Monday, 6 July 2015

Novel Pertama Dhuha Steffa

Alhamdulillah. Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang masih membuka pintu ilham untuk saya terus mencoret sesuatu.

Bermula di dalam buku latihan berkulit coklat, buat tatapan rakan-rakan sekelas, minat itu saya pendam. Namun setelah bertahun, akhirnya ilham yang mencurah tidak mampu dibendung lagi. Sehinggalah satu demi satu cerpen saya berjaya terbit dalam antologi, dan dalam majalah.

Suatu hari, pintu rezeki dibuka lagi untuk menulis buku akademik, alhamdulillah. Sudah tiga naskah yang terbit dan satu lagi dalam proses disiapkan. Jangkaan terbit ialah pada Disember 2015 nanti.

Namun, kepuasan sebenar menulis ialah menghasilkan dan melihat NOVEL sendiri diterbitkan. Dan kepuasan itu menjadi berkali ganda apabila ia sudi dimiliki oleh rakan rapat, jauh dan dekat. Rakan yang baru dan sudi untuk memilikinya.

Saya mohon maaf andai terdapat kekurangan dalam novel pertama ini. Yang lemah adalah dari diri saya sendiri dan yang baik adalah anugerah daripada Yang Maha Esa.




                                                                     "KETUPAT SAYANG"
                                                                    Majalah Wanita Bil. 1650
  Ini cerpen saya yang kedua diterima untuk diterbitkan dalam majalah. Suka sangat dengan ilustrasi tu. Sangat menggambarkan plot dalam cerpen. Saya akan terus menghantar kerja kepada Majalah Wanita selagi mempunyai masa terluang untuk menulis. Editor Majalah Wanita pun okey!


                                             Covernya sangat cantik lawa : Fasha Sandha









Sunday, 7 June 2015

Bab 4 Encik Doktor

Setelah menjawab segala soalan yang diajukan, barulah Arief bergegas ke ruang pejabatnya untuk menyalin pakaian. Mujur di dalam almari kecilnya sentiasa ada sepasang dua pakaian lengkap. Pakaian yang digunakannya jika perlu bertugas melebihi dua puluh empat jam.
Usai bersiap ala kadar, Arief segera merujuk kes kemalangan tadi di wad kecemasan. Dalam perjalanan, dia bertembung dengan seorang jururawat yang membantu kes sebentar tadi.
“Bagaimana keadaan mangsa?” pantas Arief bertanya.
“Lelaki itu mengalami kecederaan yang teruk di kepala dan meninggal dunia,” lapor Jessica.
 “Ada seorang wanita mengandung di sebelah mangsa, kan?”
“Ya, wanita mengandung itu sedang cuba diselamatkan. Rupanya, bukaan sudah melebihi 7 cm. Tujuan mereka datang ke hospital sudah pasti sebab wanita itu hendak melahirkan. Tetapi berlaku hentakan pada kepala wanita tu. Tapi nasibnya sangat baik kerana dia sedar sepanjang kontraksi dan bayi dapat dilahirkan secara normal,” terang Jessica lebih lanjut.
Arief mengangguk sambil mendengar dengan teliti segala butir bicara Jessica.
“Baiklah. Saya pergi dulu,” Jessica hampir beredar apabila Arief menahannya semula.
“Jess,” panggilnya.
Langkah jururawat itu terhenti. Dia menoleh sambil mengangkat kening bertanya.
“Tolong hantar ke bilik saya apa-apa barang yang berkaitan dengan mangsa. Biar saya yang menghubungi keluarganya. Saya perlu terangkan kejadian sebenar dan meminta maaf dari mereka,” tutur Arief.
Jessica mengangguk kemudian beredar.
Arief berpatah balik ke pejabatnya. Kepalanya terasa pening dan dadanya tiba-tiba sesak. Dia bernafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan-lahan. Ketika itu, pintu diketuk dari luar. Arief berdiri dan melihat dari lubang kecil dan setelah pasti gerangan yang berdiri di luar, daun pintu dikuak.
“Masuklah,” jemput Arief dan dia kembali duduk di kerusinya. Maisara melangkah masuk.
“Ini kunci kereta dan telefon bimbit abang,” katanya dan barang-barang itu diletakkannya di atas meja.
“Terima kasih, Sara. Abang betul-betul kalut tadi. Rasa seperti bermimpi,” keluh doktor muda itu sambil kedua belah tangannya meraup wajah. Keresahan jelas kelihatan di situ.
“Apa yang berlaku sebenarnya?” Maisara duduk di kerusi di di hadapan meja Arief.
“Abang sedang bercakap dengan staf dari wad kecemasan jadi abang memperlahankan kereta. Tiba-tiba abang terdorong dan bunyi berdentum di belakang. Cuba lihat di luar tu. Semasa kejadian, hujan lebih lebat lagi,” mata Arief menghala ke tingkap dan pandangan Maisara mengekori.
“Salah abang sebab tiba-tiba memperlahankan kereta tanpa melihat melalui cermin belakang jika ada  kenderaan lain atau tidak,” keluhnya.
“Bukan seratus-peratus salah abang. Kereta mangsa tu yang mengekor terlalu rapat. Syukurlah, abang tak apa-apa,” Maisara cuba menenangkan.
Pintu diketuk. Serentak mereka menoleh dan Jessica sedang berdiri di tepi pintu yang sedia terbuka.
“Dr.Arief, ini barang peribadi mangsa. Dompet, telefon bimbit dan sebatang pen daripada poket baju. Doktor serahkan sendiri apabila keluarga mangsa sampai. Saya sudah menghubungi mereka,” beritahu jururawat itu dan plastik berisi barang-barang tadi diletakkannya di atas meja di hadapan Arief kemudian beredar.
Lama Arief merenung plastik tersebut dengan dada yang sebak. Sambil menahan rasa bersalah yang menghentam dada, dia mengeluarkan sepasang sarung tangan dari dalam laci mejanya. Sarung tangan itu dipakai berhati-hati kemudian Arief membuka plastik berisi barang-barang tadi.
Didorong perasaan ingin tahu akan gerangan mangsa, Arief mencapai dompet berwarna coklat gelap itu dan membukanya. Di antara banyak kepingan kad yang terselit, Arief menarik keluar kad pengenalan.
Aidil Ikhwan bin Razak.
Semasa mahu menyelitkan semula kad pengenalan itu ke tempatnya, sekeping gambar sepasang pengantin yang lebih kurang saiznya dengan kad pengenalan tadi tiba-tiba meluncur jatuh tepat di hujung kasutnya. Arief tunduk hendak mengutip apabila tiba-tiba dirasakannya dunia berputar dan pandangannya berpinar beberapa saat. Seandainya dia sedang berdiri, sudah pasti dia memerlukan sesuatu sebagai tempat berpaut.
