Thursday 19 September 2013

Catatan untuk 19 September.....

Assalamualaikum dan salam hormat kepada yang sudi singgah membaca.

Sebenarnya, blog ini hampir saya tutup kerana seperti mati segan hidup tak mahu. Sunyi sepi, kusam dan kelam. Setiap kali saya ke sini, pasti terbatuk-batuk hingga nafas hampir sesak. Habuk dan sawang ada di merata-rata. Tebalnya pula sudah hampir sekaki!

Disebabkan 'dapur' di 'rumah' sendiri sudah lama tidak berasap, saya yang lapar, mula berjalan-jalan ke rumah sebelah. Terus berjalan dan berjalan. Catatan-catatan di setiap blog yang saya singgahi amat mengenyangkan jiwa.

Tulisan mereka telah menyuntik satu semangat kepada saya untuk mengemaskan semula 'rumah' sendiri. Takkanlah saya sahaja yang asyik bertandang ke rumah kawan-kawan,kan? Ada masanya, saya juga berkeinginan mahu menjemput rakan -rakan untuk datang bertandang.

Jika berhasrat menjemput rakan-rakan untuk bertandang, pastinya perlu menyediakan sesuatu untuk dijamu. Mungkin juadah yang saya sediakan itu tidak sempurna, tetapi saya berlapang dada jika rakan-rakan yang singgah, apatah lagi jika sudi menikmati juadah, melapangkan waktu untuk meninggalkan komen.

Semoga kunjungan rakan-rakan pada lain waktu, dapat saya jamu dengan juadah yang lebih lazat dan menepati selera, kan? :-)

Alhamdulillah...saya ditemukan dengan seorang 'jiran' yang sudi datang ke rumah saya dan membantu saya mengemaskan rumah. Kebetulan saya 'out station', maka saya titipkan 'kunci rumah' kepadanya supaya mudah dia datang bila-bila masa.

Balik sahaja dari out station, saya terpana seketika. Rumah sudah dicat baru. Di dalam, siap dengan wallpaper baru juga. Perabot-perabot yang agak berselerak sudah disusun kemas dan cantik!

Rasa nak peluk ketat-ketat Adik Dayang Deno yang sudi mengemas. Apakan daya, tangan tak sampai. Tema pink, purple dan silver/grey ini memang seperti yang saya idamkan!

Kini, saya semakin bersemangat memasak juadah. Cuba memberanikan diri meletakkan 'link' di muka-muka buku walaupun hakikatnya rasa segan sudah menghempap-hempap tubuh!

InsyaAllah..jika Yang Maha Pemurah sudah menetapkan rezeki itu buat saya, akan terbitlah buku saya. Jika bukan rezeki saya, saya akan mencuba lagi selagi Jemari, Jiwa & Minda Ini Bersatu Untuk Berkarya....

Editor Nuun Creative Book sudah menampakkan wajah e-book saya yang bertajuk 1313:Sulu
Menangis (boleh baca sedutan yang saya sudah sediakan)

 dan............

  Novel pertama saya yang bertajuk "Andai Tersentuh Cintamu" di bawah Kaki Novel yang sedang menunggu giliran penerbitan bagi Tahun 2014.
(Itu pun jika tidak ditolak pada saat-saat akhir. Mana tahu,kan?)

Saya memang sangat teruja menanti respon seterusnya dari KN namun dalam masa yang sama saya tetap bersedia untuk menerima apa-apa sahaja berita sedih...

Ohhh! Mudah-mudahan ATC berjaya melepasi tapisan akhir dan dapat dinaskahkan. Itu doa saya. Amin..)









1313:Sulu Menangis

Namun niat Azali untuk masuk ke Tanduo tidak terlaksana.

Jalan masuk ke kampung itu sudah disekat oleh pasukan keselamatan berikutan bertempuran yang berlaku.

Sekatan jalan dibuat di sana sini. Berita tentang dua orang anggota pasukan keselamatan kita yang terkorban menjadi isu utama setiap bibir.

Sebuah warung kecil tidak jauh dari tempatnya berdiri menerbitkan rasa dahaga. Langkah segera diatur ke sana.

“Teh limau ais!”

Meja di sebelah kiri dan kanannya dipenuhi dengan individu-individu yang sedang rancak mengulas isu pertempuran di Tanduo.

Azali hanya menadah telinga.

“Perwira kita yang terkorban itu seorang berpangkat inspektor dan seorang lagi berpangkat koperal.”

“Siapa dan apa sekalipun pangkat mereka di dunia, pergi mereka adalah sebagai wira negara. Mereka gugur sebagai syahid. Tidak ada sesiapa pun menduga, pada saat kita mengecapi kemakmuran dan keamanan hari ini, darah perwira tiba-tiba mengalir di bumi Sabah.”

“Sungguh keji pengganas Sulu itu!”

“Ya! Saya juga sudah mendengar sidang akhbar di televisyen.”

“Mereka berpura-pura mengibarkan bendera putih sebagai isyarat menyerah diri. Dan sesungguhnya anggota pasukan keselamatan kita yang berhati bersih tidak banyak berputar belit. Alhamdulillah jika musuh menyerah! Maknanya, isu ini dapat diselesaikan tanpa pertumpahan darah.”

Lelaki berkemeja kemas itu menyambung lagi.

“Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Inspektor Zulkifli yang merupakan Ketua Pasukan benar-benar menyangka musuh berniat baik lantas bangun dari posisi bertahan. Pada saat itulah, peluru dari penembak tepat musuh dilepaskan dan mengenai kepala Allahyarham.”

“Koperal Sabarudin yang paling hampir terus bangun untuk membantu dan Allahyarham turut terkena peluru. Maka gugurlah dua perwira bangsa. Tanpa ketua pasukan, anggota lain terus membalas tempakan dan bertahan sekurang-kurangnya setengah jam sebelum tiba pasukan bantuan. Rupa-rupanya, pada waktu itu pasukan mereka hampir sudah dikepung sepenuhnya oleh musuh.”

“Berapa orang pengganas berjaya ditembak?”

“Dua belas orang ditembak mati!”

Kelihatan mereka menggeleg-geleng kepala serentak. Masing-masing mengetap bibir dengan mata berapi-api.

“Sesuatu yang membuatkan saya geram ialah apabila ada di kalangan rakyat negara ini yang membantah apabila para penceroboh ini dipanggil pengganas!”

“Mengapa pula timbul persoalan bantah membantah?”

“Kata mereka, penceroboh ini juga beragama Islam. Mana mungkin kita sesama Islam menggelar saudara kita sendiri pengganas.”

Rakannya yang seorang lagi terangguk-angguk.

“Namun jika difikirkan sekali jalan, ada benar bantahan mereka itu.”

“Jangan terus mengiyakan sesuatu perkara, saudara. Ingat detik awal kedatangan mereka. Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis mengenal pasti mereka sebagai sekumpulan warga dari Selatan Filipina yang mengaku sebagai pewaris berketurunan Raja Sulu.”

“Setelah mereka mengemukakan tuntutan yang tidak masuk akal itu, demi mengelakkan kekecohan berlaku, maka kerajaan meminta mereka berundur secara aman. Rundingan yang kerajaan kita tawarkan ditolak mentah-mentah. Kononnya tidak akan berundur selagi hak mereka tidak dikembalikan.”

Ayat terakhir itu disambut dengan gelengan panjang rakan-rakannya.

“Mereka seolah-olah hidup dalam khayalan mereka sendiri! Apa mereka ingat ini zaman dulu-dulu? Siapa kuat dia memerintah? Menakhluk mana-mana tanah yang mereka mahu dengan berbekalkan senjata dan nyawa menjadi taruhan?”

“Mereka benar-benar hilang akal! Entah kuasa jahat dari mana sudah merasuk fikiran mereka. Sesungguhnya mereka lupa bahawa tanah yang ingin mereka takluk ini adalah tanah berdaulat!”

“Apabila mereka tidak mahu berundur dan masih mendesak tentang tuntutan ke atas Sabah, maka saat itu mereka mula digelar penceroboh. Itu hakikat! Kerana mereka menceroboh negara kita.

Jika orang yang tidak dikenali masuk ke rumah saudara secara senyap-senyap, pasti saudara menggelarkannya penceroboh,bukan? Tidak mungkin saudara melayaninya sebagai tetamu.”

“Persoalan mengapa gelaran penceroboh itu bertukar kepada gelaran pengganas. Sudah jelas! Kita semua sudah lihat kekejaman yang mereka lakukan ke atas anggota pasukan kita yang gugur di Simunul, Semporna.

Perlukah kita debatkan secara terperinci kekejaman itu? Tidak! Kerana kebencian kita akan terus menyala-nyala dan dendam akan membuak-buak!”

Azali mengurut dada sendiri. Minuman berais yang lalu ditekaknya terasa perit. Mahu sahaja dia membawa langkahnya pergi namun perbualan yang semakin marak itu mengunci punggungnya untuk terus duduk.

Lelaki berkemeja kemas tadi kelihatan masih berkobar-kobar meneruskan ucapan. Rakan-rakannya berpandangan sesama sendiri saat dia melontarkan soalan.

“Adakah saudara sekalian tidak berasa hairan?”

“Isu tanah yang tiba-tiba timbul ini sangat pelik dan menghairankan. Setelah sekian lama Sabah mula membangun di bawah Kerajaan Malaysia, baru kini Kerajaan Sulu mahu membuat tuntutan. Simpati juga kita pada kerajaan mereka itu yang tidak diiktiraf oleh Filipina sendiri.”

“Jika suatu ketika dahulu Sabah hanya ada Centre Point, Wisma Merdeka dan Karamunsing sebagai mercu tanda, kini kita sudah ada Suria Sabah dan One Borneo.

Pusat pentadbiran yang dahulunya terpisah-pisah, kini kita sudah ada Pusat Pentadbiran baru yang terpacak megah. Universiti Malaysia Sabah membuktikan rakyat Sabah juga seiring memartabatkan pendidikan dengan mereka di luar sana.”

“Cuba teka apa akan jadi dengan semua ini jika Sulu mengambil alih?”

Jawab rakannya, “Kita tidak ada Ketua Menteri lagi. Kita akan mempunyai sultan!”

Si lelaki berkemeja kemas ketawa sampai berair mata. Pantas tangannya menarik tisu dari kotak di atas meja. Matanya yang basah dilap kemudian menyambung.

“Saudaraku!”

“Seperti yang kita tahu, akan ramai yang akan mengaku cucu dan cicit Sultan Sulu selepas itu.

Maka, mereka akan membahagikan Negeri Sabah yang kita cintai ini kepada beberapa bahagian demi memenuhi tuntutan setiap waris yang datang entah dari mana itu.

Kita juga sudah maklum dengan sikap tamak, hasad dengki dan dendam yang sudah menjadi darah daging mereka.”

“Katakanlah Sabah dibahagi-bahagikan mengikut zon. Zon Timur dengan sultannya. Zon Utara, Zon Pantai Barat, Zon Bandar dan Zon Selatan seorang sultan setiap satu.

Jika pada suatu hari yang malang Dewan Masyarakat Ranau terbakar, dituduh rakyat dari Zon Bandar yang menjadi dalangnya. Maka, dengan dendam melimpah-ruah, serangan pun dilancarkan. Maka ranaplah Centre Point yang menjadi pusat perniagaan kita selama ini.”

“Tuduh menuduh pun berlaku. Jari dituding pula ke Zon Pantai Barat. Maka, Hospital Kudat pula dijatuhkan bom. Bayangkan keadaan Sabah pada waktu itu? Percayalah! Apa yang kita bina dan nikmati ini akan lenyap, ranap, musnah dalam hanya beberapa ketika mereka di sini.”

Lelaki itu terduduk dan kelihatan matanya berkaca-kaca sekali lagi. Bahunya ditepuk perlahan oleh rakannya.

“Bukan kamu seorang sahaja yang terasa pergolakan yang sedang melanda negeri ini. Bukan hanya penduduk Lahad Datu. Bukan hanya rakyat Sabah. Malah seluruh rakyat Malaysia sedang merasakan hal yang sama. Mengangkat senjata kita tidak mampu. Merancang strategi berperang juga bukan di tangan kita.”

“Tapi kita ada ini, ini dan ini!”

Sambil jarinya menuding ke kepala dan mulut sebelum menepuk dadanya.

“Otak ini mampu berfikir mana yang salah dan mana yang patut kita pangkah!”

“Dengan mulut ini kita bermunajat kepada-Nya. Berdoa agar semua ini segera selesai dan hidup kita kembali seperti aman sediakala.”

“Dan hati ini. Hati ini sudah dididik sebagai hati seorang rakyat Malaysia yang cintakan keamanan. Hati yang sukakan persaudaraan. Hati yang menangis apabila melihat darah perwira mengalir demi mempertahankan kedaulatan!”

Azali menggigit bibir menahan agar matanya yang berkaca-kaca tidak pecah. Tangannya segera menggamit tuan punya warung lalu membayar harga minuman.

Bicara bertubi-tubi yang menembusi gegendangnya sebentar terus mengalir memenuhi setiap inci nadi. Hatinya berkata-kata.

‘Benar. Aku tidak mampu mengangkat senjata untuk mempertahankan kedaulatan negara. Namun aku ada senjata yang tidak kurang hebatnya iaitu murid-muridku.

Kepada mereka akan tumpahkan semangat jati rakyat Malaysia. Dengan buku dan pena akan aku bimbing mereka agar mencintai tanah air ini.

Biar mereka menghargai dan bersyukur lahir di bumi berdaulat ini. Akan aku buka minda mereka agar mereka tahu sejarah bumi Sabah ini.’