“Rif!”
Pintu
diketuk bertalu-talu.
“Rif,
dah bangun ke?”
Wajah Arief
muncul di muka pintu. Tuala mandi masih ditangannya dan dia sedang mengeringkan
rambut yang basah.
“Kalau
Arief nak cari jodoh nanti, baik nyatakan syarat awal-awal. Bakal isteri tu mestilah
mempunyai ciri-ciri alarm clock,” kata
ibu yang berdiri di muka pintu.
“Ibu
nak alarm clock yang bentuk apa?
Warna apa?”
“Bentuk
apa, warna apa pula? Ibu ni serius. Rif bawa bergurau pula. Maksud ibu ialah
seorang isteri yang boleh mengejutkan suaminya supaya tak lewat bangun pagi,”
sambung ibu.
“Syarat
itu aje nak letak? Mudahnya syarat tu,” Arief sengaja memancing mood ibu untuk
berbual.
“Kasih sayangnya, cintanya, setianya hingga ke hujung nyawa. Cuma alangkah baik
jika makan pakai Rif pun terjaga sempurna, kan?” balas ibu dan tangannya
mencapai tuala yang diletakkan Arief di hujung katil.
Sambil
menggeleng-geleng, tuala lembab itu disangkutkannya di belakang pintu.
“Ibu
doakanlah Arief supaya ditemukan jodoh yang baik-baik. Arief pimpin dia, dia
pimpin Arief juga,” Arief menjawab sambil pantas bersiap.
“Ibu
tak pernah lupa mendoakan kebahagiaan anak ibu satu-satunya ni,” tutur ibu
sambil nafas dihela perlahan.
“Arief
tak menolak jodoh, cuma Arief belum menemui gadis seperti Idura,” Arief
berlutut di hadapan ibu yang duduk di birai katil. Tangan ibunya digenggam lalu
dikucup.
“Sudah
tiga tahun, Rif. Gadis tu pun dah berkahwin. Jangan-jangan, sudah beranak
pinak. Anak ibu juga yang masih bujang trang tang tang. Rif pergilah sesekali
keluar dengan kawan-kawan. Tak pun, kenalkan ibu dengan mana-mana doktor atau
jururawat kat hospital tu yang menawan hati.”
Arief
tergelak besar mendengar saranan selamba itu.
“Okey,
bu. Kalau Rif berkenan dengan sesiapa, Rif cepat-cepat kenalkan pada ibu dan
ibu masuk meminang. Ibu ada dengar apa-apa lagu tak?” soal Arief tiba-tiba.
Berkerut
dahi ibunya sambil menajamkan telinga.
“Lagu
apa? Bilik Rif ni bukannya ada radio,” tukas ibu.
“Dengar
tak badabes…badabes….? Lagu tu dari dalam ni,” kata Arief dengan wajah nakal
sambil mengusap perutnya. Ibu pura-pura
tarik muka.
“Ibu
masak apa?” selamba Arief angkat-angkat kening mengusik ibunya lagi dan
serentak itu bahunya menerima penyepit ketam.
“Hah,
buat lawak lagi! Ibu ni serius nak Arief cari jodoh. Jom turun. Kita sarapan
sekali sebelum Rif pergi kerja,” ajak ibu. Arief tersengih-sengih sambil menutup
pintu bilik dan menurut langkah ibunya.
Cuaca baik dan cerah semasa keretanya
meninggalkan perkarangan rumah sejurus bersarapan tadi. Namun sebaik sahaja
bangunan hospital sudah kelihatan, hujan tiba-tiba turun mencurah. Serta-merta
jarak pandangan jadi sangat terbatas.
Guruh berdentum bersahut-sahutan. Seolah-olah matahari tidak pernah
muncul.
Arief
mencuri pandang ke langit dan awan hitam yang muncul entah dari mana terus
menerus memuntahkan isinya. Cuaca memang boleh diramal tetapi tidak terjangka
perubahannya! Saat keretanya sudah memasuki kawasan hospital, telefonnya
menjerit lagi. Arief kerling sesaat. Nombor dari wad kecemasan. Mesti tenaganya
amat diperlukan di sana sekarang.
Sebelah
tangannya mengawal stereng dan sebelah mencapai telefon. Panggilan ini mesti
dijawab supaya mereka tahu yang dia akan sampai sebentar lagi. Makluman seperti
itu sangat penting. Sambil kaki menekan pedal brek memperlahankan keretanya, Arief
bercakap dengan seseorang dari wad kecemasan. Pada waktu itulah, bunyi dentuman
yang kuat dari belakang kereta kedengaran dan serentak itu tubuhnya sendiri
terdorong kuat.
Tanpa
menghiraukan sakit di dadanya, Arief meluru keluar dari perut kereta. Hujan
lebat dan guruh masih berdentum. Tindakan Arief yang tiba-tiba memperlahankan
keretanya tadi telah menyebabkan kereta di belakangnya tidak sempat menekan brek.
