Saturday 23 May 2015

HOTEL

Aqua lautan dan biru langit seolah-olah bercantum. Awan sirus bertebaran di segenap ruang angkasa. Cuaca cerah dan indah. Buih-buih putih tertinggal jauh ke belakang apabila bot membelah laju dan ganas dada samudera.

 Sandra menahan rambutnya yang lurus melepasi bahu itu agar tidak mengerbang ditiup angin namun ada juga yang terlepas. Hendak diikat dengan getah rambut, dia tidak sanggup pula.

“Kos rebonding semalam hampir RM200 tau! Sayang la rambut ni kalau diikat.”

Rungutan Sandra hilang bersama deru angin yang kuat. Setiap kali bot laju itu terlambung tinggi, Sandra memeluk beg galasnya erat-erat dan bibirnya diketap rapat-rapat dengan mata terpejam. 
Jantungnya berdetak kencang dan dia tidak mahu jeritan cemasnya akan mengganggu penumpang yang lain. Biarlah jeritan itu bergema dan memantul di ruang dadanya sendiri.

Sebaik kakinya mencecah daratan, satu perasaan yang teramat lega terus menjengah. Dia menoleh. Bot yang mampu memuatkan sepuluh orang penumpang sebentar tadi, masih terumbang-ambing dibuai ombak. 

Sesekali badan bot itu melanggar tepi pelantar simen yang gah. Meskipun rakannya sudah mencadangkan lebih awal agar memilih feri, tetapi…

…dia mahu cepat sampai!

 Feri yang mengambil masa hampir sejam untuk tiba dari Terminal Menumbok ke Terminal Labuan ini, baginya hanya membazir masa. Jika ada pilihan yang lebih pantas, mengapa bukan itu yang dia pilih?

Dengan bot laju, dia boleh sampai hanya dalam masa lebih kurang 20 minit!

Miss, awak nampak sangat pucat.”

Sandra mencari suara yang menyapa. Seorang wanita dalam lingkungan umur 30-an sedang berdiri di sebelahnya. Wanita itu memandangnya dengan riak simpati.

“Mungkin sebab saya baru turun dari bot tadi,” Sandra menjawab sambil cuba mengukir senyum ramah.

“Ini mungkin pengalaman pertama awak menaiki bot,kan? Di hujung bangunan ni, ada sebuah kedai runcit. Belilah ubat untuk hilangkan pening,” tambah wanita itu lagi sambil telunjuknya dihalakan ke satu arah. Pantas mata Sandra mengikut arah yang ditunjukkan sambil mengangguk-angguk.

“Terima kasih, Sis. Saya memang perlukan ubat sebab saya memang berasa pening sangat,” Sandra memicit-micit tepi dahinya sambil berkerut.

Melihat wanita tadi membelakang dan mula beredar, Sandra tiba-tiba memanggilnya semula.

“Errr, Sis..!”

Nasibnya baik kerana langkah wanita itu belum lesap. Suaranya yang agak perlahan memanggil, terus berjawab. Wanita itu menoleh.

Sis tahu di mana hotel terdekat dari sini? Saya rasa pening sangat dan mahu berehat.”

“Di sini ada banyak hotel. Yang terhampir ada di hujung bangunan ini juga. Bersebelahan dengan kedai runcit yang saya beritahu awal-awal tadi. Jalan terus dan belok kanan,” terangnya dengan suara ramah sebelum berlalu.

“Terima kasih sekali lagi,” ucap Sandra dan bersyukur dalam hati. Mahu juga dia menghubungi kawan-kawannya di sini tetapi sekarang waktu bekerja. Dia berasa tidak elok pula menganggu mereka.

“Peningnya…,” dengan keluhan kecil, Sandra menggagahkan kaki menuju ke arah yang ditunjukkan sebentar tadi.