Idura Lisa?
Mangsa itu ialah suami Idura Lisa?
“Kenapa dengan abang ni? Abang okey ke? Mungkin dada abang terdorong kuat kat stereng tadi. Biar Sara call bilik X-Ray,” tangan Maisara sudah mendarat di atas gagang telefon di atas meja namun segera ditahan.
“Ramai lagi pesakit yang perlukan perkhidmatan tu. Tak perlu ganggu pegawai yang bertugas di sana. Abang okey,” Arief menghalang.
Maisara mengetap bibir sambil menjeling Arief tanda protes.
“Sara janganlah risau. Abang tahu jaga diri,” tambah Arief.
Maisara hanya mampu menggeleng dan melepaskan nafas berat.
“Abang, Sara hampir terlupa. Sara perlu melawat pesakit di wad tibi sekejap lagi. Sara keluar dulu. Abang janji dengan Sara, kalau abang rasa apa-apa yang tak kena, cepat-cepat telefon Sara,” Maisara membulatkan mata.
Arief mengangguk. Hatinya lega sebaik derap sepatu doktor jelita itu hilang. Gambar pasangan pengantin tadi dicapai dan ditatap semula. Lama.
Arief segera menghubungi Jessica dan dia dimaklumkan bahawa jasad mangsa sudah dipindahkan ke bilik jenazah dan pada masa yang sama keluarga mangsa juga sudah menunggu.
Arief meneliti semula barang-barang di dalam plastik jernih di atas mejanya. Sebatang pen hitam berjenama menarik perhatian. Pen itu dicapai dan dibelek. Terdapat tulisan di sepanjang badan pen yang diukir dengan warna emas. Arief meneliti tulisan halus itu.
Idura Lisa - love - Aidil Ikhwan.
Arief menarik nafas dalam sambil matanya dipejam. Pen itu diputar-putar di hujung jari.
‘Bagaimana keadaan Idura sekarang? Adakah dia sudah mendapat berita tentang suaminya? Mampukah dia menerima kenyataan yang suaminya sudah tiada? Bagaimana pula jika Idura tahu yang aku adalah penyebab kemalangan itu?’
Arief tersandar lesu memikirkan segala persoalan yang menghentam benaknya. Tiba-tiba dia teringat keluarga mangsa yang sedang menunggu. Arief berdiri dan tanpa sedar dia memasukkan pen itu ke dalam saku kot putihnya dan bukannya ke dalam plastik tadi!
Langkah kakinya pantas menghala ke kamar jenazah. Dari jauh dia dapat melihat dua orang lelaki dan dua orang wanita. Keempat-empatnya kelihatan sudah separuh umur namun masih nampak sihat.
“Ini Doktor Arief?” salah seorang lelaki itu menyapa setelah salamnya dijawab oleh Arief tadi. Arief mengangguk. Setenang-tenang senyuman cuba dipamerkan.
“Saya Abdul Razak. Panggil Pakcik Razak je, ayah kepada Aidil,” terhenti sebentar kata-katanya dan dengan suara sayu menyambung, “Arwah Aidil.”
Arief terasa jantungnya dihiris pedih. Tidak sanggup dia melihat wajah seorang ayah yang diselubung perasaan kehilangan itu. Jiwanya mendakap erat-erat kesedihan lelaki itu dari jauh.
 “Saya ucapkan takziah kepada keluarga pakcik,” ucap Arief perlahan.
Esakan hiba dua orang wanita berumur itu amat meruntun hati.
“Pihak hospital akan sediakan ambulans untuk urusan jenazah. Post-mortem semua sudah selesai,” beritahu Arief lagi.
Kelihatan ahli keluarga mangsa mengangguk-angguk.
“Makcik masih tak faham mengapa jadi macam ni. Arwah pergi dengan mengejut. Entah macam mana la kami nak sampaikan berita malang ni pada isterinya. Dah la baru lepas bersalin,” salah seorang daripada wanita itu berkata.
Air matanya dikesat dengan hujung selendang.
“Mengucap banyak-banyak, Mah. Kita yang dah tua ni masih diberi peluang berumur panjang. Anak kita yang masih muda, sudah dijemput. Ajal maut ditentukan Allah. Kita doakan arwah, ya?” kedengaran suara suaminya memujuk.
 “Kami baru hendak melawat anak kami. Tiba-tiba kami mendapat panggilan tentang kemalangan ni. Jadi, kami bergegas ke sini dulu,” jawab pakcik yang mula-mula tadi.
 Arief menarik nafas, membenarkan oksigen memenuhi ruang dadanya. Dia sudah bersedia untuk menceritakan kejadian sebenar.
“Pakcik, makcik, saya nak beritahu satu perkara,” sambil ayat mula meluncur, dia menatap wajah-wajah suram di hadapannya.
“Kemalangan yang melibatkan arwah sebenarnya berpunca…,” ayatnya tercantas di situ.
Telefon bimbit yang mengetar dan menjerit dari kocek kot putihnya tidak sabar-sabar minta dijawab. Nombor telefon rumah. Pasti ibu.
“Oh, maafkan saya. Saya minta diri dulu. Saya akan cuba aturkan pertemuan secepat yang mungkin dengan keluarga pakcik semua. Jika perlukan apa-apa bantuan, ini kad saya. Hubungi saya dengan segera. Staf di sini sedia membantu bila-bila masa,” kad yang dihulur berpindah tangan.
Sebelum berlalu, Arief memanggil seorang staf dari dalam pejabat untuk berurusan dengan keluarga itu lalu dia meminta diri. Arief berjalan pula ke tempat letak kereta. Dia lihat keretanya sudah diletak cermat di parking khas untuk pegawai perubatan oleh pengawal keselamatan pagi tadi. Pagi tadi, Arief meninggalkan kereta dengan enjin masih hidup, tidak berkunci. Dia berterima kasih pada keprihatinan staf di sini.
Saat melintasi tempat kejadian pagi tadi, tempat hilangnya nyawa suami Idura, membuat dadanya sebak semula. Arief cepat-cepat masuk ke dalam kereta, menghidupkan penghawa dingin dan menguncinya dari dalam. Dengan mata yang terpejam rapat, tanpa sedar dia terasa sesuatu sudah membasahi tebing mata lalu mengalir ke atas pipi. Terasa sedikit masin tatkala menyentuh tepi bibir. Dia menangis?
Ya Allah, apa maksud semua kejadian yang Engkau tentukan ini? Hatinya meronta-ronta mahu melawat gadis bernama Idura Lisa itu.
Gadis…? Arief terlontar semula ke alam nyata.
Wanita.
Ya, wanita yang masih bersisa cinta di hatinya. Sanggupkah dia?
Arief cepat-cepat memeriksa kalendar di dalam telefon bimbit. Dua hari lagi jadualnya melawat wad bersalin. Arief menarik nafas panjang mengumpul kekuatan. Dia menghubungi pejabat dan memohon cuti separuh hari. Dia juga memohon dikecualikan dalam senarai on-call sehingga esok pagi. Dia betul-betul perlukan rehat untuk badan dan untuk otaknya juga.

