Selesai solat tarawih, kelihatan
dua beranak bertelekung putih sedang melangkah seiring meninggalkan halaman
surau. Amalan mulia yang sudah diterapkan oleh arwah suaminya. Setahun lalu,
arwah yang pergi menukah tidak balik-balik. Hanya selepas dua puluh empat jam,
tubuh kakunya ditemui sudah tidak bernyawa lagi.
Atika satu-satunya anugerah
pengikat cinta kasih dan keletah gadis cilik itu sahaja pengubat rindu buat
yang sudah pergi.
“Kawan-kawan Tika seronok
bercerita tentang baju raya. Baju kurung Alia warna biru nila. Aisyah pula
kata, kebaya dia warna biru firus,” Kalsom tergelak mendengar bebelan Atika.
“Tika tahu biru nila dan biru
firus itu bagaimana?” Sambil menggeleng, mata bundar gadis sunti itu menatapnya
menunggu penjelasan.
“Kalau mama ternampak warna
seperti itu, nanti mama tunjukkan,” kepala Atika diusapnya perlahan.
“Tapi Tika tak suka warna biru.
Tika suka warna hijau. Nanti mama belikan Tika kebaya hijau,ya?” Mendengar
permintaan anak kecil itu, Kalsom tunduk dan mencium dahinya. Dia mengangguk
kecil.
“Insya-Allah. Mama akan jahitkan kebaya untuk
Atika. Sekarang, Atika pergi basuh kaki dan berus gigi. Tika masuk tidur awal
supaya mudah mama kejutkan bila nak sahur nanti.”
Atika menurut. Menatap wajah
suci itu, hatinya disapa sayu. Upah menjahit tidak serancak tahun lalu. Upah
yang diterimanya sekadar cukup untuk dapurnya berasap dan untuk berkirim buku
kerja tambahan melalui Cikgu Sara, demi pelajaran Atika. Mana mungkin duit
sedikit itu digunakan untuk membeli baju raya, meskipun angan-angannya untuk
melihat Atika bergaya dengan baju baru di pagi raya mendesak-desak dari dalam
dada.
Setelah Kalsom memastikan
anaknya itu sudah terlelap, dia menghampiri ibu mertuanya di beranda lalu duduk
bersimpuh di sebelah. Nafasnya dihela berat dan dilepas perlahan.
“Mak, baju-baju kurung Su dan Na
dalam almari tu, mereka masih hendak lagi?” dengan sedikit getar dalam dada dia
bertanya.
“Mereka ada berpesan, sedekahkan
saja jika ada yang memerlukan,” jawapan itu melegakannya.
“Oh, begitu. Baiklah, mak. Som
masuk dulu.”
Kalsom beredar dan langkahnya
menuju ke sebuah almari yang jarang-jarang dibuka. Tangannya membelek, matanya memilih.
Baju-baju kurung itu milik besan-besannya yang hanya setahun sekali sahaja menjengah
kampung. Hanya pada pagi hari raya mereka akan muncul di laman rumah.
Semua baju kurung yang masih
lengkap kain dan bajunya, dilipat dan disimpan semula ke dalam almari. Sehelai
baju kurung hijau bercorak batik yang kainnya entah ke mana, diletak ke tepi
bersama sehelai kain kurung yang sudah hilang pasangannya. Baju bercorak batik
dan kain kurung polos itu dibega-bega sambil matanya kembali memandang sayu
Atika yang dibuai lena.
*****
Sejak semalam, rumah nenek sudah
riuh rendah. Adik beradik abah yang seramai lapan orang itu semua sudah
berkumpul. Ditambah dengan kehadiran anak-anak mereka, semakin sarat rumah
nenek yang mempunyai tiga bilik ini.
"Cepatlah bersiap! Kita
pergi berjalan kaki sahaja. Bukan dengan kereta," laungan Mak Na
membuatkan semua yang lain mempercepatkan urusan masing-masing.
"Cantiknya! Kulit kamu
cerah. Sangat sesuai dengan warna hijau muda."
"Wah! Sampin ini
sangat padan dengan baju melayu kamu."
"Tebalkan sikit celak
mata kamu,Rini. Kalau tidak, kaca mata kamu akan lebih menyerlah!"
"Hei! Kenapa langgar
saya? Tengok ini! Maskara saya sudah comot. Terpaksa bersihkan dan sapu sekali
lagi!"
Sambil membelek-belek baju
kurung yang melekap di tubuhnya, Mak Su berkata, "Tidak sangka warna baju
raya kita sama. Merah darah."
Kata-kata itu disambut dengan
senyum lebar Mak Na. Kembang-kempis hidungnya saat menjawab, "Merah memang
sentiasa bergaya. Biar mahal sikit. Setahun sekali sahaja. Tak lebih dua ratus
ringgit pun. Berapa harga awak punya?"
"Samalah! Cuma mahal sikit
saja. Mungkin sebab saya punya lebih banyak manik-maniknya," lalu turut
membelek-belek bajunya sendiri. Senyum lebar bertakhta di wajahnya yang sudah
dipalit dengan pelbagai warna.
"Agaknyalah!" Bibir
Mak Na tercebik sedikit sambil matanya menjeling sekilas pada manik-manik yang
Mak Su tunjukkan.
Di dalam bilik, baju-baju sudah
bertaburan di atas lantai. Atika sedang menyelongkar almari pakaian seperti
mencari sesuatu. Sesekali dia menyeka peluh yang jatuh ke muka.
"Atika."
Dia cepat-cepat menoleh tatkala
namanya dipanggil. Kalsom, ibunya sedang berdiri di pintu bilik.
"Tika cari apa? Kenapa
semua baju bertaburan begini?"
Ibunya menegur dengan suara
lembut sambil mula mengutip baju-baju yang bertaburan.
"Tika cari baju."
"Baju apa?"
"Baju raya."
"Bukankah mama sudah menggosok
baju raya Atika sejak dua hari lepas? Sudah siap bergantung di tepi cermin."
"Itu tidak cantik. Tidak
ada manik berkilat macam baju Mimi. Tidak ada renda macam baju Wani,"
Atika bersuara perlahan sambil mengesat air mata yang sudah mula gugur di atas
pipi.
Kalsom segera melepaskan
baju-baju di dalam pegangannya lantas memeluk gadis kecil itu. Sambil
mengeratkan pelukan, dia menggigit bibir. Dia menarik nafas dalam-dalam.
Matanya kelihatan berkaca-kaca tetapi apabila Atika mahu memandang lurus ke
wajahnya, dia merapatkan Atika ke dalam pelukan.
"Mimi dan Wani serta
keluarga mereka hanya balik kampung setahun sekali. Mereka datang jauh dari
bandar. Biarlah mereka bergaya. Kita tinggal dengan nenek di sini. Ini rumah
kita juga. Kita bersederhana pun tidak mengapa."
"Tika pun mahu pakai yang
cantik...."
"Apabila besar nanti, Tika
boleh membeli baju yang Tika suka. Malah lebih cantik dari itu pun ada."
"Tapi Tika malu. Mana tahu,
Mimi dan Wani akan mengejek baju Tika nanti."
"Takkanlah sepupu Tika akan
berbuat begitu. Tidak pernah ibu mendengarnya. Marilah! Ibu bantu Tika bersiap.
Ibu tolong sikatkan rambut Tika dan hiaskan dengan reben, ya?"
Akhirnya Atika terpujuk
juga. Baju kebaya hasil jahitan ibunya disarungkan ke badan. Reben itu juga
adalah kain lebihan daripada baju tersebut. Sengaja dijahit menjadi reben untuk
dipadankan dengan baju kebaya itu.
"Semua sudah ada. Mana Mak
Som dan Atika ni? Lambatnya bersiap!"
Kalsom dan Atika
terkocoh-kocoh menghampiri yang lain.
"Maaf. Keronsang
tudung saya tercicir tadi. Baru terjumpa," Kalsom melarikan anak mata agar
tidak bertembung dengan pandangan mereka yang lain. Rasa berdosa kerana
berdalih begitu.
"Eh! Cantiknya baju
kebaya Atika!"
Suara Mak Su yang kuat itu
menarik perhatian berpuluh pasang mata. Serentak pandangan mata yang banyak itu
jatuh pada baju kebaya yang dipakai oleh Atika.
"Kain yang bercorak bunga
ini macam baju Mak Su tahun lalu. Awak memang sangat pandai menjahit, Som. Bila
dah potong dan jahit semula, sangat cantik," kelihatan bersinar-sinar mata
Mak Su memuji.
"Bahagian baju ini pula
macam baju Mak Na. Tetapi apabila kain kosong ini dipadankan dengan corak
batik, terus menjadi. Fesyen kebaya kacukan Atika memang sangat cantik. Padan
pula dengan reben ini," Mak Na pula menyampuk.
"Terima kasih, Su. Terima
kasih, Na. Som rasa sayang hendak buang baju-baju kurung yang kamu semua
tinggalkan di rumah ini pada tahun lalu. Kamu baru pakai sekali. Kain pun
bagus. Itu yang Som jadikan kebaya untuk Atika," ujar Kalsom perlahan.
"Cepatlah kita bergerak
sekarang. Puan Mahani sudah beberapa kali menelefon. Rombongan keluarga kita, bila
hendak sampai," Pak Lang menyeru.
"Puan Mahani itu ada-ada
saja. Namanya pun rumah terbuka. Takkanlah perlu datang tepat pada masa. Kita
bukannya mahu menghadiri mesyuarat," mulut Mak Na terherot sedikit sambil
berkata begitu.
Rombongan beraya ke rumah Puan
Mahani, Ketua Wanita Bahagian itu pun bermula. Kalsom mengucup pipi Atika.
Mereka berdua menuruti langkah yang lain di belakang sekali.
"Ibu, Mak Na dan Mak Su
memuji baju Atika, kan?"
Wajah polos Atika meraih sebak
di dadanya.
"Benarkan apa yang ibu
cakap tadi? Baju Atika memang sangat cantik."
"Kenapa Mak Na dan
Mak Su kata ini baju mereka?"
"Bila Atika besar
nanti, Atika akan faham. Sekarang, kita lupakan semuanya. Kita sudah berpuasa
selama sebulan. Hari ini, kita meraikan kemenangan. Kita menang sebab kita
sudah berjaya berpuasa sebulan."
“Kenapa ibu menangis?”
“Ibu gembira sebab ibu berjaya
menjahit sepasang kebaya yang cantik untuk Atika.”
“Memang cantik sebab ini kebaya
kacukan. Mak Su yang cakap tadi,” ucap Atika lurus.
Atika terloncat-loncat
gembira. Gadis kecil itu tersenyum lebar. Kalsom menyeka setitis air mata yang
jatuh ke pipi sambil menahan limpahan air mata yang menyesak di dada.
1 comment:
sabarlah atika sayang. suatu hari nanti kau pasti akan mengerti… betapa hidup ini begitu sukar untuk dimeteraikan..sesungguhnya kasih ibu terlalu suci untuk dibandingkan dengan segala kasih yg ada di dunia yg fana ini… kasih kebaya kacukan
Post a Comment