Tiba di hujung bangunan, dia terlihat dua buah hotel. Hotel di sebelah kanan nampak megah berdiri. Apabila Sandra memandang ke sebelah kiri, juga terdapat sebuah hotel tetapi jika dilihat dari hiasan luarannya, nampak sederhana.

“Mungkin kakak tadi menyangka yang saya memerlukan hotel yang mewah. Hakikatnya, saya hanya perlukan sebuah bilik untuk bermalam dengan selesa dan tidak semestinya mewah,” sambil tersenyum, Sandra memilih untuk pergi ke hotel yang terletak di bangunan sebelah kiri.

Langkah kaki yang semakin lesu akhirnya tiba di hadapan kaunter pertanyaan. Tidak ada sesiapa. Matanya memandang sekeliling. Di atas meja kaunter itu, ada beberapa fail berkulit tebal yang agak lusuh dan sebuah komputer yang agak berhabuk. Matanya melilau pula ke arah lobi yang agak luas. 

Set sofa tersusun kemas namun kelihatan sedikit berdebu.
Sandra kembali memicit-micit tepi dahinya. Dia tidak ada masa untuk memikirkan itu semua. 

Saat ini, dia hanya terbayangkan katil dan bantal sahaja. Hampir sepuluh minit Sandra berdiri menunggu di situ barulah ada seorang wanita muncul. Wanita berkebaya pendek coklat gelap itu terkocoh-kocoh membuka fail sambil meminta maaf berulang kali.

“Ada sesuatu yang perlu diselesaikan di belakang hotel tadi. Saudari hendak bilik yang macam mana?”

“Saya perlukan bilik untuk seorang,” jawab Sandra.

“Memandangkan masih ada banyak bilik kosong, saudari boleh memilih mana-mana bilik yang saudari suka. Sama ada menghadap bandar ataupun menghadap laut. Saudari isi dulu maklumat ini. Jangan lupa tuliskan nama dan nombor telefon yang boleh dihubungi.”

Terbulat mata Sandra. Bersinar-sinar gembira. Ini peluang untuknya menikmati keindahan bandar yang sering dipuji oleh rakan-rakannya.

“Bagaimana dengan bayaran?” Sandra menunggu jawapan sambil menggigit bibir. Dalam masa yang sama, jarinya pantas memenuhkan maklumat yang diinginkan sebelum menyerahkannya semula kepada wanita itu. Jika mahal, dia terpaksa membatalkan niatnya untuk menikmati keindahan yang diidam-idam.

“Bayaran bagi setiap bilik adalah sama,” jawapan wanita itu benar-benar melegakannya.

“Kalau begitu, saya nak bilik yang menghadap laut. Saya mahu menikmati pemandangan yang indah dari balkoni,” Sandra mengeluarkan dompetnya dan bersedia membuat pembayaran.

“Jika saudari mahu menikmati pemandangan yang paling cantik, saya akan berikan saudari sebuah bilik di Tingkat 20 yang menghadap ke arah laut. Pemandangan dari balkoni memang sangat cantik. Seperkara lagi, saudari hanya perlu membuat pembayaran apabila hendak meninggalkan hotel ini.”

Sandra mengangguk-angguk sambil memasukkan semula dompetnya ke dalam beg.

“Ini kunci bilik saudari. Selamat berehat,” ucap wanita itu sambil menunduk memberi hormat.

‘Nampak macam wanita tempatan, bukan Jepun atau Korea. Kenapa perlu beri hormat dengan cara begitu?’

Sempat pula Sandra mengomel dalam hati. Setelah mengucapkan terima kasih dan kakinya berura-ura menuju ke pintu lif, wanita di kaunter memanggil.

“Maaf. Lupa pula saya maklumkan. Tukang masak kami sedang bercuti. Jadi, kami tidak dapat menyediakan apa-apa hidangan di hotel untuk hari ini. Saudari terpaksa makan di restoran luar.

