Di dalam bilik, Bryan
sedang tidur terlentang. Wajah rakannya itu tenang dan lenanya diiringi dengkur
perlahan. Tuala mandi berwarna merah
putih yang membaluti separuh badannya itu, terpampang besar perkataan ‘Michael Jordan’. Rambutnya masih
kelihatan lembab.
‘Mesti
lepas mandi dia terus tidur,’ teka Arief.
Sepantas
yang boleh, Arief mencapai tuala mandi yang tersangkut di kepala katil. Dia
segera menanggalkan pakaian dan menggantikannya dengan tuala mandi. Bakul
berisi barang mandian beserta baldi yang disimpan di bawah katil ditarik
keluar.
Langkahnya
panjang menuju ke bilik mandi. Bilik mandi itu dikongsi bersama mahasiswa yang
lain dalam blok yang sama. Dia dan Bryan bertuah kerana bilik mandi itu tidak
jauh dari bilik mereka. Hanya berselang dua pintu. Selesai mandi, Arief pantas
mengambil wuduk dan kembali ke bilik.
Dalam
sujudnya, Arief memohon ampun pada Yang Maha Esa andai solatnya kali ini tidak
sekhusyuk selalu. Dadanya dirasakan berdebar-debar dan sepasang telinganya
menjadi amat peka. Mana tahu jika telefon tiba-tiba berbunyi.
Dalam
doanya yang ringkas itu, Arief memohon semoga Yang Maha Esa mempermudahkan
segala urusan dan semoga pertemuan itu nanti bukan hanya baik untuknya tetapi
juga untuk gadis itu. Arief menghempas nafas berat. Dadanya dihempap sebak yang
dahsyat. Arief meraup wajah dengan perasaan yang berbaur.
Telefon
bimbitnya berbunyi dan bergetar. Jantungnya ikut berdebar saat telefon bimbit
itu dicapai lalu ditekap ke telinga.
“Assalamualaikum,”
sapanya.
Berdebar
menanti suara siapa di seberang sana.
“Waalaikumsalam.
Arief?”
Arief
hampir terloncat mendengar suara itu. Suara yang dinanti-nantikannya.
“Ya,
saya. Idura?” seperti tidak percaya.
“Saya
dah baca nota awak tu. Nak saya jemput awak atau awak datang sendiri ke
café?” soalnya.
Arief
berfikir sejenak. Idura datang menjemputnya?
“Hello,
jadi jumpa ke tak?” sapa Idura di seberang sana apabila tidak ada suara yang
memberi reaksi.
“Oh,
tak apa. Saya datang sendiri,” jawab Arief pantas namun dipintas pula dari
sana.
“Tak
apa la. Saya dah dalam perjalanan ke sana. Awak tunggu kat bawah tu aje.”
Arief
tidak mahu melengahkan masa untuk menganalisis ayat itu lama-lama. Sambil terangguk-angguk,
Arief menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan-lahan.
Jejaka
panik, kutuknya kepada diri sendiri. Biarlah bakal doktor seperti mereka dilabel kononnya hanya
kenal buku dan jarum suntikan. Hanya tahu tebalkan cermin mata.
‘Telahan
yang salah!’ Arief mencantas.
“Hakikatnya,
hati kami juga kaya dengan cinta!’
Selesai
menukar kain sembahyang kepada seluar slack kelabu gelap, Arief memandang
penampilannya di dalam cermin. Skema sangat! Bukannya hendak pergi temuduga!
Dia segera menggantikannya dengan sepasang jeans hitam yang sedia tersangkut di
tepi katil.
Telefon
bimbit dan dompet diselitkannya ke dalam poket seluar. Sedikit minyak rambut
dilumurkan pada kedua belah tapak tangan. Sepanjang anak tangga turun, Arief
selesai merapikan rambutnya dengan menggunakan hujung jari tanpa melihat
cermin. Dia tahu, rambutnya tidak cerewet.