Arief tidak mahu disebabkan ketidakstabilan dirinya sendiri, dia memberi risiko pada pesakit yang dirawat. Biarlah dia berehat untuk separuh hari. Selepas itu, Arief memandu perlahan keluar dari perkarangan hospital. Pasti Maisara yang memaklumkan pada ibu tentang kejadian tadi. 

Bab 3 Encik Doktor

“Rif!”
Pintu diketuk bertalu-talu.
“Rif, dah bangun ke?”
Wajah Arief muncul di muka pintu. Tuala mandi masih ditangannya dan dia sedang mengeringkan rambut yang basah.
“Kalau Arief nak cari jodoh nanti, baik nyatakan syarat awal-awal. Bakal isteri tu mestilah mempunyai ciri-ciri alarm clock,” kata ibu yang berdiri di muka pintu.
“Ibu nak alarm clock yang bentuk apa? Warna apa?”
“Bentuk apa, warna apa pula? Ibu ni serius. Rif bawa bergurau pula. Maksud ibu ialah seorang isteri yang boleh mengejutkan suaminya supaya tak lewat bangun pagi,” sambung ibu.
“Syarat itu aje nak letak? Mudahnya syarat tu,” Arief sengaja memancing mood ibu untuk berbual.
 “Kasih sayangnya, cintanya, setianya  hingga ke hujung nyawa. Cuma alangkah baik jika makan pakai Rif pun terjaga sempurna, kan?” balas ibu dan tangannya mencapai tuala yang diletakkan Arief di hujung katil.
Sambil menggeleng-geleng, tuala lembab itu disangkutkannya di belakang pintu.
“Ibu doakanlah Arief supaya ditemukan jodoh yang baik-baik. Arief pimpin dia, dia pimpin Arief juga,” Arief menjawab sambil pantas bersiap.
“Ibu tak pernah lupa mendoakan kebahagiaan anak ibu satu-satunya ni,” tutur ibu sambil nafas dihela perlahan.
“Arief tak menolak jodoh, cuma Arief belum menemui gadis seperti Idura,” Arief berlutut di hadapan ibu yang duduk di birai katil. Tangan ibunya digenggam lalu dikucup.
“Sudah tiga tahun, Rif. Gadis tu pun dah berkahwin. Jangan-jangan, sudah beranak pinak. Anak ibu juga yang masih bujang trang tang tang. Rif pergilah sesekali keluar dengan kawan-kawan. Tak pun, kenalkan ibu dengan mana-mana doktor atau jururawat kat hospital tu yang menawan hati.”
Arief tergelak besar mendengar saranan selamba itu.
“Okey, bu. Kalau Rif berkenan dengan sesiapa, Rif cepat-cepat kenalkan pada ibu dan ibu masuk meminang. Ibu ada dengar apa-apa lagu tak?” soal Arief tiba-tiba.
Berkerut dahi ibunya sambil menajamkan telinga.
“Lagu apa? Bilik Rif ni bukannya ada radio,” tukas ibu.
“Dengar tak badabes…badabes….? Lagu tu dari dalam ni,” kata Arief dengan wajah nakal sambil mengusap perutnya.  Ibu pura-pura tarik muka.
“Ibu masak apa?” selamba Arief angkat-angkat kening mengusik ibunya lagi dan serentak itu bahunya menerima penyepit ketam.
“Hah, buat lawak lagi! Ibu ni serius nak Arief cari jodoh. Jom turun. Kita sarapan sekali sebelum Rif pergi kerja,” ajak ibu. Arief tersengih-sengih sambil menutup pintu bilik dan menurut langkah ibunya.
      Cuaca baik dan cerah semasa keretanya meninggalkan perkarangan rumah sejurus bersarapan tadi. Namun sebaik sahaja bangunan hospital sudah kelihatan, hujan tiba-tiba turun mencurah. Serta-merta jarak pandangan jadi sangat terbatas.  Guruh berdentum bersahut-sahutan. Seolah-olah matahari tidak pernah muncul.
Arief mencuri pandang ke langit dan awan hitam yang muncul entah dari mana terus menerus memuntahkan isinya. Cuaca memang boleh diramal tetapi tidak terjangka perubahannya! Saat keretanya sudah memasuki kawasan hospital, telefonnya menjerit lagi. Arief kerling sesaat. Nombor dari wad kecemasan. Mesti tenaganya amat diperlukan di sana sekarang.
Sebelah tangannya mengawal stereng dan sebelah mencapai telefon. Panggilan ini mesti dijawab supaya mereka tahu yang dia akan sampai sebentar lagi. Makluman seperti itu sangat penting. Sambil kaki menekan pedal brek memperlahankan keretanya, Arief bercakap dengan seseorang dari wad kecemasan. Pada waktu itulah, bunyi dentuman yang kuat dari belakang kereta kedengaran dan serentak itu tubuhnya sendiri terdorong kuat.
Tanpa menghiraukan sakit di dadanya, Arief meluru keluar dari perut kereta. Hujan lebat dan guruh masih berdentum. Tindakan Arief yang tiba-tiba memperlahankan keretanya tadi telah menyebabkan kereta di belakangnya tidak sempat menekan brek. Kebetulan pula kereta itu mengekor terlalu rapat dan akhirnya menyondol bahagian belakang kereta Arief. Bahagian hadapan kereta yang menyondol itu remuk teruk.
Arief menekapkan matanya ke cermin sebelah pemandu. Hujan lebat menghalangnya untuk mendapat gambaran yang jelas tentang keadaan pemandu. Arief memicingkan lagi mata dan sesaat kemudiannya dia ternganga. Di kerusi sebelah pemandu, seorang wanita yang sarat mengandung tersandar dengan rambut menutupi sebahagian wajahnya.
Bantuan tiba. Polis, bomba dan pihak hospital bekerjasama mengeluarkan mangsa. Dua puluh minit kemudian, pasangan itu berjaya dikeluarkan dan diusung ke wad kecemasan. Arief dikecualikan daripada menangani apa-apa kes kecemasan pada waktu itu kerana pihak polis sedang menyoal siasatnya berkaitan kemalangan tadi.
*****
Kesakitan yang laluinya saat ini, hampir tidak tertanggung. Beberapa hari yang lalu, ibu telah memeluknya erat dan membisikkan ke telinga bahawa dia mengampunkan segala kesalahan dan menghalalkan setiap titis air susu untuknya dulu.
Idura hanya mampu merasa kesakitan di kepala akibat hentakan di kereta tadi. Tangannya terlalu lemah untuk menyentuh kepalanya sendiri. Segala sisa tenaga yang ada hampir kosong. Mujur sahaja kontraksi yang semakin kerap membuatkannya terus terjaga.
“Nurse, macam mana keadaan suami saya? Kami accident di luar tadi,” Idura bersuara separuh merintih.
“Doakan suami puan. Paling penting sekarang, kita selamatkan bayi dalam kandungan,” balas jururawat.
 Idura cuba mengangguk namun tidak berdaya. Dia sekadar mampu memandang jururawat itu dengan mata hampir layu.
      “Teran jika saya suruh, ya?” pesan jururawat itu.
Idura hanya mampu memandang lemah. Kesakitan yang semakin kerap datangnya itu mewujudkan perasaan ingin meneran. Idura cuba menahannya tetapi ia hanya membuatkan tubuhnya seperti bergegar. Tangan Idura meraba-raba mencari palang besi di kepala katil untuk berpaut mencari kekuatan.
Rasa sakit itu datang lagi dan dia tidak putus-putus menyebut nama Allah dalam hati. Idura mengikut arahan jururawat itu setiap kali menyuruhnya meneran. Terasa biji matanya telah jatuh ke atas pipi. Sudah tidak ada lagi tenaga tersisa di dalam tubuh longlainya. Idura terkulai saat telinganya menangkap tangisan kecil yang tiba-tiba memecah sunyi bilik dingin itu.
Itukah suara anaknya?
      Jururawat meletakkan tubuh kecil itu ke atas dadanya seketika sebelum dibersihkan dan seorang jururawat lain datang mengambil alih.
      “Nurse tadi akan bersihkan baby. Sekarang puan rehatkan badan. Saya nak pastikan semua uri dah keluar dan nak jahit sikit. Puan rehat saja,” suara jururawat itu bagaikan angin yang berlalu.
Idura benar-benar kehabisan tenaga dan tidak sedar bila masa dia tertidur dan untuk berapa lama.
Sebaik tersedar, jururawat membantu membaringkan baby rapat ke dada untuk disusukan.
Berulang kali dahi baby dikucup. Wanginya!
Sejak Idura mengetahui jantina bayi di dalam kandungan adalah perempuan, dia sudah memilih satu nama. Nama itu sudah ditulisnya cantik-cantik di atas sekeping kertas. Kertas itu disisipkannya ke dalam dompet.
Sofea Natasha.
Idura berulang kali menyebut nama itu dan nama itu semakin dekat di hatinya. Selepas baby menyusu, Idura ikut terlelap semula. Dalam kegembiraan dan rasa syukur, keletihan masih bersisa.
      Beberapa jam selepas bersalin, masih belum ada ahli keluarganya yang tiba. Baby sudah bangun tadi, menyusu sekali lagi sebelum tertidur semula. Idura menekap telapak tangan ke dada. Terasa jantungnya berdegup kencang. Dia tidak tahu mengapa degupan itu menjadi kencang tiba-tiba.
      “Assalamualaikum.”
Idura melepaskan nafas lega apabila wajah mak, ayah dan pasangan mertuanya muncul di pintu.
Mak dan ibu mertuanya mencium Idura dan baby. Mereka berdua menangis berpelukan sambil baby dipangku di dalam lengan masing-masing, bersilih ganti. Idura tersenyum bahagia. Jauh di sudut hati terselit rasa bangga kerana dia telah menambah bilangan ahli keluarga ini.
      “Mak, macam mana keadaan Abang Aidil? Boleh tak tolak katil Idura, Idura nak lawat dia,” pinta Idura penuh harapan.
      Ibu mertuanya menerpa dan memeluk. Tangisannya pecah. Emak turut memeluknya dari belakang dan mereka berdua menghujani Idura dengan tangisan.
‘Ini bukan tangisan gembira,’ mindanya pantas mentafsir.
Idura pandang wajah ayah, namun ayah melarikan mata.
      “Mak, kenapa ni?” Pertanyaan Idura hilang di sebalik tangisan mereka berdua.
      “Idura dan baby dah selamat. Idura tak sabar nak balik rumah. Kita aturkan majlis cukur jambul baby. Hanya perlu bincang dengan Abang Aidil bila dia boleh dapat cuti. Apa nak sedih-sedih ni?” soal Idura lagi.
      “Kita akan aturkan semua tu sama-sama. Apa pun yang berlaku, kita semua tetap satu keluarga. Kita akan jaga baby sama-sama,” tiba-tiba ayah mertuanya mencelah.
      “Idura rehat dulu. Mak dan mak mertua Idura akan menjaga Idura di sini bergilir-gilir. Kalau nak makan apa-apa, beritahu ayah. Ayah beli kat kantin,” pesan ayah.
     