Seperkara lagi, jika saudari perlukan apa-apa bantuan, saya cadangkan saudari terus turun ke bawah sini sebab jika saudari membuat panggilan dari telefon bilik ke kaunter, biasanya saya ada hal lain di belakang dan tidak dapat menjawab panggilan,” terang wanita itu agak panjang lebar.

Sandra mengangguk sahaja. Tidak ada masalah baginya kerana di dalam beg yang tergalas di belakangnya, masih ada sebotol air mineral dan sebungkus roti. Jika lapar, dia boleh mengisi perut dengan dua benda itu untuk sementara waktu.

Lif yang agak usang itu membawanya ke Tingkat 20 dengan agak perlahan. Sandra menyandar sambil terus memicit dahi. Pintu terbuka dan Sandra tersenyum senang hati apabila nombor bilik yang tertera di kunci terletak betul-betul di hadapan pintu lif yang terbuka.

‘Tidak perlu susah-susah mencari,” bisiknya gembira.

Hanya sekali putar, pintu terbuka dan bau harum semerbak terus menerpa.

“Mmmm… seems a thousand of roses..! Sleeping beauty..? Sangat sesuai.”

Sandra menutup pintu dan menguncinya dari dalam. Safety first! Jangan sampai ada orang yang tidak diingini menceroboh masuk.

Tanpa menanggalkan kasut, Sandra terus melabuhkan punggung di tepi katil. Beg galas diletakkan di sebelah. Handphone dikeluarkannya dari kocek seluar jeans dan nombor telefon kawannya ditekan.

Mengantuk macam mana sekalipun, mesti beritahu dulu yang dia sudah sampai. Nanti merajuk pula kawan-kawan.

“Di mana?” suara Rita menyambut.

“Atas pulau yang sama dengan kau la,” balas Sandra.

“Labuan??”

Nope! Tahiti Island..!”   
                          
“Hahh?” Sandra dapat membayangkan mulut Rita semasa membunyikan ‘hahh’.


Of course, Labuan! The Chocolate Island! Okey la. Aku nak tidur sekejap. Malam nanti kita keluar makan sama-sama, okey..? Di hotel ni, no dinner, no supper. Chef dia sedang holiday! Ajak kawan kita yang lain. Aku belanja,” Sandra cuba menceriakan suaranya meskipun denyutan di kepalanya semakin kuat.

“Kau check-in di mana?” soal Rita lagi.

“Bilik 20001, Tingkat 20. Mesti cantik di luar balkoni tapi aku rasa terlalu pening sekarang. Tidak sangka pula aku ni boleh mabuk laut.”

“Kesiannya kawan aku ni. Tidurlah! Tapi tinggi sangat la bilik kau. Hotel apa?” Rita masih bertanya.

“Hotel Hurrah. Aku tidur dulu la. Bangun nanti, aku cari kau,” putus Sandra.

What..? Hurrah?!”

 “My dear Detective Conan, gegendang aku ni macam tercabut. Suara ala-ala pontianak kau tu menakutkan. I said, Hurrah Hotel..! Malam ni kita makan-makan, okey..? I’ll text you later. Bagi saya tidur dulu.”

Panggilan tamat.

Semasa memasukkan handphone itu ke dalam beg, Sandra terperasan bahawa cas bateri hanya ada 10 percent. Bila-bila masa sahaja akan terpadam sendiri.

‘Bangun nanti la baru uruskan hal telefon. Sekarang masa untuk zzzZZZZ,’ Sandra menarik nafas dalam-dalam sambil menikmati haruman mawar yang menguasai segenap ruang bilik.
Keempukan tilam yang dilapisi cadar putih bersih itu menggoda tubuhnya agar terus rebah. 