Tidak
sampai lima minit menunggu, sebuah Honda Civic putih berhenti tepat di
hadapannya. Dia seperti kenal dengan kereta ini tetapi ingat-ingat lupa. Arief
membongkok dan menjenguk ke dalam kereta setelah cermin diturunkan.
“Assalamualaikum,”
sapanya setenang mungkin.
“Waalaikumsalam,”
jawab si gadis dari dalam.
Arief
membuka pintu dan duduk di sebelah pemandu. Dia menunggu kereta itu bergerak namun kereta itu pegun saja.
Arief
memandang Idura dengan niat mahu bertanya namun rupanya gadis itu juga sedang
menoleh kepadanya dan gadis itu melempar senyum. Arief terasa seperti baru
mengunyah strawberi! Cepat-cepat dia menyimpan senyuman itu dalam kocek hati.
“Apa
kata kalau awak yang memandu? Saya sebenarnya tak biasa sangat memandu kereta
ni,” pintanya.
“Oh,
boleh,” sambut Arief.
Mereka
membuka pintu serentak lalu bertukar tempat. Selepas itu, kelihatan Idura
menyandar dengan selesa di kerusi sebelah pemandu.
“Kita
tak boleh lama, ya? Saya janji dengan kawan, pinjam kereta ni untuk sekejap
saja,” beritahunya.
“Siapa
kawan awak tu?” soal Arief sambil
matanya fokus ke hadapan.
Tangannya
kemas mengawal stereng dan kereta mula bergerak keluar dari kawasan kediaman.
“Sazzy,”
jawab Idura dan serta-merta suaranya kedengaran teruja dan menyambung.
“Awak
mesti kenal dia, kan? Dia pelajar Fakulti Perubatan. Sazzy Wong!”
‘Sazzy?
Patutlah macam kenal je dengan kereta ni,’ sempat Arief berbisik dalam hati.
Dengan
selamba, Arief mengubah haluan. Dia mula memandu keluar dari kawasan kampus.
Bukan membelok ke arah kafeteria universiti. Terdapat sebuah restoran yang
popular di kalangan warga kampus dan hanya terletak di seberang jalan besar.
Pergi dan balik pun tidak akan sampai lima belas minit.
“Eh,
awak nak ke mana ni? Marah Sazzy nanti,” tingkah Idura.
“Sekejap
lagi saya telefon Sazzy,” jawab Arief.
Selepas
meletakkan kereta elok-elok, Arief menelefon Sazzy sebelum mereka keluar.
“Hai,
Arief!” sapa gadis Sino Kadazan, Si Pemilik Honda Civic putih.
“Hi,
Saz. Kereta awak ada dengan saya sekarang. Nak keluar minum dengan kawan awak
ni. Tak jauh, depan kampus aje. Boleh?” Pertanyaan itu dijawab dengan gelak
panjang Sazzy.
“Bawalah
ke mana-mana pun, Rif. Janji pulangkan. Malam nanti baru saya perlukan kereta.
Sekarang, kamu selesaikan dulu urusan kamu tu.”
“Terima kasih,” sahutnya dengan perasaan lega.
Enjin kereta dimatikan.
“Sazzy
benarkan tak?” gadis di sebelahnya
memandang dengan kening sedikit terangkat.
“Kalau
kita bawa kereta ni balik kampung pun, Sazzy tak akan marah punya,” jawab
Arief.
“Kalau
macam tu, saya pun tak risau sebab tadi saya dah janji pinjam kejap saja,” kata
Idura. Wajahnya dihias senyuman.
Warna
merah hati dan putih melatari keseluruhan ruang restoran itu. Idura melangkah
mendahului dan Arief hanya menurut. Meja yang terletak di suatu sudut yang agak
berhampiran dengan sepohon bonsai rimbun menjadi pilihan. Seorang pekerja
lelaki yang nampak kemas dengan apron ungu dan bertopi merah datang
menghulurkan senarai menu.
“Jus
epal untuk saya,” Idura membuat pesanan dan senyuman tetap menghiasi wajahnya.
