naik pening nak siapkan tesis ni tau,” keluh gadis itu.
“Bagi
saya tengok. Mana tahu ada yang boleh dibantu,” Arief menghulurkan tangan
menyambut fail yang dihulurkan.
“Terima
kasih,” ucap gadis tadi dengan lenggok suara manja.
Namun
sesaat kemudian mukanya bertukar masam kerana dilihatnya Arief tidak berminat. Mata
lelaki itu fokus ke atas draf tesis yang dihulurkannya tadi.
“Arief,
awak tahu tak? Awak nampak kacak sangat dengan muka serius macam tu. Dah la
baik hati, suka membantu pulak tu!”
Arief
berhenti meneliti draf tesis itu. Dia
menatap tawar wajah Zetty yang tersenyum-senyum memandangnya.
“Maafkan
saya. Rasanya saya tak boleh nak tolong awak kalau awak bersikap macam orang
tak cukup oksigen,” suaranya kedengaran perlahan tapi tegas.
Hakikatnya
dia rimas dengan sikap mengada-ngada Zetty. Fail itu ditutup dan ditolak ke hadapan
Zetty yang ternganga.
“Baru
usik sikit pun dah merajuk. Apa yang awak suka sangat dengan Idura tu? Saya lebih bergaya dan jelita tau! Saya yang sangat
sesuai dengan awak.”
Arief
berkerut memandang Zetty sambil menggeleng.
“Spesies
apa awak ni? Kurang nutrisi ke? Awak perlu makan makanan berkhasiat supaya
sel-sel otak tu cepat berhubung.”
Zetty
mengherot bibir tanda tidak puas hati dengan gurauan lelaki itu.
“Jadi
macam mana? Awak boleh tolong saya ke tak?” soalnya tidak berputus asa.
“Boleh tu boleh. Tapi awak janji. Lepas ni,
awak tolong study jauh-jauh.”
Kecut
perut Zetty apabila diberi amaran begitu. Mahu tidak mahu, dia mengangguk
dengan mulut muncung. Dia menunggu Arief membaca dan menanda di sana sini
dengan pen berdakwat merah.
“Nah,
setakat ini saja yang boleh saya bantu. Mana-mana yang saya dah tandakan tu,
awak edit semula. Pergilah study dengan kumpulan awak. Saya pun ada hal ni.”
Zetty
beredar dengan mulut sedepa. Arief angkat bahu, malas mahu melayan karenah
begitu.
Jam dinding berbentuk empat segi
berbingkai hitam di sebelah kanan dipandang. Dilihatnya jarum pendek sudah
melekap di atas angka dua belas dan jarum panjang sudah menyentuh angka enam.
Tak mungkin! Tepat pukul 12.30 tengah
hari!
Laptop dipadam dan disimpan ke dalam
beg. Langkahnya panjang-panjang saat meninggalkan ruang menelaah tingkat satu
itu lalu segera keluar dari ruang perpustakaan. Rimbunan buluh berbatang kuning
dan berdaun hijau tirus, tegak subur menghiasi kawasan luar bangunan. Satu
panorama yang cukup menyegarkan mata setelah letih menelaah berjam-jam.
Arief meraba kocek jeans.
“Nasib baik ada wang kertas seringgit
ni,” sengihnya suka.
Mesin minuman segera yang disediakan
berhampiran pintu utama dihampiri. Dia memasukkan wang kertas tadi, menekan
punat pada minuman pilihan dan siap.
Arief tunduk dan berhati-hati mengangkat
minuman panas dalam gelas kertas itu. Tubuhnya
kembali terasa hangat setelah dicengkam dingin di dalam perpustakaan tadi.
Di
bawah bayang-bayang sepohon buluh, Arief menyandar sambil sesekali mengesat
titis peluh yang mula terbit di kaki rambut. Akibat terlalu lama berada di
dalam ruang berhawa dingin, peluhnya cepat sahaja merintik apabila berada di
kawasan berbahang begini. Matanya aktif mengecam setiap wajah yang melintas di
hadapan.
Kelibat
gadis yang bermata kejora itu ditunggu. Mustahil dia telah menjadi gadis
halimunan. Kalau tidak pun, mustahil sudah berubah saiz. Dari comel molek
berubah menjadi bulat montel sehingga dia tidak mampu mengecamnya lagi hari
ini.
Sejak
Tahun Pertama sehingga semalam, pada waktu-waktu begini, gadis itu sudah
muncul. Ruang legar perpustakaan ini adalah laluan wajibnya setiap hari. Lenguh
kaki memujuk-mujuknya untuk duduk. Bangku-bangku kayu yang dipayungi pohon
rimbun menghijau kelihatan amat selesa untuk dijadikan tempat melabuhkan
punggung.
‘Pasti
dia akan muncul sebentar lagi,’ semangat lelakinya tetap berada di tahap
tertinggi.
Dari
angka enam, jarum minit sudah berputar satu pusingan penuh dan kini kembali ke
angka enam semula. Genap satu jam. Butiran peluh sudah bertenggek di puncak
hidung. Sapu tangan bercorak belang kelabu putih ditarik dari kocek seluar
sebelah kiri dan peluh itu dikesat.
“Ingatkan batang buluh tersalah tumbuh kat sini.
Tegak tak bergerak-gerak. Rupa-rupanya kau!”
Bahunya menerima habuan dari buku lima tuan punya
suara.
“Muka
macam ni kau kata batang buluh? Bertuahnya badan dapat kawan yang pandai
memuji,” Arief membalas dan kata-katanya disambut dengan gelak besar Bryan.
“Heishh,
nak kata aku tak pernah beri motivasi kat kau, tipu besar la tu. Setiap sesi
yang aku bagi tu percuma. Cuma aku tak tahu la pula sama ada kau dengar atau tak.
Aku dah kata, luahkan! Bimbang berlaku macam lagu ‘Jangan Tunggu Lama-Lama’. Tapi
kau gelakkan aku. Kau kata, klise!”
Arief
terangguk-angguk namun sambil tersengih dia membalas, “Lawak antarabangsa mana
pula kau cedok ni! Bila masa aku gelak-gelakkan kau? Paling teruk pun aku hanya
ketawa macam penjahat dalam cerita Enam Jahanam.”
Dengan
muncung kasut Adidas bersaiz sembilan itu, sebutir batu kecil ditendangnya
perlahan. Batu itu tergolek terus ke celah-celah rimbunan bunga berhampiran. Sejurus, wajah
Bryan dipandang.
“Kalau
kau tak serius, aku pun angkat tangan. Sesi motivasi selepas ini akan
berbayar,” sambil terangguk-angguk Bryan berkata dan topi keledarnya erat
dikepit di bawah lengan kanan.
“Siapa
kata aku tak dengar nasihat kau. Untuk kali kedua, hari ini aku akan luahkan
sekali lagi semuanya,” Arief menepuk beberapa kali bahu jejaka yang separas
bahunya itu.
“Baik, kalau itu kau kata, aku pun senang
hati. Sekarang, aku balik dulu. Malam nanti ada perlawanan persahabatan dengan
Fakulti Pendidikan. Aku nak rehat cukup-cukup. Kau nak balik sekali atau nak
tunggu lagi ni?”
Sungguh
mengambil berat pula jejaka Bumi Kenyalang itu hari ini. Biasanya dia hanya
mengambil tahu hal bola keranjangnya saja.
“Sekejap
lagi aku balik,” putus Arief.
“Ingat!
Jangan diperuk lagi buat pekasam.” Bahu
Arief ditepuk beberapa kali. Menaikkan semangat.
“Bukannya
aku langsung tak pernah beri hint. Bukan setakat hint tapi luahan perasaan,
tahu? Ingat lagi semasa aku berterus-terang dulu? Ingat lagi tak peristiwa penting semasa kita
di Tahun Pertama tu?” Arief berharap, dengan soalan bertalu-talu itu Bryan
boleh mengingat semula peristiwa hampir empat tahun lepas..
“Tahun Pertama? Pandai juga batang buluh
ni buat lawak!” Arief menggeleng-geleng.
Batang
buluh lagi! Bryan tak sedar agaknya yang dia tu ala-ala tiang bola keranjang!
“Kawan,
itu cerita lama! Kalau kau tak refresh, mesti dia sangka yang kau sekadar
meluahkan perasaan untuk suka-suka. Kita akan bercuti panjang selepas ini,
kalau bukan sekarang, bila lagi?” nasihat Bryan akhirnya terhadam juga di benak
Arief.
Kata-kata
itu mengukuhkan lagi nekadnya untuk meneruskan misi hari ini. Misi meluahkan
isi hati!
“Aku
harap, dia tak rasa didesak untuk beri jawapan,” perlahan Arief membalas.
Dilihatnya Bryan menggeleng mendengar kata-kata itu.
Hujung
telunjuk kiri Bryan memutar-mutar kunci motorsikalnya. Sesaat mata Arief menjeling
sebuah parit kecil cetek yang hanya beberapa langkah dari tempat mereka
berdiri. Bagaimana agaknya reaksi Bryan jika kunci itu tiba-tiba terpelanting
lalu jatuh ke dalam parit itu? Fikiran spontan itu membuatkannya tersengih.
“Hah!
Memang sah kau ni dah sasau! Sekejap berkerut, sekejap sengih. Luahkan! Sampai
bilik nanti kalau aku tahu kau masih buat pekasam, rasakan penumbuk sulung aku
ni. Kau boleh pilih sendiri sama ada mahu aku daratkan ke hidung atau pun ke
muncung kau tu,” Bryan menunjukkan buku limanya di hadapan batang hidung Arief.
“Kalau
orang lain tengok kau buat macam ni, boleh jadi kontroversi. Tak pasal-pasal
mereka fikir kita bergaduh,” Arief menolak buku lima itu menjauh.
“Kau
baliklah dulu. Kejap lagi aku balik,” tegasnya sekali lagi.
Dia
tidak mahu melihat riak risau di mata Bryan untuknya. Bryan menghembus nafas
sarat sambil mengangguk.
“Kalau itu jawapan kau, aku balik dulu.
Good luck,” Bryan menepuk bahu Arief sebelum menunggang motosikalnya pergi.
Arief mengangguk mendengar harapan itu.
Selajur
Bryan pergi, mata Arief tiba-tiba terpandangkan Nabila. Rakan baik gadis yang
ditunggu-tunggunya namun belum muncul. Arief memanjangkan langkah menghampiri.
Lenguh kakinya terasa hilang.
“Assalamualaikum,”
Arief mempercepatkan langkah cuba bersaing. Nabila masih meneruskan langkahnya
dengan tenang.
“Nabila!”
Gadis
itu menoleh apabila terdengar namanya diseru.
“Waalaikumsalam.
Ingatkan awak tegur orang lain tadi,” senyumannya terus menghilangkan lenguh
kepala lutut.
“Maaflah
kalau saya menganggu awak di tengah panas ni. Awak seorang? Kawan awak mana?”
ajunya tidak membuang masa. Matanya terus tertinjau-tinjau. Mana tahu jikalau
gadis yang ditunggu berada di sekitar situ.
“Kawan
aku yang mana satu ni?”
Matanya
sengaja dikecilkan memadang Nabila sambil dalam hati dia berkata, ‘Pura-pura
tak faham lagi Nabila ni. Bukankah setiap hari aku menunggu kawan dia yang
seorang tu. Semua warga kampus ini sedia maklum yang aku sentiasa menunggu
gadis itu.
“Idura
Lisa,” dengan getar-getar halus dalam dada, nama itu disebut.
“Oh,
Idura,” jawab Nabila sambil terangguk-angguk lantas menyambung.
“Idura
memang ada tadi tapi dia sudah minta izin untuk balik awal. Petang nanti dia
akan bertolak. Katanya, ada hal penting yang perlu dibereskan. Mungkin sekarang
dia sedang sibuk berkemas di dalam bilik.”
“Tapi
bukankah masih ada seminggu lagi sebelum cuti panjang? Ini tahun akhir kita.
Selepas ni, di majlis konvokesyen nanti baru kita dapat berjumpa lagi. Itu pun
kalau terjumpa masa tu. Mesti semua orang sibuk,” Arief melepas nafas berat.
Sesaat,
wajah Nabila yang berkerut menahan panahan terik matahari, dipandang. Terpacul
soalan dari mulutnya.
“Kenapa Idura begitu awal tinggalkan kampus?
Awak tahu kenapa?”
“Tahu
tu memanglah tahu tapi aku tak nak mungkir janji. Idura tak nak ada sesiapa
tahu kenapa dia nak balik awal. Katanya, biarlah kawan-kawan tahu sendiri
nanti. Kononnya nak bagi kejutan. Jadi, kita tunggu saja la dia sendiri yang
umumkan, ya?”
Tiba-tiba
Arief merasakan jasadnya berubah menjadi sekeping puzzle yang banyak lompang.
Berlubang di sana sini.
“Awak
buat aku rasa tak sedap hati. Nak umumkan apa?”
Wajah
Arief berombak hampa apabila soalannya hanya disambut dengan gelengan Nabila.
“Okey,
tak apa. Kalau aku nak jumpa dia sekarang, awak rasa dia ada masa tak? Aku
janji tak lama,” Arief mengangkat tangan kanannya seperti berikrar.
Dengan
wajah meminta simpati dia menyambung,
“Awak tolong boleh tak?”
Arief
melempar jauh-jauh ego lelakinya hari ini. Perkara yang mahu diluahkannya
kepada Idura adalah jauh lebih penting berbanding semua agenda yang ada pada
hari ini.
“Itu aku tak pasti. Setahu aku, dia nak cepat
balik rumah. Tapi kalau nak jumpa juga, kau perlu fikirkan sendiri idea yang
bagus.”
“Idea
yang bagus? Maksud?”
“Itu
kau kena fikirlah sendiri. Sebab yang kukuh untuk dijadikan alasan mahu
berjumpa,” cadang Nabila.
Kata-kata
gadis itu mendorong otaknya berputar ligat. Idea yang bagus dan sebab yang
kukuh? Arief memacu otaknya agar berfikir pantas. Mesti cerdas! Kasihan pula
dengan Nabila yang mula mengesat peluh di pipi.
“Dah
dapat!” Arief petik jari.
“Hah!
Apa idea tu?” bersinar mata Nabila yang menunggu sejak tadi.
“Tunggu
sekejap!” Arief cepat-cepat mengeluarkan pen dan buku nota sebesar tapak tangan
dari dalam beg di belakangnya.
“Nota
cinta?” Nabila tergelak namun dia cepat-cepat menekup mulut bila dilihatnya
wajah Arief yang berkerut-kerut sambil tangannya pantas menulis sesuatu pada
kertas kecil itu.
“Macam
cerita cinta zaman dulu-dulu pula. Main koyak-koyak kertas, main posmen-posmen.
Tapi tak apa. Aku akan sampaikan.”
Arief
senang hati mendengarnya. Maka, kata-kata ringkas yang membawa hasrat murninya
itu selesai dicatat.
“Aku
tahu, Idura seorang gadis yang baik dan bertimbang rasa. Aku berdoa semoga dia
akan sudi berjumpa dengan aku nanti,” perlahan Arief bersuara.
Nota
sekeping itu dikoyak dan melipatnya sekemas-kemas. Arief bangun dan lipatan itu
diberi pada Nabila.
Nabila
mengeleng saat nota kecil itu beralih tangan.
“Dalam
panas terik begini, melutut macam ni, aku pun turut bersimpati,” keluh Nabila
perlahan namun sempat singgah di gegendang Arief.
“Tolong
sampaikan yang aku sangat perlu berjumpa dia. Memang nota tu kecil tapi maksud
di dalamnya sangat besar.”
Nabila
mengangguk sungguh-sungguh. Cahaya matanya sayu namun payah untuk ditafsir.
Selepas mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga buat Nabila yang baik
hati, Arief memecut motosikal balik ke bilik. Seketika kemudian, tubuh rendang
Nabila hilang di dalam perut bas kampus.
2 comments:
tengkiu, encik anonymous yg sudi singgah membaca di sini.
Sama sama.. ������
Post a Comment