Niatnya hanya mahu melepaskan lelah, tetapi matanya yang terpejam terasa amat nyaman. Tubuh terasa semakin ringan dan tanpa sedar kelopak matanya terus terkatup dan tidak sedar lagi.
*****
Sambil terpisat-pisat, Sandra bangkit. Dia mahu menguak jendela selebar-lebarnya agar bau yang hapak ini segera hilang. Sekelilingnya gelap pekat. Dengan teraba-raba, Sandra akhirnya berjaya menyentuh tepi jendela dan segera menolak cermin lebar-lebar. Angin yang agak kuat dari luar terus menerpa masuk.

Dengan bantuan cahaya lampu dari luar, Sandra memicingkan mata, cuba menembusi kegelapan untuk mencari suis lampu. Akibat terlalu letih, dia hanya terjaga apabila hari sudah gelap. Suis di tepi pintu ditekan.

‘Hah? Blackout..?!’ Sandra mengeluh. Telefon di atas meja dijeling dan niatnya mahu membuat panggilan ke kaunter tetapi dia teringat pesanan wanita di bawah tadi.

‘Sementara bekalan elektrik terputus, lebih baik pergi keluar makan dengan kawan-kawan,’ dia membuat keputusan. Beg galasnya di atas katil dicapai dan dia menuju ke jendela untuk menutupnya semula.

Tangannya terhenti. Dia memanjangkan leher untuk memastikan apa yang dilihatnya itu adalah benar. Di balkoni bilik sebelah kanannya, seorang wanita sedang menimang-nimang sesuatu. Tangisan bayi tiba-tiba memecah sunyi.

‘Dia buat apa tu? Sejuknya di balkoni ni. Mestilah baby dia menangis,’ Sandra menggeleng-geleng namun belum sempat dia menutup jendela, mulutnya ternganga luas.

Wanita itu mula melambung-lambung bayinya lebih tinggi sambil ketawa. Tengkuk Sandra merinding. Ketawa itu tidak biasa didengar. Panjang dan seolah-olah mengilai.

Mengilai?! Ngggrrrr…!

Tangisan bayi dan suara mengilai ibunya bersahut-sahutan. Belum sempat berfikir apa-apa, jantung Sandra seolah-olah direntap.

Bayi yang sedang dilambung tadi kini sedang terjuntai-juntai dengan kepala ke bawah. Ibunya hanya memegang sebelah kaki dan seperti akan melepaskannya ke bawah pada bila-bila masa.

 “Hei…! Jangan lepaskan! Kalau tidak mahu, serahkan pada saya. Saya akan jaga!”
Kata-katanya tidak diendahkan. Sandra terus memanggil dan cuba memujuk.

“Tolonglah, puan! Jangan lepaskan dia. Saya akan jaga dia seperti keluarga sendiri jika puan mahu.”

Tangisan bayi yang sedang terbalik itu semakin kuat dan suara mengilai wanita itu juga semakin panjang. Apa yang ditakuti akhirnya terjadi. Kaki bayi malang itu telah dilepaskan dan kelihatan tubuh kecil itu terus menjunam ke bawah sehingga tangisannya hilang bersama udara malam. 

Sandra menjerit sekuat-kuatnya. Dia memandang ke bawah dan jasad kecil itu kelihatan hanya seperti perca kain putih dari Tingkat 20 ini.

“Puan memang gila! Puan memang gila! Puan akan terima balasan nanti!!”

Sandra meninggalkan balkoni dan keluar dari bilik. Lif di hadapan pintu tidak dapat digunakan kerana bekalan elektrik yang masih terputus. Sandra tidak ada pilihan lain selain menggunakan tangga.

Sandra berlari menuruni tangga dari satu tingkat ke satu tingkat sehingga dadanya terasa sesak. Bau hapak dan hanyir memenuhi rongga hidungnya. Dia tidak peduli. Dia hanya mahu segera sampai kepada bayi yang dibuang oleh ibunya tadi.

Peluh dingin merembes di dahi serta membasahi seluruh tubuh. Nafasnya tercungap-cungap dan kakinya hampir tidak berdaya untuk melangkah lagi saat mencecah lantai lobi. Kepalanya mula berdenyut kuat akibat menuruni tangga dari tingkat 20 tanpa berhenti.