Kebetulan pula kereta itu mengekor terlalu rapat dan akhirnya menyondol
bahagian belakang kereta Arief. Bahagian hadapan kereta yang menyondol itu
remuk teruk.
Arief
menekapkan matanya ke cermin sebelah pemandu. Hujan lebat menghalangnya untuk
mendapat gambaran yang jelas tentang keadaan pemandu. Arief memicingkan lagi
mata dan sesaat kemudiannya dia ternganga. Di kerusi sebelah pemandu, seorang
wanita yang sarat mengandung tersandar dengan rambut menutupi sebahagian
wajahnya.
Bantuan
tiba. Polis, bomba dan pihak hospital bekerjasama mengeluarkan mangsa. Dua
puluh minit kemudian, pasangan itu berjaya dikeluarkan dan diusung ke wad
kecemasan. Arief dikecualikan daripada menangani apa-apa kes kecemasan pada
waktu itu kerana pihak polis sedang menyoal siasatnya berkaitan kemalangan
tadi.
*****
Kesakitan
yang laluinya saat ini, hampir tidak tertanggung. Beberapa hari yang lalu, ibu
telah memeluknya erat dan membisikkan ke telinga bahawa dia mengampunkan segala
kesalahan dan menghalalkan setiap titis air susu untuknya dulu.
Idura
hanya mampu merasa kesakitan di kepala akibat hentakan di kereta tadi.
Tangannya terlalu lemah untuk menyentuh kepalanya sendiri. Segala sisa tenaga
yang ada hampir kosong. Mujur sahaja kontraksi yang semakin kerap membuatkannya
terus terjaga.
“Nurse,
macam mana keadaan suami saya? Kami accident di luar tadi,” Idura bersuara
separuh merintih.
“Doakan
suami puan. Paling penting sekarang, kita selamatkan bayi dalam kandungan,”
balas jururawat.
Idura cuba mengangguk namun tidak berdaya. Dia
sekadar mampu memandang jururawat itu dengan mata hampir layu.
“Teran jika saya suruh, ya?” pesan
jururawat itu.
Idura
hanya mampu memandang lemah. Kesakitan yang semakin kerap datangnya itu
mewujudkan perasaan ingin meneran. Idura cuba menahannya tetapi ia hanya
membuatkan tubuhnya seperti bergegar. Tangan Idura meraba-raba mencari palang
besi di kepala katil untuk berpaut mencari kekuatan.
Rasa
sakit itu datang lagi dan dia tidak putus-putus menyebut nama Allah dalam hati.
Idura mengikut arahan jururawat itu setiap kali menyuruhnya meneran. Terasa
biji matanya telah jatuh ke atas pipi. Sudah tidak ada lagi tenaga tersisa di
dalam tubuh longlainya. Idura terkulai saat telinganya menangkap tangisan kecil
yang tiba-tiba memecah sunyi bilik dingin itu.
Itukah
suara anaknya?
Jururawat meletakkan tubuh kecil itu ke
atas dadanya seketika sebelum dibersihkan dan seorang jururawat lain datang
mengambil alih.
“Nurse tadi akan bersihkan baby. Sekarang
puan rehatkan badan. Saya nak pastikan semua uri dah keluar dan nak jahit
sikit. Puan rehat saja,” suara jururawat itu bagaikan angin yang berlalu.
Idura
benar-benar kehabisan tenaga dan tidak sedar bila masa dia tertidur dan untuk
berapa lama.
Sebaik
tersedar, jururawat membantu membaringkan baby rapat ke dada untuk disusukan.
Berulang
kali dahi baby dikucup. Wanginya!
Sejak
Idura mengetahui jantina bayi di dalam kandungan adalah perempuan, dia sudah
memilih satu nama. Nama itu sudah ditulisnya cantik-cantik di atas sekeping
kertas. Kertas itu disisipkannya ke dalam dompet.
Sofea
Natasha.
Idura
berulang kali menyebut nama itu dan nama itu semakin dekat di hatinya. Selepas baby menyusu, Idura ikut terlelap
semula. Dalam kegembiraan dan rasa syukur, keletihan masih bersisa.
Beberapa jam selepas bersalin, masih belum
ada ahli keluarganya yang tiba. Baby sudah bangun tadi, menyusu sekali lagi
sebelum tertidur semula. Idura menekap telapak tangan ke dada. Terasa
jantungnya berdegup kencang. Dia tidak tahu mengapa degupan itu menjadi kencang
tiba-tiba.
“Assalamualaikum.”
Idura
melepaskan nafas lega apabila wajah mak, ayah dan pasangan mertuanya muncul di
pintu.
Mak
dan ibu mertuanya mencium Idura dan baby. Mereka berdua menangis berpelukan
sambil baby dipangku di dalam lengan masing-masing, bersilih ganti. Idura tersenyum
bahagia. Jauh di sudut hati terselit rasa bangga kerana dia telah menambah
bilangan ahli keluarga ini.
“Mak, macam mana keadaan Abang Aidil?