 “Idura anak mak.”
Idura menoleh. Menatap wajah emaknya yang nampak sayu.
      “Kita kena sentiasa redha dengan ketentuanNya. Setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Allah tidak akan menguji kita dengan sesuatu yang Dia tahu kita sebagai hambaNya tidak mampu untuk lalui. Idura ingat pesan mak tu?”
Idura berkerut mendengar kata-kata mak namun dia hanya menganggukkan kepala. Emaknya memang suka memberi pesanan tidak kira waktu, tidak melihat tempat.
      “Anak adalah anugerah yang tidak ternilai. Anak adalah tanggungjawab yang paling besar. Jangan sesekali putus harapan. Jangan sesekali menjadi lemah. Ingat ya Idura? Mak, ayah, malah semua orang sentiasa menyokong Idura walau apa pun yang berlaku. Kasih sayang, restu serta doa kami sentiasa bersama Idura dan cucu kami ni,” mak mencium pipi baby yang sedang lena.
      Ayah tiba dengan beberapa bakul plastik di tangannya. Emak menyambut dan menyusun isi bakul plastik itu ke atas meja di tepi katil. Ada bubur ayam, sup, roti, susu segar dan sesikat pisang emas. Idura tersenyum.
      “Terima kasih, ayah. Idura nak makan sikit supaya bertenaga. Idura nak tengok Abang Aidil. Dia kat wad mana?” soal Idura.
Ayah menghampiri dan memeluk bahunya erat. Suatu perasaan pelik menerpa tiba-tiba. Idura memandang wajah emak dan ayahnya silih berganti.
      “Mak, ayah, apa semua ni? Dari tadi mak dan ayah macam ada sesuatu nak cakap. Macam ada sesuatu yang disembunyikan. Macam ada yang tak kena. Apa ni, mak? Cuba beritahu betul-betul. Abang Aidil macam mana?” Tebing matanya mula terasa panas.
‘Mengapa aku tiba-tiba terasa sebak yang teramat sangat?’ Idura terasa nafasnya seperti tersekat-sekat.
Dia menatap wajah sayu emak dan wajah sedih ayah. Idura menjadi benar-benar kaku. Ada satu persoalan besar yang menghentam kepalanya. Dan ada satu jawapan yang maha berat sedang mengasak-asak.
Tubuhnya tiba-tiba menjadi seram sejuk. Ibunya segera memeluk tubuhnya yang tiba-tiba menggigil.
“Idura, sabar nak,” suara-suara di sekelilingnya dirasakan seperti angin sejuk yang membekukan sarafnya. Dia tidak mahu mendengar sesuatu yang dia tidak sanggup terima. Pandangannya berpinar.
 “Nurse!”
Sayup-sayup di telinganya suara emak memanggil jururawat. Pandangannya seolah hilang tetapi pendengarannya masih kuat. Kata-kata terakhir emak yang sempat singgah di telinganya ialah,
 “Doakan semoga arwah Aidil aman di sana.”
Idura terasa fikirannya berat dan dingin sekali. Tubuhnya seperti terapung-apung, bukan dirinya sendiri lagi kerana ia tanpa anggota. Dia tidak tahu siapa dirinya kini. Seolah-olah sebutir biji benih yang kecil. Juga ibarat kapas ringan yang jauh ditiup angin. Tiba-tiba satu dentuman menggegar rongga kepala dan kali ini dia benar-benar hilang arah. Hanya rasa sejuk, dingin dan beku yang membalut jasadnya saat ini.
 “Idura! Idura anak mak. Mengucap, sayang. Idura, jangan tinggalkan mak.”

 Suara emaknya semakin jauh…

Bab 2 Encik Doktor

Di dalam bilik, Bryan sedang tidur terlentang. Wajah rakannya itu tenang dan lenanya diiringi dengkur perlahan.  Tuala mandi berwarna merah putih yang membaluti separuh badannya itu, terpampang  besar perkataan ‘Michael Jordan’. Rambutnya masih kelihatan lembab.
‘Mesti lepas mandi dia terus tidur,’ teka Arief.
Sepantas yang boleh, Arief mencapai tuala mandi yang tersangkut di kepala katil. Dia segera menanggalkan pakaian dan menggantikannya dengan tuala mandi. Bakul berisi barang mandian beserta baldi yang disimpan di bawah katil ditarik keluar.
Langkahnya panjang menuju ke bilik mandi. Bilik mandi itu dikongsi bersama mahasiswa yang lain dalam blok yang sama. Dia dan Bryan bertuah kerana bilik mandi itu tidak jauh dari bilik mereka. Hanya berselang dua pintu. Selesai mandi, Arief pantas mengambil wuduk dan kembali ke bilik.
Dalam sujudnya, Arief memohon ampun pada Yang Maha Esa andai solatnya kali ini tidak sekhusyuk selalu. Dadanya dirasakan berdebar-debar dan sepasang telinganya menjadi amat peka. Mana tahu jika telefon tiba-tiba berbunyi.
Dalam doanya yang ringkas itu, Arief memohon semoga Yang Maha Esa mempermudahkan segala urusan dan semoga pertemuan itu nanti bukan hanya baik untuknya tetapi juga untuk gadis itu. Arief menghempas nafas berat. Dadanya dihempap sebak yang dahsyat. Arief meraup wajah dengan perasaan yang berbaur.
Telefon bimbitnya berbunyi dan bergetar. Jantungnya ikut berdebar saat telefon bimbit itu dicapai lalu ditekap ke telinga.
“Assalamualaikum,” sapanya.
Berdebar menanti suara siapa di seberang sana.
“Waalaikumsalam. Arief?”
Arief hampir terloncat mendengar suara itu. Suara yang dinanti-nantikannya.
“Ya, saya. Idura?” seperti tidak percaya.
“Saya dah baca nota awak tu. Nak saya jemput awak atau awak datang sendiri ke cafĂ©?”  soalnya.
Arief berfikir sejenak. Idura datang menjemputnya?
“Hello, jadi jumpa ke tak?” sapa Idura di seberang sana apabila tidak ada suara yang memberi reaksi.
“Oh, tak apa. Saya datang sendiri,” jawab Arief pantas namun dipintas pula dari sana.
“Tak apa la. Saya dah dalam perjalanan ke sana. Awak tunggu kat bawah tu aje.”
Arief tidak mahu melengahkan masa untuk menganalisis ayat itu lama-lama. Sambil terangguk-angguk, Arief menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan-lahan.
Jejaka panik, kutuknya kepada diri sendiri. Biarlah  bakal doktor seperti mereka dilabel kononnya hanya kenal buku dan jarum suntikan. Hanya tahu tebalkan cermin mata.
‘Telahan yang salah!’ Arief mencantas.
“Hakikatnya, hati kami juga kaya dengan cinta!’
Selesai menukar kain sembahyang kepada seluar slack kelabu gelap, Arief memandang penampilannya di dalam cermin. Skema sangat! Bukannya hendak pergi temuduga! Dia segera menggantikannya dengan sepasang jeans hitam yang sedia tersangkut di tepi katil.
Telefon bimbit dan dompet diselitkannya ke dalam poket seluar. Sedikit minyak rambut dilumurkan pada kedua belah tapak tangan. Sepanjang anak tangga turun, Arief selesai merapikan rambutnya dengan menggunakan hujung jari tanpa melihat cermin. Dia tahu, rambutnya tidak cerewet.
Tidak sampai lima minit menunggu, sebuah Honda Civic putih berhenti tepat di hadapannya. Dia seperti kenal dengan kereta ini tetapi ingat-ingat lupa. Arief membongkok dan menjenguk ke dalam kereta setelah cermin diturunkan.
“Assalamualaikum,” sapanya setenang mungkin.
“Waalaikumsalam,” jawab si gadis dari dalam.
Arief membuka pintu dan duduk di sebelah pemandu. Dia menunggu kereta itu  bergerak namun kereta itu pegun saja.
Arief memandang Idura dengan niat mahu bertanya namun rupanya gadis itu juga sedang menoleh kepadanya dan gadis itu melempar senyum. Arief terasa seperti baru mengunyah strawberi! Cepat-cepat dia menyimpan senyuman itu dalam kocek hati.
“Apa kata kalau awak yang memandu? Saya sebenarnya tak biasa sangat memandu kereta ni,” pintanya.
“Oh, boleh,” sambut Arief.
Mereka membuka pintu serentak lalu bertukar tempat. Selepas itu, kelihatan Idura menyandar dengan selesa di kerusi sebelah pemandu.
“Kita tak boleh lama, ya? Saya janji dengan kawan, pinjam kereta ni untuk sekejap saja,” beritahunya.
“Siapa kawan  awak tu?” soal Arief sambil matanya fokus ke hadapan.
Tangannya kemas mengawal stereng dan kereta mula bergerak keluar dari kawasan kediaman.
“Sazzy,” jawab Idura dan serta-merta suaranya kedengaran teruja dan menyambung.
“Awak mesti kenal dia, kan? Dia pelajar Fakulti Perubatan. Sazzy Wong!”
‘Sazzy? Patutlah macam kenal je dengan kereta ni,’ sempat Arief berbisik dalam hati.
Dengan selamba, Arief mengubah haluan. Dia mula memandu keluar dari kawasan kampus. Bukan membelok ke arah kafeteria universiti. Terdapat sebuah restoran yang popular di kalangan warga kampus dan hanya terletak di seberang jalan besar. Pergi dan balik pun tidak akan sampai lima belas minit.
“Eh, awak nak ke mana ni? Marah Sazzy nanti,” tingkah Idura.
“Sekejap lagi saya telefon Sazzy,” jawab Arief.
Selepas meletakkan kereta elok-elok, Arief menelefon Sazzy sebelum mereka keluar.
“Hai, Arief!” sapa gadis Sino Kadazan, Si Pemilik Honda Civic putih.
“Hi, Saz. Kereta awak ada dengan saya sekarang. Nak keluar minum dengan kawan awak ni. Tak jauh, depan kampus aje. Boleh?” Pertanyaan itu dijawab dengan gelak panjang Sazzy.
“Bawalah ke mana-mana pun, Rif. Janji pulangkan. Malam nanti baru saya perlukan kereta. Sekarang, kamu selesaikan dulu urusan kamu tu.”
 “Terima kasih,” sahutnya dengan perasaan lega. Enjin kereta dimatikan.
“Sazzy benarkan tak?”  gadis di sebelahnya memandang dengan kening sedikit terangkat.
“Kalau kita bawa kereta ni balik kampung pun, Sazzy tak akan marah punya,” jawab Arief.
“Kalau macam tu, saya pun tak risau sebab tadi saya dah janji pinjam kejap saja,” kata Idura. Wajahnya dihias senyuman.
Warna merah hati dan putih melatari keseluruhan ruang restoran itu. Idura melangkah mendahului dan Arief hanya menurut. Meja yang terletak di suatu sudut yang agak berhampiran dengan sepohon bonsai rimbun menjadi pilihan. Seorang pekerja lelaki yang nampak kemas dengan apron ungu dan bertopi merah datang menghulurkan senarai menu.
“Jus epal untuk saya,” Idura membuat pesanan dan senyuman tetap menghiasi wajahnya.
“Menu di sini sedap-sedap. Nak cuba?” Arief menyuakan senarai menu ke hadapan Idura namun gelengan gadis itu menghentikan pergerakan tangannya.
“Terima kasih. Kebetulan saya dah makan sebelum balik ke bilik tadi. Kalau tak, pasti saya akan pilih yang mana satu saya nak cuba,” tolaknya dengan sopan.
“Kalau begitu, mungkin lain kali kita boleh datang lagi,” Arief memandang pekerja tadi dan memesan setin 100 Plus untuk dirinya.
Kerusi yang mereka duduki saling berhadapan dan kelihatan Idura sesekali menarik dan melepaskan nafas dalam. Riak resah mengiringi senyum tipis di bibirnya.
‘Aku yang perlu memulakan. Bukankah aku yang menginginkan pertemuan ini?’ gesa Arief dalam hati.
Arief mencari-cari ayat yang paling sesuai untuk memulakan bicara. Saat matanya dan bebola mata gadis itu bertembung, Arief melempar senyum dan menarik nafas setenang mungkin.
“Idura dah baca nota kecil saya?” Dengan cukup hati-hati dia bertanya.
Gadis itu mengangguk.
“Idura nak beri respon sekarang atau selepas minum nanti?” Arief berkali-kali menyoal dirinya sendiri.
Adakah caranya bertanya itu kedengaran seperti mendesak? Atau gelojoh? Arief berharap agar ayat-ayat yang bakal dituturkannya tidak ada yang akan mengecilkan hati Idura tanpa dia disedari.
“Sebelum atau selepas minum pun situasinya tetap sama,” jawab gadis itu dengan nada tenang.