Dia berasa mual yang teramat. Oleh kerana tidak tertahan, Sandra menekan-nekan perutnya dan akhirnya dia termuntah! Bau busuk dan hanyir muntah membuatkannya berasa semakin lemas.

Langkah Sandra terhuyung-hayang menuju ke pintu utama.

“Argghh!”

Jeritan Sandra bergema di dalam ruang lobi lama yang kosong, gelap dan bersawang.
Sandra menekup dahi yang terlanggar tepi pintu. Dalam samar lampu jalan, dia dapat melihat darah di telapak tangan yang menekup dahi tadi. Sandra tidak peduli. Dia berusaha memboloskan diri dari pintu usang itu.

Udara malam dari luar terasa amat dingin menyapa wajah. Dia tersungkur. Sebak dan terkejut masih menyesak dada. Dia memandang sekeliling.

Kenderaan masih bersimpang siur di hadapan hotel walaupun tidak banyak. Matanya meliar mencari jasad bayi yang dibuang dan matanya tertangkap satu objek putih tidak jauh dari situ.

Sambil menangis dia merangkak menghampiri objek itu. Dia sudah tidak berdaya untuk bangun dan berjalan. Tubuhnya lemas dan amat letih.

Saat hujung jarinya hampir menyentuh objek yang ditutupi kain putih itu, tubuhnya tiba-tiba ditarik dan dipeluk oleh seseorang dari belakang.

“Sandra!”

“Rita!”

Mereka berpelukan. Tangisan Sandra pecah. Pandangannya seperti kabur saat memandang sekeliling. Amy dan Ratna pun ada.

“Itu baby yang jatuh dari Tingkat 20 tadi. Kita mesti cepat buat laporan polis dan menghantar baby ke hospital,” dengan suara sayu Sandra berkata. Air matanya tidak henti sambil telunjuknya lurus ke arah objek yang ditutupi kain putih.

Baby jatuh?!”

 Serentak semua bertanya dan kerutan jelas terpampang di dahi mereka.

Sandra mengarahkan telunjuknya ke arah objek putih yang kaku di atas laluan konkrit yang berdebu. Tangisan Sandra semakin kuat.

Rita menghampiri objek yang dimaksudkan dan menguis kain putih dengan hujung kakinya. Dia berasa jantungnya sendiri ikut berdetak kuat. Apabila objek itu terdedah, Rita menghembus nafas lega.

“Hanya botol air mineral yang tertutup dengan kain putih. It’s nothing..!”

“Rita, aku sendiri nampak baby itu dibuang. Ibu dia yang buang. Dari balkoni Tingkat 20 atas sana!”

Semua mata terarah ke Tingkat 20 bangunan yang gelap dan sunyi.

“Sandra, kami cuba menghubungi kau beratus-ratus kali sejak tengah hari tadi tetapi tidak dapat. Apabila kau beritahu yang kau menginap di Hotel Hurrah, aku menyangka yang kau hanya bergurau. Kami cuba menjejaki kau di seluruh hotel di bandar ini tapi tidak berjaya. Akhirnya kami datang ke sini,” terang Rita dengan suara bergetar.

“Kami hanya memerhatikan hotel ini dari jauh kerana tempat ini memang keras. Setelah hampir berputus asa dan hendak beredar, tiba-tiba kau muncul dari dalam hotel. Kami rasa seperti bermimpi melihat kau keluar dari sana,” Amy ikut duduk di tepi Sandra sambil memeluk bahu rakannya itu.

“Sandra, dahi kau berdarah!” Amy membelek dahi yang terluka.

“Aku terlanggar pintu semasa keluar tadi.”

“Baju kau pula penuh dengan sarang labah-labah!” Rita cuba membuang kotoran itu namun mustahil boleh dibersihkan masa itu juga. Berlapis-lapis dan tebal.