Boleh tak tolak katil Idura, Idura nak lawat dia,” pinta Idura penuh harapan.
Ibu mertuanya menerpa dan memeluk.
Tangisannya pecah. Emak turut memeluknya dari belakang dan mereka berdua
menghujani Idura dengan tangisan.
‘Ini
bukan tangisan gembira,’ mindanya pantas mentafsir.
Idura
pandang wajah ayah, namun ayah melarikan mata.
“Mak, kenapa ni?” Pertanyaan Idura hilang
di sebalik tangisan mereka berdua.
“Idura dan baby dah selamat. Idura tak
sabar nak balik rumah. Kita aturkan majlis cukur jambul baby. Hanya perlu
bincang dengan Abang Aidil bila dia boleh dapat cuti. Apa nak sedih-sedih ni?”
soal Idura lagi.
“Kita akan aturkan semua tu sama-sama. Apa
pun yang berlaku, kita semua tetap satu keluarga. Kita akan jaga baby
sama-sama,” tiba-tiba ayah mertuanya mencelah.
“Idura rehat dulu. Mak dan mak mertua
Idura akan menjaga Idura di sini bergilir-gilir. Kalau nak makan apa-apa,
beritahu ayah. Ayah beli kat kantin,” pesan ayah.
“Idura anak mak.”
Idura
menoleh. Menatap wajah emaknya yang nampak sayu.
“Kita kena sentiasa redha dengan
ketentuanNya. Setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Allah tidak akan
menguji kita dengan sesuatu yang Dia tahu kita sebagai hambaNya tidak mampu
untuk lalui. Idura ingat pesan mak tu?”
Idura
berkerut mendengar kata-kata mak namun dia hanya menganggukkan kepala. Emaknya
memang suka memberi pesanan tidak kira waktu, tidak melihat tempat.
“Anak adalah anugerah yang tidak ternilai.
Anak adalah tanggungjawab yang paling besar. Jangan sesekali putus harapan.
Jangan sesekali menjadi lemah. Ingat ya Idura? Mak, ayah, malah semua orang
sentiasa menyokong Idura walau apa pun yang berlaku. Kasih sayang, restu serta
doa kami sentiasa bersama Idura dan cucu kami ni,” mak mencium pipi baby yang
sedang lena.
Ayah tiba dengan beberapa bakul plastik di
tangannya. Emak menyambut dan menyusun isi bakul plastik itu ke atas meja di
tepi katil. Ada bubur ayam, sup, roti, susu segar dan sesikat pisang emas.
Idura tersenyum.
“Terima kasih, ayah. Idura nak makan sikit
supaya bertenaga. Idura nak tengok Abang Aidil. Dia kat wad mana?” soal Idura.
Ayah
menghampiri dan memeluk bahunya erat. Suatu perasaan pelik menerpa tiba-tiba.
Idura memandang wajah emak dan ayahnya silih berganti.
“Mak, ayah, apa semua ni? Dari tadi mak
dan ayah macam ada sesuatu nak cakap. Macam ada sesuatu yang disembunyikan.
Macam ada yang tak kena. Apa ni, mak? Cuba beritahu betul-betul. Abang Aidil
macam mana?” Tebing matanya mula terasa panas.
‘Mengapa
aku tiba-tiba terasa sebak yang teramat sangat?’ Idura terasa nafasnya seperti
tersekat-sekat.
Dia
menatap wajah sayu emak dan wajah sedih ayah. Idura menjadi benar-benar kaku.
Ada satu persoalan besar yang menghentam kepalanya. Dan ada satu jawapan yang
maha berat sedang mengasak-asak.
Tubuhnya
tiba-tiba menjadi seram sejuk. Ibunya segera memeluk tubuhnya yang tiba-tiba
menggigil.
“Idura,
sabar nak,” suara-suara di sekelilingnya dirasakan seperti angin sejuk yang
membekukan sarafnya. Dia tidak mahu mendengar sesuatu yang dia tidak sanggup
terima. Pandangannya berpinar.
“Nurse!”
Sayup-sayup
di telinganya suara emak memanggil jururawat. Pandangannya seolah hilang tetapi
pendengarannya masih kuat. Kata-kata terakhir emak yang sempat singgah di telinganya
ialah,
“Doakan semoga arwah Aidil aman di sana.”
Idura
terasa fikirannya berat dan dingin sekali. Tubuhnya seperti terapung-apung,
bukan dirinya sendiri lagi kerana ia tanpa anggota. Dia tidak tahu siapa
dirinya kini. Seolah-olah sebutir biji benih yang kecil. Juga ibarat kapas
ringan yang jauh ditiup angin. Tiba-tiba satu dentuman menggegar rongga kepala
dan kali ini dia benar-benar hilang arah. Hanya rasa sejuk, dingin dan beku yang
membalut jasadnya saat ini.
“Idura! Idura anak mak. Mengucap, sayang.
Idura, jangan tinggalkan mak.”
Suara emaknya semakin jauh…
No comments:
Post a Comment