“Menu
di sini sedap-sedap. Nak cuba?” Arief menyuakan senarai menu ke hadapan Idura
namun gelengan gadis itu menghentikan pergerakan tangannya.
“Terima
kasih. Kebetulan saya dah makan sebelum balik ke bilik tadi. Kalau tak, pasti
saya akan pilih yang mana satu saya nak cuba,” tolaknya dengan sopan.
“Kalau
begitu, mungkin lain kali kita boleh datang lagi,” Arief memandang pekerja tadi
dan memesan setin 100 Plus untuk dirinya.
Kerusi
yang mereka duduki saling berhadapan dan kelihatan Idura sesekali menarik dan
melepaskan nafas dalam. Riak resah mengiringi senyum tipis di bibirnya.
‘Aku
yang perlu memulakan. Bukankah aku yang menginginkan pertemuan ini?’ gesa Arief
dalam hati.
Arief
mencari-cari ayat yang paling sesuai untuk memulakan bicara. Saat matanya dan
bebola mata gadis itu bertembung, Arief melempar senyum dan menarik nafas
setenang mungkin.
“Idura
dah baca nota kecil saya?” Dengan cukup hati-hati dia bertanya.
Gadis
itu mengangguk.
“Idura
nak beri respon sekarang atau selepas minum nanti?” Arief berkali-kali menyoal
dirinya sendiri.
Adakah
caranya bertanya itu kedengaran seperti mendesak? Atau gelojoh? Arief berharap
agar ayat-ayat yang bakal dituturkannya tidak ada yang akan mengecilkan hati
Idura tanpa dia disedari.
“Sebelum
atau selepas minum pun situasinya tetap sama,” jawab gadis itu dengan nada
tenang.
Jawapan
yang singkat itu cukup mengkucar-kacirkan hati lelakinya. Tak pernah Arief
segentar ini. Berhadapan dengan jasad manusia untuk dibedah, untuk diselongkar
organ-organnya, Arief tidak pernah bergegar kepala lutut. Namun berkaitan hati
dan perasaan, Arief terpaksa mengatur nafas setenang-tenangnya.
Idura
mengacau-ngacau jus epal yang dihidangkan cantik di dalam gelas bertubuh
langsing. Pergerakan jarinya tenang namun riak wajah gadis itu jelas runsing.
“Sejak
bila?” tiba-tiba soalan itu terlontar dari bibir Idura.
Bola
matanya yang bulat bundar itu memandang lurus pada Arief.
“Sejak
Tahun Pertama dulu. Semoga Idura masih ingat. Saya pernah katakan yang saya
mahu berkenalan dengan lebih rapat, tetapi Idura kata pada masa tu, terlalu
awal. Saya fikir, ada benarnya kata-kata tu. Kemudian saya tak bertanya lagi.”
“Tapi itu tidak bermakna yang saya tidak
mengikuti perkembangan Idura. Saya menunggu Idura setiap hari di hadapan
perpustakaan. Saya lega setiap kali melihat Idura dalam keadaan yang baik,”
usai kata-kata itu terluah, Arief terasa seperti sekumpulan rama-rama yang sedang
berterbangan di dalam perutnya hendak menyerbu keluar melalui semua rongga yang
ada!
“Ya,
saya ingat. Saya hargai setiap detik awak menunggu saya di hadapan pepustakaan tu.
Saya hargai sikap awak yang tidak pernah mendesak. Tapi masa yang kita lalui
sudah terlalu panjang. Kita sudah bertemu dengan ramai orang. Kita menjalin
persahabatan dengan ramai kawan. Mungkin kita juga sudah menjalin hubungan dengan
seseorang, kan?”
Arief
agak tersentak dengan ayat terakhir itu. Ayat yang berbentuk satu soalan.
Mungkinkah itu juga sebenarnya adalah satu jawapan?