“Mari kita balik ke rumah dulu. Bersihkan badan dan ceritakan semua pada kami, okey..? Sekarang sudah hampir pukul 10 malam,” Ratna membantu membawa beg galas Sandra manakala Rita dan Amy memapah Sandra yang kelihatan sangat pucat dan masih mengongoi.

Kereta yang dipandu oleh Rita bergerak di atas jalan raya dengan kelajuan yang sederhana. Suasana sunyi dan sesekali esakan Sandra sahaja yang kedengaran meskipun matanya terpejam.

“Amy, Ratna, kamu fikir macam mana? Kita terus bawa Sandra balik rumah ataupun kita singgah ke klinik dulu? Aku risau la. Darah di dahi Sandra masih mengalir,” Rita melirik sekilas Amy yang duduk di sebelahnya dan Ratna yang sedang memeluk bahu Sandra di tempat duduk belakang.

“Sandra mungkin hilang semangat dan perlukan bantuan yang kita tidak mampu untuk bantu,” tokok Ratna.

“Ya! Lebih baik kita singgah klinik dulu. Lebih baik kita ke Klinik Waris. Mungkin Dr.Waris boleh membantu. Kita ceritakan apa yang berlaku. Kalau Sandra bersedia, lebih elok jika Sandra sendiri yang bercerita,” cadang Ratna perlahan.

Rita membelokkan stereng menuju ke Klinik Waris yang dimaksudkan. Satu-satunya klinik di bandar itu yang bukan hanya mempraktikkan perubatan moden tetapi juga perubatan tradisional.

Rita membawa beg milik Sandra dan dua lagi rakannya berusaha memapah Sandra yang amat lemah.

“Lama juga kita tidak berjumpa Sandra,kan? Tidak sangka dia kembali slim macam dulu-dulu. Tapi kenapa berat sangat dia ni?” Ratna berkata sambil termengah-mengah.

Amy mengangguk dan membalas, “Betul! Kawan kita ni beratlah! Macam tidak logik pula dengan badan dia yang slim!”

Ratna menolak pintu klinik dan memberi laluan kepada tiga orang rakannya untuk masuk.
“Nanti apabila Sandra sedar, saya akan lapor apa yang kamu bebel tadi. Kamu cakap dia sangat berat, kan?” kata Rita. Nadanya bergurau.

Belum sempat Amy dan Ratna menjawab apa-apa, Sandra yang sedang mereka papah tiba-tiba menjerit dan meraung. Matanya tajam dan merah. Tangan Sandra berpaut kuat pada pintu. Dia menahan badannya, tidak mahu masuk.

“Hantar saya pulang! Hantar saya pulangggg!”

Jeritan Sandra membuatkan Dr.Waris yang berada di dalam ruang pemeriksaan terus keluar ke kaunter.

“Kenapa dengan kawan kamu ni?”

“Dia tidak sengaja menginap di Hotel Hurrah!”

Mendengar jawapan Rita, Dr.Waris mengangguk faham.

“Bawa dia masuk!”

Arahan Dr.Waris segera diturut.

Mereka mengerah sepenuh tenaga untuk membawa Sandra masuk ke ruang pemeriksaan. Sandra tiba-tiba bertindak agresif dan mula sukar untuk dikawal. Suntikan penenang diberi dan seketika kemudian, Sandra terbaring lemah. 

Rita, Amy dan Ratna berpandangan. Seperti masih tidak mempercayai apa yang sedang dan telah dilalui oleh Sandra.

Sebelum ini, beberapa cerita aneh tentang hotel kosong di tengah bandar itu pernah tersebar. Segelintir percaya dan sebahagian besar pula menganggapnya sekadar mitos. 

Tetapi mereka sungguh tidak menyangka yang rakan mereka sendiri adalah mangsa seterusnya!


No comments: