Setelah menjawab segala soalan yang diajukan, barulah
Arief bergegas ke ruang pejabatnya untuk menyalin pakaian. Mujur di dalam
almari kecilnya sentiasa ada sepasang dua pakaian lengkap. Pakaian yang
digunakannya jika perlu bertugas melebihi dua puluh empat jam.
Usai
bersiap ala kadar, Arief segera merujuk kes kemalangan tadi di wad kecemasan.
Dalam perjalanan, dia bertembung dengan seorang jururawat yang membantu kes
sebentar tadi.
“Bagaimana
keadaan mangsa?” pantas Arief bertanya.
“Lelaki
itu mengalami kecederaan yang teruk di kepala dan meninggal dunia,” lapor
Jessica.
“Ada seorang wanita mengandung di sebelah
mangsa, kan?”
“Ya,
wanita mengandung itu sedang cuba diselamatkan. Rupanya, bukaan sudah melebihi
7 cm. Tujuan mereka datang ke hospital sudah pasti sebab wanita itu hendak
melahirkan. Tetapi berlaku hentakan pada kepala wanita tu. Tapi nasibnya sangat
baik kerana dia sedar sepanjang kontraksi dan bayi dapat dilahirkan secara
normal,” terang Jessica lebih lanjut.
Arief
mengangguk sambil mendengar dengan teliti segala butir bicara Jessica.
“Baiklah.
Saya pergi dulu,” Jessica hampir beredar apabila Arief menahannya semula.
“Jess,”
panggilnya.
Langkah
jururawat itu terhenti. Dia menoleh sambil mengangkat kening bertanya.
“Tolong
hantar ke bilik saya apa-apa barang yang berkaitan dengan mangsa. Biar saya
yang menghubungi keluarganya. Saya perlu terangkan kejadian sebenar dan meminta
maaf dari mereka,” tutur Arief.
Jessica
mengangguk kemudian beredar.
Arief
berpatah balik ke pejabatnya. Kepalanya terasa pening dan dadanya tiba-tiba
sesak. Dia bernafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan-lahan. Ketika itu,
pintu diketuk dari luar. Arief berdiri dan melihat dari lubang kecil dan
setelah pasti gerangan yang berdiri di luar, daun pintu dikuak.
“Masuklah,”
jemput Arief dan dia kembali duduk di kerusinya. Maisara melangkah masuk.
“Ini
kunci kereta dan telefon bimbit abang,” katanya dan barang-barang itu
diletakkannya di atas meja.
“Terima
kasih, Sara. Abang betul-betul kalut tadi. Rasa seperti bermimpi,” keluh doktor
muda itu sambil kedua belah tangannya meraup wajah. Keresahan jelas kelihatan
di situ.
“Apa
yang berlaku sebenarnya?” Maisara duduk di kerusi di di hadapan meja Arief.
“Abang
sedang bercakap dengan staf dari wad kecemasan jadi abang memperlahankan
kereta. Tiba-tiba abang terdorong dan bunyi berdentum di belakang. Cuba lihat
di luar tu. Semasa kejadian, hujan lebih lebat lagi,” mata Arief menghala ke
tingkap dan pandangan Maisara mengekori.
“Salah
abang sebab tiba-tiba memperlahankan kereta tanpa melihat melalui cermin
belakang jika ada kenderaan lain atau
tidak,” keluhnya.
“Bukan
seratus-peratus salah abang. Kereta mangsa tu yang mengekor terlalu rapat.
Syukurlah, abang tak apa-apa,” Maisara cuba menenangkan.
Pintu
diketuk. Serentak mereka menoleh dan Jessica sedang berdiri di tepi pintu yang
sedia terbuka.
“Dr.Arief,
ini barang peribadi mangsa. Dompet, telefon bimbit dan sebatang pen daripada
poket baju. Doktor serahkan sendiri apabila keluarga mangsa sampai. Saya sudah
menghubungi mereka,” beritahu jururawat itu dan plastik berisi barang-barang
tadi diletakkannya di atas meja di hadapan Arief kemudian beredar.
Lama
Arief merenung plastik tersebut dengan dada yang sebak. Sambil menahan rasa bersalah
yang menghentam dada, dia mengeluarkan sepasang sarung tangan dari dalam laci
mejanya. Sarung tangan itu dipakai berhati-hati kemudian Arief membuka plastik
berisi barang-barang tadi.