Arief
mengangkat minumannya ke tepi dan menganti lengannya ke atas meja. Dia tidak
mahu ada jurang untuk meluahkan perasaannya pada Idura saat ini.
“Saya
tidak pernah menjalin hubungan dengan sesiapa. Saya hanya ikhlas berkawan
sepanjang waktu pengajian kerana saya menunggu saat ini tiba dengan sabar. Saya
harap kita sudah bersedia untuk memulakan hubungan yang lebih dewasa,” Arief tatap wajah Idura dalam-dalam. Memohon
pengertian.
“Betul kata awak tu. Pada peringkat ini, kita
sudah bersedia dengan hubungan yang lebih dewasa. Sudah bersedia untuk
bertunang malah jika jodoh sudah menyeru, kita sudah bersedia untuk berkahwin,”
sambil berbicara, jarinya memain-mainkan penyedut minuman di dalam gelas.
“Maksudnya,
Idura pun sudah bersedia seperti saya?” soal Arief penuh mengharap namun
soalannya berbalas soalan juga.
“Ya,
ada. Tetapi sebabnya Nabila tak beritahu,” mendengar suara Arief yang
seolah-olah mengadu, gadis itu tergelak. Barisan giginya yang cantik terpamer.
“Saya
nak kahwin,” beritahu Idura dan pipinya merona merah jambu beberapa saat.
Saat
itu, Arief berasakan seolah-olah bola matanya tersembul. Minuman bergas yang
baru disedutnya tiba-tiba tersekat di kerongkong. Naik tidak, turun pun tidak.
Sedar-sedar sahaja dia sudah tersedak dan batang hidungnya terasa perit.
Matanya merah. Arief menyambut tisu yang dihulur Idura dan perlahan-lahan dia
mengesat kesan basah di tepi hidung, mulut dan dagunya.
Wajah
Idura ditatapnya lekat-lekat dengan sayu. Gadis itu masih memandangnya dengan
riak risau. Arief cuba mengunci pandangan gadis itu agar jangan beralih. Dia
mahu Idura tahu betapa cinta yang disimpannya selama ini bukan satu permainan.
Perasaan cinta itu tidak pernah berubah.
“Adakah
saya yang terlewat?” dengan suara serak Arief menguatkan hati bertanya.
“Ini
tidak berkaitan sama ada lewat atau tidak sebab jawapan saya ialah tidak boleh
menerima awak. Walaupun pada masa itu saya belum ada siapa-siapa. Hanya satu
jawapan saya ialah, tidak wujud perasaan cinta di hati saya untuk awak. Maafkan
saya,” ayat demi ayat itu sangat jelas dituturkannya.
Arief
terpana. Jika diturutkan rajuk di hati, mahu sahaja dia memecut kembali ke
kampus dan tidak mahu tunjuk muka lagi. Malah Arief sempat berharap agar pada
saat itu, lantai di mana kerusi yang didudukinya sekarang tiba-tiba ternganga
dan menelannya masuk ke dalam tanah.
“Arief.”
Arief
mengangkat muka apabila suara Idura menyeru namanya dengan perlahan. Di mata
gadis itu hanya kelihatan sinar simpati dan sinar itu terus membelah hatinya
laksana sinaran laser.
“Maafkan saya,” ucapnya separuh berbisik.
“Tapi
saya cintakan awak,” balas Arief bersungguh-sungguh.
Gadis
itu tertunduk. Tidak sanggup melihat mata lelaki di hadapannya.
“Sekali
lagi, saya minta maaf,” suaranya hampir berbisik.
Beberapa
detik berlalu tanpa sedikit bunyi. Idura tunduk merenung hujung kasut sendiri
dan Arief memanfaat saat itu untuk menatap Idura lama-lama. Wajah yang ditunggu
setiap hari. Wajah yang telah membuatkan dia jatuh hati dan hati yang jatuh itu
tidak mampu dikutip lagi. Akhirnya, Arief melepaskan nafas berat dan cuba untuk
akur dengan kenyataan.
“Terima
kasih kerana berterus-terang. Awak sedikitpun tidak berselindung dan jauh
sekali awak mempermainkan perasaan saya. Awak seorang yang jujur. Sungguh
bertuah lelaki yang berjaya memiliki hati awak, Idura. Saya doakan kebahagiaan
awak.”
Jauh
di sudut hati, Arief berasa amat lega kerana dia masih mampu menuturkan
ayat-ayat yang rasional pada saat jiwanya sedang kritikal.
“Saya
pun berharap yang awak akan bertemu dengan gadis yang lebih baik nanti.
Percayalah, tidak ada yang istimewa sangat pun tentang saya. Saya ni
biasa-biasa saja,” ucap Idura cuba menghiburkan hati lelaki di hadapannya itu.
Arief
menggeleng.
“Saya
tetap berharap, jodoh saya dengan awak.”
Terbulat
mata gadis itu memandangnya.
“Awak
jangan bergurau! Bila dah mula bekerja nanti, pasti berduyun doktor wanita yang
jelita mengejar awak,” bicaranya cuba untuk memujuk.
Arief
hanya tersengih mendengar ayat itu.
“Saya
perlu balik ke bilik sekarang. Ada banyak benda lagi yang perlu dikemas,” pinta
gadis itu.
Arief
mengangguk faham. Minuman 100 Plus terasa amat pahit mengalir di tekaknya.
‘Aku
pun perlu belajar menerima kenyataan yang pahit begini,’ jiwanya meremuk jauh
di dalam.
Arief
menggamit pekerja yang kebetulan berdiri di hadapannya dan membayar harga
minuman mereka.
“Kita
balik?” soalan yang tidak perlu ditanya terpacul dari mulut Arief. Sekilas Idura
memandangnya dan mengangguk.
Sepanjang
perjalanan balik ke kampus, Idura berpeluh tubuh dan matanya lurus memandang ke
hadapan.
“Bila
majlis akan dilangsungkan?” Arief tidak tahu mengapa soalan itu yang terkeluar
dari mulutnya. Hakikatnya, dia tidak mahu tahu.
“Seminggu
sebelum majlis konvokesyen kita,” tutur Idura.
“Konvokesyen
nanti, boleh la Idura datang ditemani suami. Tahniah,” ucap Arief setulus hati.
Idura
mengangguk. Wajah mendung lelaki di sebelahnya dicuri pandang dari ekor mata.
Arief memberhentikan kereta itu di tempat Idura
mula-mula datang menjemputnya tadi. Enjin kereta dibiarkan hidup kerana gadis
itu pula akan mengambil tempat di tempat duduk pemandu. Mereka serentak keluar
dan langkah sama-sama terhenti saat bertembung di hadapan kereta. Idura
mendongak, memandang wajah Arief yang suram. Beberapa saat mata mereka
berpandangan. Arief tidak berganjak.
“Saya
pergi dulu,” Idura beralih sedikit ke kiri agar langkahnya tidak terhalang oleh
Arief yang kekal membatu.
Saat
kereta itu sedang menjauh, Arief sedar hatinya semakin retak dan berderai.
Matanya mengekori sehingga kereta hilang dari pandangan. Dengan kehampaan,
Arief mengheret berat kakinya naik ke bilik. Dilihatnya, Bryan tidak ada di
situ. Bola keranjang milik Bryan juga tidak ada di bawah meja. Arief tahu Bryan
pergi ke mana.
‘Lebih
baik Bryan tidak ada di bilik waktu ni,’ keluh Arief sendiri.
Dia membuka tingkap bilik luas-luas.
Membiarkan angin segar dari luar memenuhi ruang bilik yang dirasakannya menghimpit.
Arief berharap agar dia mampu mengembalikan semangatnya yang hampir hilang
tadi. Tubuhnya direbahkan ke atas katil. Kepalanya terasa semakin berat
seolah-olah tidak mampu diangkat lagi. Sampai hati Idura Lisa.
No comments:
Post a Comment