Jawapan yang singkat itu cukup mengkucar-kacirkan hati lelakinya. Tak pernah Arief segentar ini. Berhadapan dengan jasad manusia untuk dibedah, untuk diselongkar organ-organnya, Arief tidak pernah bergegar kepala lutut. Namun berkaitan hati dan perasaan, Arief terpaksa mengatur nafas setenang-tenangnya.
Idura mengacau-ngacau jus epal yang dihidangkan cantik di dalam gelas bertubuh langsing. Pergerakan jarinya tenang namun riak wajah gadis itu jelas runsing.
“Sejak bila?” tiba-tiba soalan itu terlontar dari bibir Idura.
Bola matanya yang bulat bundar itu memandang lurus pada Arief.
“Sejak Tahun Pertama dulu. Semoga Idura masih ingat. Saya pernah katakan yang saya mahu berkenalan dengan lebih rapat, tetapi Idura kata pada masa tu, terlalu awal. Saya fikir, ada benarnya kata-kata tu. Kemudian saya tak bertanya lagi.”
 “Tapi itu tidak bermakna yang saya tidak mengikuti perkembangan Idura. Saya menunggu Idura setiap hari di hadapan perpustakaan. Saya lega setiap kali melihat Idura dalam keadaan yang baik,” usai kata-kata itu terluah, Arief terasa seperti sekumpulan rama-rama yang sedang berterbangan di dalam perutnya hendak menyerbu keluar melalui semua rongga yang ada!
“Ya, saya ingat. Saya hargai setiap detik awak menunggu saya di hadapan pepustakaan tu. Saya hargai sikap awak yang tidak pernah mendesak. Tapi masa yang kita lalui sudah terlalu panjang. Kita sudah bertemu dengan ramai orang. Kita menjalin persahabatan dengan ramai kawan. Mungkin kita juga sudah menjalin hubungan dengan seseorang, kan?”
Arief agak tersentak dengan ayat terakhir itu. Ayat yang berbentuk satu soalan. Mungkinkah itu juga sebenarnya adalah satu jawapan?
Arief mengangkat minumannya ke tepi dan menganti lengannya ke atas meja. Dia tidak mahu ada jurang untuk meluahkan perasaannya pada Idura saat ini.
“Saya tidak pernah menjalin hubungan dengan sesiapa. Saya hanya ikhlas berkawan sepanjang waktu pengajian kerana saya menunggu saat ini tiba dengan sabar. Saya harap kita sudah bersedia untuk memulakan hubungan yang lebih dewasa,”  Arief tatap wajah Idura dalam-dalam. Memohon pengertian.
 “Betul kata awak tu. Pada peringkat ini, kita sudah bersedia dengan hubungan yang lebih dewasa. Sudah bersedia untuk bertunang malah jika jodoh sudah menyeru, kita sudah bersedia untuk berkahwin,” sambil berbicara, jarinya memain-mainkan penyedut minuman di dalam gelas.
“Maksudnya, Idura pun sudah bersedia seperti saya?” soal Arief penuh mengharap namun soalannya berbalas soalan juga.
“Nabila ada beritahu yang saya akan balik ke rumah lewat petang ni?”
“Ya, ada. Tetapi sebabnya Nabila tak beritahu,” mendengar suara Arief yang seolah-olah mengadu, gadis itu tergelak. Barisan giginya yang cantik terpamer.
“Saya nak kahwin,” beritahu Idura dan pipinya merona merah jambu beberapa saat.
Saat itu, Arief berasakan seolah-olah bola matanya tersembul. Minuman bergas yang baru disedutnya tiba-tiba tersekat di kerongkong. Naik tidak, turun pun tidak. Sedar-sedar sahaja dia sudah tersedak dan batang hidungnya terasa perit. Matanya merah. Arief menyambut tisu yang dihulur Idura dan perlahan-lahan dia mengesat kesan basah di tepi hidung, mulut dan dagunya.
Wajah Idura ditatapnya lekat-lekat dengan sayu. Gadis itu masih memandangnya dengan riak risau. Arief cuba mengunci pandangan gadis itu agar jangan beralih. Dia mahu Idura tahu betapa cinta yang disimpannya selama ini bukan satu permainan. Perasaan cinta itu tidak pernah berubah.
“Adakah saya yang terlewat?” dengan suara serak Arief menguatkan hati bertanya.
“Ini tidak berkaitan sama ada lewat atau tidak sebab jawapan saya ialah tidak boleh menerima awak. Walaupun pada masa itu saya belum ada siapa-siapa. Hanya satu jawapan saya ialah, tidak wujud perasaan cinta di hati saya untuk awak. Maafkan saya,” ayat demi ayat itu sangat jelas dituturkannya.
Arief terpana. Jika diturutkan rajuk di hati, mahu sahaja dia memecut kembali ke kampus dan tidak mahu tunjuk muka lagi. Malah Arief sempat berharap agar pada saat itu, lantai di mana kerusi yang didudukinya sekarang tiba-tiba ternganga dan menelannya masuk ke dalam tanah.
      “Arief.”
Arief mengangkat muka apabila suara Idura menyeru namanya dengan perlahan. Di mata gadis itu hanya kelihatan sinar simpati dan sinar itu terus membelah hatinya laksana sinaran laser.
“Maafkan saya,” ucapnya separuh berbisik.
“Tapi saya cintakan awak,” balas Arief bersungguh-sungguh.
Gadis itu tertunduk. Tidak sanggup melihat mata lelaki di hadapannya.
“Sekali lagi, saya minta maaf,” suaranya hampir berbisik.
Beberapa detik berlalu tanpa sedikit bunyi. Idura tunduk merenung hujung kasut sendiri dan Arief memanfaat saat itu untuk menatap Idura lama-lama. Wajah yang ditunggu setiap hari. Wajah yang telah membuatkan dia jatuh hati dan hati yang jatuh itu tidak mampu dikutip lagi. Akhirnya, Arief melepaskan nafas berat dan cuba untuk akur dengan kenyataan.
“Terima kasih kerana berterus-terang. Awak sedikitpun tidak berselindung dan jauh sekali awak mempermainkan perasaan saya. Awak seorang yang jujur. Sungguh bertuah lelaki yang berjaya memiliki hati awak, Idura. Saya doakan kebahagiaan awak.”
Jauh di sudut hati, Arief berasa amat lega kerana dia masih mampu menuturkan ayat-ayat yang rasional pada saat jiwanya sedang kritikal.
“Saya pun berharap yang awak akan bertemu dengan gadis yang lebih baik nanti. Percayalah, tidak ada yang istimewa sangat pun tentang saya. Saya ni biasa-biasa saja,” ucap Idura cuba menghiburkan hati lelaki di hadapannya itu.
Arief menggeleng.
“Saya tetap berharap, jodoh saya dengan awak.”
Terbulat mata gadis itu memandangnya.
“Awak jangan bergurau! Bila dah mula bekerja nanti, pasti berduyun doktor wanita yang jelita mengejar awak,” bicaranya cuba untuk memujuk.
Arief hanya tersengih mendengar ayat itu.
“Saya perlu balik ke bilik sekarang. Ada banyak benda lagi yang perlu dikemas,” pinta gadis itu.
Arief mengangguk faham. Minuman 100 Plus terasa amat pahit mengalir di tekaknya.
‘Aku pun perlu belajar menerima kenyataan yang pahit begini,’ jiwanya meremuk jauh di dalam.
Arief menggamit pekerja yang kebetulan berdiri di hadapannya dan membayar harga minuman mereka.
“Kita balik?” soalan yang tidak perlu ditanya terpacul dari mulut Arief. Sekilas Idura memandangnya dan mengangguk.
Sepanjang perjalanan balik ke kampus, Idura berpeluh tubuh dan matanya lurus memandang ke hadapan.
“Bila majlis akan dilangsungkan?” Arief tidak tahu mengapa soalan itu yang terkeluar dari mulutnya. Hakikatnya, dia tidak mahu tahu.
“Seminggu sebelum majlis konvokesyen kita,” tutur Idura.
“Konvokesyen nanti, boleh la Idura datang ditemani suami. Tahniah,” ucap Arief setulus hati.
Idura mengangguk. Wajah mendung lelaki di sebelahnya dicuri pandang dari ekor mata.
 Arief memberhentikan kereta itu di tempat Idura mula-mula datang menjemputnya tadi. Enjin kereta dibiarkan hidup kerana gadis itu pula akan mengambil tempat di tempat duduk pemandu. Mereka serentak keluar dan langkah sama-sama terhenti saat bertembung di hadapan kereta. Idura mendongak, memandang wajah Arief yang suram. Beberapa saat mata mereka berpandangan. Arief tidak berganjak.
“Saya pergi dulu,” Idura beralih sedikit ke kiri agar langkahnya tidak terhalang oleh Arief yang kekal membatu.
Saat kereta itu sedang menjauh, Arief sedar hatinya semakin retak dan berderai. Matanya mengekori sehingga kereta hilang dari pandangan. Dengan kehampaan, Arief mengheret berat kakinya naik ke bilik. Dilihatnya, Bryan tidak ada di situ. Bola keranjang milik Bryan juga tidak ada di bawah meja. Arief tahu Bryan pergi ke mana.
‘Lebih baik Bryan tidak ada di bilik waktu ni,’ keluh Arief sendiri.

 Dia membuka tingkap bilik luas-luas. Membiarkan angin segar dari luar memenuhi ruang bilik yang dirasakannya menghimpit. Arief berharap agar dia mampu mengembalikan semangatnya yang hampir hilang tadi. Tubuhnya direbahkan ke atas katil. Kepalanya terasa semakin berat seolah-olah tidak mampu diangkat lagi. Sampai hati Idura Lisa.

Bab 1 : Encik Doktor

Buku berkulit keras dengan tajuk Advanced Surgical Techniques for Rural Surgeons oleh Amy L. Halverson ditutup. Arief menanggalkan kaca mata berbingkai putih yang setia bertenggek sejak tiga jam lalu di atas hidungnya. Dia menarik sapu tangan lembut dari poket beg laptop dan habuk yang melekat pada kaca mata itu dibersihkan. Kepalanya digerakkan ke kiri kanan, cuba melegakan otot-otot leher dan serentak itu tengkuknya mengeluarkan bunyi keriuk-keriuk.
“Assalamualaikum.”
Arief menjawab salam itu perlahan lantas menoleh.
‘Apa lagi dia nak ni,’ rungutnya dalam hati.
Namun rasa sebal itu ditutup dengan senyum pendek. Cukup untuk tidak dicop sombong. Kaca mata dikenakannya semula. Dia angkat kening, bertanya.
“Arief, saya nak minta simpati awak, boleh? Dah sepuluh kali saya rombak  Bab 4 ni, tapi lecturer tu masih tak terima. Saya dah naik pening nak siapkan tesis ni tau,” keluh gadis itu.
“Bagi saya tengok. Mana tahu ada yang boleh dibantu,” Arief menghulurkan tangan menyambut fail yang dihulurkan.
“Terima kasih,” ucap gadis tadi dengan lenggok suara manja.
Namun sesaat kemudian mukanya bertukar masam kerana dilihatnya Arief tidak berminat. Mata lelaki itu fokus ke atas draf tesis yang dihulurkannya tadi.
“Arief, awak tahu tak? Awak nampak kacak sangat dengan muka serius macam tu. Dah la baik hati, suka membantu pulak tu!”
Arief berhenti meneliti draf tesis itu.  Dia menatap tawar wajah Zetty yang tersenyum-senyum memandangnya.
“Maafkan saya. Rasanya saya tak boleh nak tolong awak kalau awak bersikap macam orang tak cukup oksigen,” suaranya kedengaran perlahan tapi tegas.
Hakikatnya dia rimas dengan sikap mengada-ngada Zetty. Fail itu ditutup dan ditolak ke hadapan Zetty yang ternganga.
“Baru usik sikit pun dah merajuk. Apa yang awak suka sangat dengan Idura tu?  Saya lebih bergaya dan jelita tau! Saya yang sangat sesuai dengan awak.”
Arief berkerut memandang Zetty sambil menggeleng.
“Spesies apa awak ni? Kurang nutrisi ke? Awak perlu makan makanan berkhasiat supaya sel-sel otak tu cepat berhubung.”
Zetty mengherot bibir tanda tidak puas hati dengan gurauan lelaki itu.
“Jadi macam mana? Awak boleh tolong saya ke tak?” soalnya tidak berputus asa.
 “Boleh tu boleh. Tapi awak janji. Lepas ni, awak tolong study jauh-jauh.”
Kecut perut Zetty apabila diberi amaran begitu. Mahu tidak mahu, dia mengangguk dengan mulut muncung. Dia menunggu Arief membaca dan menanda di sana sini dengan pen berdakwat merah.
“Nah, setakat ini saja yang boleh saya bantu. Mana-mana yang saya dah tandakan tu, awak edit semula. Pergilah study dengan kumpulan awak. Saya pun ada hal ni.”
Zetty beredar dengan mulut sedepa. Arief angkat bahu, malas mahu melayan karenah begitu.
Jam dinding berbentuk empat segi berbingkai hitam di sebelah kanan dipandang. Dilihatnya jarum pendek sudah melekap di atas angka dua belas dan jarum panjang sudah menyentuh angka enam.
Tak mungkin! Tepat pukul 12.30 tengah hari!
Laptop dipadam dan disimpan ke dalam beg. Langkahnya panjang-panjang saat meninggalkan ruang menelaah tingkat satu itu lalu segera keluar dari ruang  perpustakaan. Rimbunan buluh berbatang kuning dan berdaun hijau tirus, tegak subur menghiasi kawasan luar bangunan. Satu panorama yang cukup menyegarkan mata setelah letih menelaah berjam-jam.
Arief meraba kocek jeans. 
“Nasib baik ada wang kertas seringgit ni,” sengihnya suka.
Mesin minuman segera yang disediakan berhampiran pintu utama dihampiri. Dia memasukkan wang kertas tadi, menekan punat pada minuman pilihan dan siap.
Arief tunduk dan berhati-hati mengangkat minuman panas dalam gelas kertas itu.  Tubuhnya kembali terasa hangat setelah dicengkam dingin di dalam perpustakaan tadi.
Di bawah bayang-bayang sepohon buluh, Arief menyandar sambil sesekali mengesat titis peluh yang mula terbit di kaki rambut. Akibat terlalu lama berada di dalam ruang berhawa dingin, peluhnya cepat sahaja merintik apabila berada di kawasan berbahang begini. Matanya aktif mengecam setiap wajah yang melintas di hadapan.
Kelibat gadis yang bermata kejora itu ditunggu. Mustahil dia telah menjadi gadis halimunan. Kalau tidak pun, mustahil sudah berubah saiz. Dari comel molek berubah menjadi bulat montel sehingga dia tidak mampu mengecamnya lagi hari ini.
Sejak Tahun Pertama sehingga semalam, pada waktu-waktu begini, gadis itu sudah muncul. Ruang legar perpustakaan ini adalah laluan wajibnya setiap hari. Lenguh kaki memujuk-mujuknya untuk duduk. Bangku-bangku kayu yang dipayungi pohon rimbun menghijau kelihatan amat selesa untuk dijadikan tempat melabuhkan punggung.
‘Pasti dia akan muncul sebentar lagi,’ semangat lelakinya tetap berada di tahap tertinggi.
Dari angka enam, jarum minit sudah berputar satu pusingan penuh dan kini kembali ke angka enam semula. Genap satu jam. Butiran peluh sudah bertenggek di puncak hidung. Sapu tangan bercorak belang kelabu putih ditarik dari kocek seluar sebelah kiri dan peluh itu dikesat.
“Ingatkan batang buluh tersalah tumbuh kat sini. Tegak tak bergerak-gerak. Rupa-rupanya kau!”
Bahunya menerima habuan dari buku lima tuan punya suara.
“Muka macam ni kau kata batang buluh? Bertuahnya badan dapat kawan yang pandai memuji,” Arief membalas dan kata-katanya disambut dengan gelak besar Bryan.
“Heishh, nak kata aku tak pernah beri motivasi kat kau, tipu besar la tu. Setiap sesi yang aku bagi tu percuma. Cuma aku tak tahu la pula sama ada kau dengar atau tak. Aku dah kata, luahkan! Bimbang berlaku macam lagu ‘Jangan Tunggu Lama-Lama’. Tapi kau gelakkan aku. Kau kata, klise!”
Arief terangguk-angguk namun sambil tersengih dia membalas, “Lawak antarabangsa mana pula kau cedok ni! Bila masa aku gelak-gelakkan kau? Paling teruk pun aku hanya ketawa macam penjahat dalam cerita Enam Jahanam.” 
Dengan muncung kasut Adidas bersaiz sembilan itu, sebutir batu kecil ditendangnya perlahan. Batu itu tergolek terus ke celah-celah  rimbunan bunga berhampiran. Sejurus, wajah Bryan dipandang.
“Kalau kau tak serius, aku pun angkat tangan. Sesi motivasi selepas ini akan berbayar,” sambil terangguk-angguk Bryan berkata dan topi keledarnya erat dikepit di bawah lengan kanan.
“Siapa kata aku tak dengar nasihat kau. Untuk kali kedua, hari ini aku akan luahkan sekali lagi semuanya,” Arief menepuk beberapa kali bahu jejaka yang separas bahunya itu.
 “Baik, kalau itu kau kata, aku pun senang hati. Sekarang, aku balik dulu. Malam nanti ada perlawanan persahabatan dengan Fakulti Pendidikan. Aku nak rehat cukup-cukup. Kau nak balik sekali atau nak tunggu lagi ni?”
Sungguh mengambil berat pula jejaka Bumi Kenyalang itu hari ini. Biasanya dia hanya mengambil tahu hal bola keranjangnya saja.
“Sekejap lagi aku balik,” putus Arief.
“Ingat! Jangan diperuk lagi buat pekasam.”  Bahu Arief ditepuk beberapa kali. Menaikkan semangat.
“Bukannya aku langsung tak pernah beri hint. Bukan setakat hint tapi luahan perasaan, tahu? Ingat lagi semasa aku berterus-terang dulu?  Ingat lagi tak peristiwa penting semasa kita di Tahun Pertama tu?” Arief berharap, dengan soalan bertalu-talu itu Bryan boleh mengingat semula peristiwa hampir empat tahun lepas..
      “Tahun Pertama? Pandai juga batang buluh ni buat lawak!” Arief menggeleng-geleng.
Batang buluh lagi! Bryan tak sedar agaknya yang dia tu ala-ala tiang bola keranjang!
“Kawan, itu cerita lama! Kalau kau tak refresh, mesti dia sangka yang kau sekadar meluahkan perasaan untuk suka-suka. Kita akan bercuti panjang selepas ini, kalau bukan sekarang, bila lagi?” nasihat Bryan akhirnya terhadam juga di benak Arief.
Kata-kata itu mengukuhkan lagi nekadnya untuk meneruskan misi hari ini. Misi meluahkan isi hati!
      “Aku harap, dia tak rasa didesak untuk beri jawapan,” perlahan Arief membalas.
Dilihatnya Bryan menggeleng mendengar kata-kata itu.
Hujung telunjuk kiri Bryan memutar-mutar kunci motorsikalnya. Sesaat mata Arief menjeling sebuah parit kecil cetek yang hanya beberapa langkah dari tempat mereka berdiri. Bagaimana agaknya reaksi Bryan jika kunci itu tiba-tiba terpelanting lalu jatuh ke dalam parit itu? Fikiran spontan itu membuatkannya tersengih.
“Hah! Memang sah kau ni dah sasau! Sekejap berkerut, sekejap sengih. Luahkan! Sampai bilik nanti kalau aku tahu kau masih buat pekasam, rasakan penumbuk sulung aku ni. Kau boleh pilih sendiri sama ada mahu aku daratkan ke hidung atau pun ke muncung kau tu,” Bryan menunjukkan buku limanya di hadapan batang hidung Arief.
“Kalau orang lain tengok kau buat macam ni, boleh jadi kontroversi. Tak pasal-pasal mereka fikir kita bergaduh,” Arief menolak buku lima itu menjauh.
“Kau baliklah dulu. Kejap lagi aku balik,” tegasnya sekali lagi.
Dia tidak mahu melihat riak risau di mata Bryan untuknya. Bryan menghembus nafas sarat sambil mengangguk.
      “Kalau itu jawapan kau, aku balik dulu. Good luck,” Bryan menepuk bahu Arief sebelum menunggang motosikalnya pergi. Arief mengangguk mendengar harapan itu.
Selajur Bryan pergi, mata Arief tiba-tiba terpandangkan Nabila. Rakan baik gadis yang ditunggu-tunggunya namun belum muncul. Arief memanjangkan langkah menghampiri. Lenguh kakinya terasa hilang.
“Assalamualaikum,” Arief mempercepatkan langkah cuba bersaing. Nabila masih meneruskan langkahnya dengan tenang.
“Nabila!”
Gadis itu menoleh apabila terdengar namanya diseru.
“Waalaikumsalam. Ingatkan awak tegur orang lain tadi,” senyumannya terus menghilangkan lenguh kepala lutut.
“Maaflah kalau saya menganggu awak di tengah panas ni. Awak seorang? Kawan awak mana?” ajunya tidak membuang masa. Matanya terus tertinjau-tinjau. Mana tahu jikalau gadis yang ditunggu berada di sekitar situ.
“Kawan aku yang mana satu ni?”
Matanya sengaja dikecilkan memadang Nabila sambil dalam hati dia berkata, ‘Pura-pura tak faham lagi Nabila ni. Bukankah setiap hari aku menunggu kawan dia yang seorang tu. Semua warga kampus ini sedia maklum yang aku sentiasa menunggu gadis itu.
“Idura Lisa,” dengan getar-getar halus dalam dada, nama itu disebut.
“Oh, Idura,” jawab Nabila sambil terangguk-angguk lantas menyambung.
“Idura memang ada tadi tapi dia sudah minta izin untuk balik awal. Petang nanti dia akan bertolak. Katanya, ada hal penting yang perlu dibereskan. Mungkin sekarang dia sedang sibuk berkemas di dalam bilik.”
“Tapi bukankah masih ada seminggu lagi sebelum cuti panjang? Ini tahun akhir kita. Selepas ni, di majlis konvokesyen nanti baru kita dapat berjumpa lagi. Itu pun kalau terjumpa masa tu. Mesti semua orang sibuk,” Arief melepas nafas berat.
Sesaat, wajah Nabila yang berkerut menahan panahan terik matahari, dipandang. Terpacul soalan dari mulutnya.
 “Kenapa Idura begitu awal tinggalkan kampus? Awak tahu kenapa?”
“Tahu tu memanglah tahu tapi aku tak nak mungkir janji. Idura tak nak ada sesiapa tahu kenapa dia nak balik awal. Katanya, biarlah kawan-kawan tahu sendiri nanti. Kononnya nak bagi kejutan. Jadi, kita tunggu saja la dia sendiri yang umumkan, ya?”
Tiba-tiba Arief merasakan jasadnya berubah menjadi sekeping puzzle yang banyak lompang. Berlubang di sana sini.
“Awak buat aku rasa tak sedap hati. Nak umumkan apa?”
Wajah Arief berombak hampa apabila soalannya hanya disambut dengan gelengan Nabila.
“Okey, tak apa. Kalau aku nak jumpa dia sekarang, awak rasa dia ada masa tak? Aku janji tak lama,” Arief mengangkat tangan kanannya seperti berikrar.
Dengan wajah meminta simpati dia menyambung,  “Awak tolong boleh tak?”
Arief melempar jauh-jauh ego lelakinya hari ini. Perkara yang mahu diluahkannya kepada Idura adalah jauh lebih penting berbanding semua agenda yang ada pada hari ini.
 “Itu aku tak pasti. Setahu aku, dia nak cepat balik rumah. Tapi kalau nak jumpa juga, kau perlu fikirkan sendiri idea yang bagus.”
“Idea yang bagus? Maksud?”
“Itu kau kena fikirlah sendiri. Sebab yang kukuh untuk dijadikan alasan mahu berjumpa,” cadang Nabila.
Kata-kata gadis itu mendorong otaknya berputar ligat. Idea yang bagus dan sebab yang kukuh? Arief memacu otaknya agar berfikir pantas. Mesti cerdas! Kasihan pula dengan Nabila yang mula mengesat peluh di pipi.
“Dah dapat!” Arief petik jari.
“Hah! Apa idea tu?” bersinar mata Nabila yang menunggu sejak tadi.
“Tunggu sekejap!” Arief cepat-cepat mengeluarkan pen dan buku nota sebesar tapak tangan dari dalam beg di belakangnya.
“Nota cinta?” Nabila tergelak namun dia cepat-cepat menekup mulut bila dilihatnya wajah Arief yang berkerut-kerut sambil tangannya pantas menulis sesuatu pada kertas kecil itu.
“Macam cerita cinta zaman dulu-dulu pula. Main koyak-koyak kertas, main posmen-posmen. Tapi tak apa. Aku akan sampaikan.”
Arief senang hati mendengarnya. Maka, kata-kata ringkas yang membawa hasrat murninya itu selesai dicatat.
“Aku tahu, Idura seorang gadis yang baik dan bertimbang rasa. Aku berdoa semoga dia akan sudi berjumpa dengan aku nanti,” perlahan Arief bersuara.
Nota sekeping itu dikoyak dan melipatnya sekemas-kemas. Arief bangun dan lipatan itu diberi pada Nabila.
Nabila mengeleng saat nota kecil itu beralih tangan.
“Dalam panas terik begini, melutut macam ni, aku pun turut bersimpati,” keluh Nabila perlahan namun sempat singgah di gegendang Arief.
“Tolong sampaikan yang aku sangat perlu berjumpa dia. Memang nota tu kecil tapi maksud di dalamnya sangat besar.”

Nabila mengangguk sungguh-sungguh. Cahaya matanya sayu namun payah untuk ditafsir. Selepas mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga buat Nabila yang baik hati, Arief memecut motosikal balik ke bilik. Seketika kemudian, tubuh rendang Nabila hilang di dalam perut bas kampus.