Didorong
perasaan ingin tahu akan gerangan mangsa, Arief mencapai dompet berwarna coklat
gelap itu dan membukanya. Di antara banyak kepingan kad yang terselit, Arief
menarik keluar kad pengenalan.
Aidil Ikhwan bin Razak.
Semasa
mahu menyelitkan semula kad pengenalan itu ke tempatnya, sekeping gambar
sepasang pengantin yang lebih kurang saiznya dengan kad pengenalan tadi
tiba-tiba meluncur jatuh tepat di hujung kasutnya. Arief tunduk hendak mengutip
apabila tiba-tiba dirasakannya dunia berputar dan pandangannya berpinar
beberapa saat. Seandainya dia sedang berdiri, sudah pasti dia memerlukan
sesuatu sebagai tempat berpaut.
Idura
Lisa?
Mangsa
itu ialah suami Idura Lisa?
“Kenapa
dengan abang ni? Abang okey ke? Mungkin dada abang terdorong kuat kat stereng
tadi. Biar Sara call bilik X-Ray,”
tangan Maisara sudah mendarat di atas gagang telefon di atas meja namun segera
ditahan.
“Ramai
lagi pesakit yang perlukan perkhidmatan tu. Tak perlu ganggu pegawai yang
bertugas di sana. Abang okey,” Arief menghalang.
Maisara
mengetap bibir sambil menjeling Arief tanda protes.
“Sara
janganlah risau. Abang tahu jaga diri,” tambah Arief.
Maisara
hanya mampu menggeleng dan melepaskan nafas berat.
“Abang,
Sara hampir terlupa. Sara perlu melawat pesakit di wad tibi sekejap lagi. Sara
keluar dulu. Abang janji dengan Sara, kalau abang rasa apa-apa yang tak kena,
cepat-cepat telefon Sara,” Maisara membulatkan mata.
Arief
mengangguk. Hatinya lega sebaik derap sepatu doktor jelita itu hilang. Gambar
pasangan pengantin tadi dicapai dan ditatap semula. Lama.
Arief
segera menghubungi Jessica dan dia dimaklumkan bahawa jasad mangsa sudah
dipindahkan ke bilik jenazah dan pada masa yang sama keluarga mangsa juga sudah
menunggu.
Arief
meneliti semula barang-barang di dalam plastik jernih di atas mejanya. Sebatang
pen hitam berjenama menarik perhatian. Pen itu dicapai dan dibelek. Terdapat tulisan
di sepanjang badan pen yang diukir dengan warna emas. Arief meneliti tulisan
halus itu.
Idura Lisa - love - Aidil Ikhwan.
Arief
menarik nafas dalam sambil matanya dipejam. Pen itu diputar-putar di hujung
jari.
‘Bagaimana
keadaan Idura sekarang? Adakah dia sudah mendapat berita tentang suaminya?
Mampukah dia menerima kenyataan yang suaminya sudah tiada? Bagaimana pula jika
Idura tahu yang aku adalah penyebab kemalangan itu?’
Arief
tersandar lesu memikirkan segala persoalan yang menghentam benaknya. Tiba-tiba
dia teringat keluarga mangsa yang sedang menunggu. Arief berdiri dan tanpa
sedar dia memasukkan pen itu ke dalam saku kot putihnya dan bukannya ke dalam
plastik tadi!
Langkah
kakinya pantas menghala ke kamar jenazah. Dari jauh dia dapat melihat dua orang
lelaki dan dua orang wanita. Keempat-empatnya kelihatan sudah separuh umur
namun masih nampak sihat.
“Ini
Doktor Arief?” salah seorang lelaki itu menyapa setelah salamnya dijawab oleh
Arief tadi. Arief mengangguk. Setenang-tenang senyuman cuba dipamerkan.
“Saya
Abdul Razak. Panggil Pakcik Razak je, ayah kepada Aidil,” terhenti sebentar
kata-katanya dan dengan suara sayu menyambung, “Arwah Aidil.”
Arief
terasa jantungnya dihiris pedih. Tidak sanggup dia melihat wajah seorang ayah
yang diselubung perasaan kehilangan itu. Jiwanya mendakap erat-erat kesedihan
lelaki itu dari jauh.
“Saya ucapkan takziah kepada keluarga pakcik,”
ucap Arief perlahan.
Esakan
hiba dua orang wanita berumur itu amat meruntun hati.
“Pihak
hospital akan sediakan ambulans untuk urusan jenazah. Post-mortem semua sudah
selesai,” beritahu Arief lagi.
Kelihatan
ahli keluarga mangsa mengangguk-angguk.
“Makcik
masih tak faham mengapa jadi macam ni. Arwah pergi dengan mengejut. Entah macam
mana la kami nak sampaikan berita malang ni pada isterinya. Dah la baru lepas
bersalin,” salah seorang daripada wanita itu berkata.
Air
matanya dikesat dengan hujung selendang.
“Mengucap
banyak-banyak, Mah. Kita yang dah tua ni masih diberi peluang berumur panjang.
Anak kita yang masih muda, sudah dijemput. Ajal maut ditentukan Allah. Kita
doakan arwah, ya?” kedengaran suara suaminya memujuk.
“Kami baru hendak melawat anak kami. Tiba-tiba
kami mendapat panggilan tentang kemalangan ni. Jadi, kami bergegas ke sini
dulu,” jawab pakcik yang mula-mula tadi.
Arief menarik nafas, membenarkan oksigen
memenuhi ruang dadanya. Dia sudah bersedia untuk menceritakan kejadian sebenar.
“Pakcik,
makcik, saya nak beritahu satu perkara,” sambil ayat mula meluncur, dia menatap
wajah-wajah suram di hadapannya.
“Kemalangan
yang melibatkan arwah sebenarnya berpunca…,” ayatnya tercantas di situ.
Telefon
bimbit yang mengetar dan menjerit dari kocek kot putihnya tidak sabar-sabar
minta dijawab. Nombor telefon rumah. Pasti ibu.
“Oh,
maafkan saya. Saya minta diri dulu. Saya akan cuba aturkan pertemuan secepat
yang mungkin dengan keluarga pakcik semua. Jika perlukan apa-apa bantuan, ini
kad saya. Hubungi saya dengan segera. Staf di sini sedia membantu bila-bila
masa,” kad yang dihulur berpindah tangan.
Sebelum
berlalu, Arief memanggil seorang staf dari dalam pejabat untuk berurusan dengan
keluarga itu lalu dia meminta diri. Arief berjalan pula ke tempat letak kereta.
Dia lihat keretanya sudah diletak cermat di parking khas untuk pegawai
perubatan oleh pengawal keselamatan pagi tadi. Pagi tadi, Arief meninggalkan
kereta dengan enjin masih hidup, tidak berkunci. Dia berterima kasih pada
keprihatinan staf di sini.
Saat
melintasi tempat kejadian pagi tadi, tempat hilangnya nyawa suami Idura, membuat
dadanya sebak semula. Arief cepat-cepat masuk ke dalam kereta, menghidupkan
penghawa dingin dan menguncinya dari dalam. Dengan mata yang terpejam rapat, tanpa
sedar dia terasa sesuatu sudah membasahi tebing mata lalu mengalir ke atas pipi.
Terasa sedikit masin tatkala menyentuh tepi bibir. Dia menangis?
Ya
Allah, apa maksud semua kejadian yang Engkau tentukan ini? Hatinya meronta-ronta
mahu melawat gadis bernama Idura Lisa itu.
Gadis…?
Arief terlontar semula ke alam nyata.
Wanita.
Ya,
wanita yang masih bersisa cinta di hatinya. Sanggupkah dia?
Arief
cepat-cepat memeriksa kalendar di dalam telefon bimbit. Dua hari lagi jadualnya
melawat wad bersalin. Arief menarik nafas panjang mengumpul kekuatan. Dia menghubungi
pejabat dan memohon cuti separuh hari. Dia juga memohon dikecualikan dalam
senarai on-call sehingga esok pagi. Dia
betul-betul perlukan rehat untuk badan dan untuk otaknya juga.
Arief
tidak mahu disebabkan ketidakstabilan dirinya sendiri, dia memberi risiko pada
pesakit yang dirawat. Biarlah dia berehat untuk separuh hari. Selepas itu, Arief
memandu perlahan keluar dari perkarangan hospital. Pasti Maisara yang memaklumkan
pada ibu tentang kejadian tadi.
No comments:
Post a Comment