Saturday 23 May 2015

Mak Andamku Kacak

“Sudah hampir pukul 2.00 petang, mak andam belum sampai lagi?” soalan mama aku balas dengan gelengan. Tiada jawapan yang mampu memuaskan hati mama saat ini. Resah dan debar yang menyesakkan dada lebih menguasai diri. Degup jantung yang semakin kencang mula bersulam dengan rasa geram yang teramat.
“Mama hanya boleh tunggu sejam sahaja lagi. Kalau mak andam yang kamu tempah itu masih tidak muncul, mama akan hubungi kawan mama. Biar dia yang solekkan kamu.” Tegas mama. Aku menepuk dahi. Aku kenal sangat siapa yang mama maksudkan itu. Puan Adibah kawan baik mama. Minggu lepas, anak Puan Adibah bernama Raudah yang juga rakan sekampusku, baru mendirikan rumah tangga. Mendengar luahan dan rungutan Raudah sudah cukup membuatkan aku berasa seram sejuk.
“Aku menghargai usaha mak yang mahu menyolek aku, Yanty. Isunya ialah mak aku membuka majalah zaman 80-an sebagai rujukan. Maklumlah, peminat tegar Raja Ema. Cuba bayangkan rupa aku waktu bersanding,” rungutan itu disertai dengan mulut herot ke kiri sambil matanya sengaja dijulingkan ke atas. Tidak mampu aku menahan ketawa. Sekeping foto persandingan yang Raudah hulurkan, aku sambut dan tatap. 
“Memang comel, persis Raja Ema. Cuma gaya begini tidak sesuai dengan zaman sekarang,” komenku. 
Foto itu diselitkannya semula ke dalam tas tangan sambil matanya pantas memandang ke kiri dan kanan.
“Ada sesiapa yang lalu tadi? Gambar ini hanya untuk simpanan peribadi.”
“Apa salahnya kalau ada sesiapa nampak. Foto itu memang sangat istimewa, jarang-jarang!” usikku. Raudah memuncungkan mulutnya apabila mendengar kata-kataku.
“Yanty, setengah jam sudah berlalu. Mama tidak boleh menunggu lagi.Majlis bersanding tepat pukul dua petang nanti. Mama akan telefon kawan mama sekarang juga! Kita tidak boleh menunggu lebih lama,” bunyi semacam sahaja kata-kata mama.
Hilang serta-merta ingatanku terhadap Raudah. Sebaik sahaja kelibat mama lesap, jendela berlangsir biru firus yang bersebelahan dengan meja solek aku kuak seluas-luasnya. Aku memanjangkan leher mencari seseorang yang aku rasa boleh menyelamatkan aku.
“Lina!” jeritku. Sekuat hati aku melaungkan namanya. Jika ada yang melabel aku sebagai pengantin tarzan sekalipun aku sudah tidak kisah. Sepupuku itu sedang mengacau-ngacau gulai daging di bawah bumbung dapur sementara yang dibina di tepi rumah. Aroma gulai itu dibawa angin hingga sampai ke dalam rumah.
Aku tidak terkejut melihat dahinya yang berkerut membalas pandanganku. Aku menggamitnya. Lina yang bermata bundar dan bertubuh rendang itu datang berlenggang. Setelah dia terpacak di bawah jendela di mana aku sedang berdiri, dia mendongak memandangku.
“Gulai daging hampir siap. Menu apa yang seterusnya, wahai sepupuku Yanty?” tanyanya selamba.
“Kau tolong solekkan aku!” kataku. Dia kelihatan terkejut.
“Apa? Itu gurauan yang paling serius aku terima sejak pagi tadi!” katanya sambil gelak dibuat-buat.
“Lepas kau solekkan aku, kau hendak ketawa sambil berguling macam dalam filem Hindustan pun tidak mengapa. Cepatlah naik! Hanya kau yang boleh selamatkan aku!” bakat berlakon teater sewaktu di kampus aku manfaatkan sebaik-baiknya. Mudah-mudahan Lina simpati apabila melihat wajahku yang memohon belas kasihan itu. Tangan kiri Lina mencekak pinggang manakala jari jemari kanannya menggaru-garu kepala di sebalik tudung bawalnya.
“Bagaimana dengan gulai di dalam kawah?” tanyanya. 
“Dia asyik risaukan gulai. Bagaimana dengan sepupu dia yang sedang dalam kesusahan…?” Sambil menarik wajah masam, aku berpura-pura ambil hati.
“Aduhai…! Longlailah lutut aku kalau orang merayu-rayu. Tahulah! Tunggu sekejap. Aku mahu mencari seseorang untuk gantikan aku tengokkan gulai.” Lina berlalu meninggalkan aku sendirian. Aku mendepakan tangan di luar jendela. Udara segar aku hirup puas-puas sambil tersenyum lega. Aku kembali duduk di birai katil sambil menunggu kedatangan Lina. Telefon bimbit yang terletak di atas meja solek berbunyi. Lagu bertajuk ‘Hero’ daripada penyanyi Enrique Iglisias itu dipilih sendiri oleh Azzam, suamiku. Pantas sahaja aku menjawab panggilannya.
“Yanty sudah bersiap?” dia bertanya. Mendengar soalan itu, sekilas mataku melirik ke dinding sebelah kiri. Selesai majlis akad nikah pada pukul sebelas pagi tadi, aku bersiap di bilik ini dan suami pula bersiap di bilik sebelah.
“Yanty masih berkain batik. Mak andam yang kita tempah masih belum muncul,” aduku.
“Sudah hubungi dia?” soalnya lagi.
“Sudah banyak kali, mungkin talian tidak berapa bagus.” Beberapa saat aku menunggu suaranya di sebelah sana. Sekali lagi dinding yang memisahkan kami, aku jeling.
Dengan muncung itik aku berleter sendiri, “Kalaulah ini dinding kayu, sudah aku ketuk. Nasib baik dinding batu.”
“Abang…,” panggilku. Telefon bimbit aku lekapkan rapat-rapat ke telinga.
“Ya, abang sentiasa ada di sini. Yanty janganlah risau,” nadanya kedengaran tenang.
Aku menguis-nguis permaidani berbulu tebal di hujung kaki. Rasa mahu merajuk pun ada. Jarum pendek jam semakin menghampiri angka dua. Siapa yang tidak risau?
“Abang sudah selesai bersiap. Yanty buka pintu, abang masuk,” sambungnya lagi.
Belum sempat aku memberi persetujuan, sudah kedengaran ketukan di pintu. Telefon bimbit aku letak semula dan melangkah menuju ke pintu. Sebaik dibuka, Azzam sudah berdiri di situ. Lengkap berpakaian songket untuk majlis persandingan sebentar sahaja lagi. Sebaik kakinya mahu melangkah masuk, Lina sudah tiba.
“Pengantin lelaki tidak boleh mengganggu di sini,” lancar sahaja mulut Lina mengomel. Ayat itu menerima sengihan selamba daripada Azzam. Tidak ada riak kecil hati apatah lagi tersinggung. Malah dia berkata,“Aku kenal seorang agen insuran yang kacak. Nanti aku kenalkan dia kepada kau ya, Lina? Boleh insurankan mulut dengan dia nanti.” Lina terkekeh-kekeh ketawa mendengarnya. Aku turut tersenyum memandang mereka berdua.
“Setelah gulai selesai dimasak, mahu juga mandi dan bersiap-siap. Aku pun teringin juga tampil cantik dan bergambar bersama pengantin. Jadi, aku bawa semua alat solek ni, nasib baik,” ujar Lina sambil beg bercorak polkadot sederhana besar itu diletakkan di hujung katil.
“Masa berjalan. Apa kata kita berdua bekerjasama membantu pengantin perempuan bersiap?” Terlopong aku mendengar Azzam berkata begitu. 
“Kalau Lina yang solekkan, memang boleh diharap. Kalau abang, Yanty rasa lebih baik jadi pemerhati saja.”
“Lina, abaikan dahulu bebelan Puan Yanty. Mari! Kita mulakan misi menyolek pengantin!” Mereka serentak masuk ke dalam bilik itu dan daun pintu dirapatkan semula. Hanya beberapa saat kemudian, tiba-tiba pintu diketuk sekali lagi. Kami bertiga saling berpandangan. Aku menggigit bibir. Mama dan Puan Adibah sudah sampai?
“Yanty rasa mahu menyorok bawah katil,” aku berdiri dan berura-ura mengotakan kata-kataku. Ketukan di pintu disertai dengan panggilan untuk Lina. Serentak aku melepaskan nafas lega. Asalkan bukan mama dan Puan Adibah yang muncul, aku tidak kisah. Lina menuju ke pintu dan menguak sedikit lalu menjenguk keluar. Kedengaran dia bercakap-cakap dengan seseorang. Seketika kemudian, dia berpaling ke arahku dengan wajah kecewa. Aku mengangkat kening tanda bertanya.
“Aku minta maaf sangat-sangat, Yanty. Aku perlu ke dapur sebentar. Ada panggilan kecemasan. Aku cuba datang semula ke sini secepat mungkin. Kalau aku terlambat, terpaksalah kau terima perkhidmatan Puan Adibah,” kata Lina sayu. Kata-katanya membuatkan aku terduduk. Dadaku berombak menahan sebak. Air mata, tolonglah jangan mengalir.
Kelibat Lina hilang di sebalik pintu dan serentak itu jugalah semangatku turut hilang. Aku mula membayangkan pipiku bakal berpalit warna tebal dan mata lebam seperti ditampar!
“Setuju tidak kalau kita menghilangkan diri? Esok lusa kita balik semula ke sini. Jadi, Yanty tidak perlu kusutkan fikiran tentang mak andam.” Cadang Azzam. Membuntang mataku. Aku memuncung mendengar buah fikirannya yang tidak boleh dipertimbangkan itu. Namun hati yang mula berduka ini mahu pula melayan kerenahnya.
“Kalau abang ada seekor kuda putih untuk kita melarikan diri, Yanty setuju.” Tukasku.
“Guna Audi putih abang, tidak boleh?”soalnya kembali. Aku cemberut sambil mataku memandangnya dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.
“Pakaian songket memang sangat tidak sesuai untuk menunggang kuda. Baiklah. Yanty setuju sangat kalau kita melarikan diri menggunakan Audi putih kesayangan abang,” kataku sambil tersenyum. Terlupa seketika kerisauan yang beraja di hati.
“Disebabkan Yanty sudah boleh tersenyum, abang bolehlah memulakan tugas abang sebagai juruandam.” Katanya serius.
“Abang simpan lawak abang itu untuk hari-hari esok, ya. Sekarang, Yanty mahu menghubungi mama. Yanty rela Puan Adibah datang ke sini,” tanganku yang mahu mencapai telefon bimbit ditangkap.
“Boleh tidak Yanty percayakan abang?” soalnya tegas. Bersungguh-sungguh benar dia.
“Abang pernah bekerja sebagai juruandam sebelum ni?” balasku, turut menyoal. Aku pasti dahiku sedang berkerut menatapnya. Segera jari jemarinya melekap kemas di kedua belah pipiku. Ibu jarinya digerakkan dari bahagian tengah dahi ke arah hujung kening secara serentak.
“Tidak elok kalau bahagian ini asyik berkerut. Nanti cepat tua,” bibirnya mengukir senyuman. 
Tubuhku ditarik dan disuruh duduk di hadapan meja solek. Di cermin, aku dapat melihat Azzam mula bekerja. Melihat kecekapan dan ketelitiannya mengadun warna di bahagian mata dan seterusnya di pipi membuatkan aku terpana seketika. Dengan wajah serius, dia menilik wajahku dari arah depan, seolah-olah memastikan warna yang diadunnya tadi tampak sempurna di wajahku.
“Yanty memang sudah cukup comel. Tidak perlu alat solek sebenarnya. Cuma kita perlu pertimbangkan hasil dalam gambar. Kalau langsung tidak bersolek, pucat sangat dalam gambar nanti.” Sambil meratakan pengilat merah jambu di bibirku, mulutnya rancak berkata-kata.
Aku tatap wajahnya. Kelihatan bintik-bintik kecil peluh bertenggek di atas hidungnya yang mancung. Sejurus mata kami bertemu dan senyuman serentak mekar di bibir. Namun hanya seketika dan wajahnya kembali serius.
“Cepat salin baju. Masa sudah terlalu suntuk,” arahnya.
“Abang keluarlah dulu. Yanty hendak menyalin baju,” Aku menolaknya ke arah pintu.
“Maaf, abang terlupa,” jawabnya. Namun apabila tangannya sudah menggenggam tombol pintu, pergerakannya terhenti.
“Apa salahnya abang di sini? Abang akan pandang ke dinding. Abang tidak akan menoleh. Bukankah abang sudah berjanji tidak akan ‘melihat’ Yanty sehinggalah majlis di kedua-dua belah pihak selesai,” katanya lagi.
Aku menarik nafas lega apabila dia duduk di bucu katil dengan tubuhnya mengadap dinding. Dengan secepat kilat aku segera menyarung busana pengantin untuk majlis persandingan kami.
Setelah zip di bahagian belakang berjaya dinaikkan, aku mencuit bahunya sambil bersuara.
“Siap!” Hatiku lega melihat senyuman ceria menghiasi wajahnya. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Hanya satu ‘beep’ dan itu menandakan ada pesanan ringkas masuk. Aku mencapai telefon bimbitku dan membaca pesanan yang masuk tadi lalu menggelengkan kepala.
“Kak Asmidar, mak andam kita baru hantar pesanan ringkas. Rupanya jadual kita bertindih dengan satu tempahan pengantin di tempat lain,” beritahuku.
“Nasib baik kita tidak terlalu berharap. Kalaulah kita menunggu, sampai malam dia tidak akan muncul,” jawab Azzam sambil tangannya mencapai anak tudung putih yang berenda di bahagian depan dan tudung sifon kuning gading yang berhias manik berjuntai. Kedua-duanya dikenakan dengan kemas dan bergaya menutupi rambutku. Kerongsang jernih berjuntai dijadikan sebagai pelengkap.
Setelah itu, aku dipimpin menuju ke hadapan cermin dan dengan malu-malu bercampur ragu, aku menatap imej yang dipantulkan. Akukah yang berseri-seri di dalam cermin itu? Aku menjadi kelu sesaat. Sesungguhnya bukan imej diriku yang membuatkan aku terkaku tetapi hasil sentuhan juruandamku yang kacak ini telah membuka mataku.
“Abang mahu beritahu satu rahsia,” kata Azzam sambil tersenyum. Rahsia? Pantas aku tatap wajahnya dengan kening terangkat.
“Abang sebenarnya…,” Belum sempat ayatnya diteruskan, pintu sudah diketuk. Serentak mata kami berdua jatuh pada muka jam dinding. Jarum pendeknya hampir menyentuh angka dua.
“Abang buka pintu,” katanya dan aku mengangguk. Kalau mama dan Puan Adibah datang, aku sudah pun bersiap. Tidak ada alasan untuk Puan Adibah mahu menyolekku lagi. Pintu dibuka dan kali ini telahanku benar. Mama dan Puan Adibah sudah datang! Dengan jantung berdetak kencang, aku menanti reaksi mereka. Marahkah mama? Kecil hatikah Puan Adibah?
“Jam berapa mak andam Yanty sampai?”
“Ada masalah teknikal. Mak andam tidak jadi datang,” Azzam menjawab bagi pihakku yang mula terketar-ketar mahu menjawab soalan mama tadi.
“Wahai Azzam, menantu mama yang bertuah, jangan beritahu mama yang Yanty bersiap sendiri, ya? Setahu mama, Yanty hanya tahu pakai pelembab bibir,” kata-kata mama disambut dengan ketawa kecil Puan Adibah. Aduhai, mamaku sayang. Rahsia kecil itu pun sudah didedahkan.
“Azzam yang bantu Yanty bersiap,” ujar suamiku dan aku lihat wajahnya sedikit gundah menunggu reaksi mama dan Puan Adibah.
“Bertuah sungguh Yanty. Dapat suami yang pandai berlawak. Rupa pun ada. Semoga bahagia hingga ke jannah,” lebar senyum Puan Adibah. Matanya galak memandang aku dan Azzam silih berganti. Mama menghampiriku dan wajahku diteliti dekat-dekat.
“Mesti mahal upah yang kamu bayar untuk mak andam ini. Kemas dan hasil kerjanya sangat rapi,” mama memuji sambil tangannya membetul-betulkan sedikit tudungku. Azzam bergerak dan berdiri di sebelah mama. Sambil matanya melirik sesaat kepadaku, dia berkata dengan bibir melebar.
“Mama, juruandamnya ada di sebelah mama,” sekali lagi dia mengulang faktanya awal-awal tadi.
“Mama rasa hendak tergelak juga tetapi Azzam simpan dahulu lawak itu sehingga majlis bersanding selesai, ya?” Kami berdua mengangguk walaupun bibir menahan senyum.
Pelamin yang bertemakan warna perak, ungu dan sedikit percikan merah jambu itu menjadi mercu majlis sederhana kami. Aku menebarkan pandang. Ramai ahli keluarga terdekat berada di ruangan itu. Lina datang menghampiri dan memperkemaskan letak tudung di atas kepalaku. Dia mendekatkan wajahnya sambil bertanya separuh berbisik.
“Bila masa mak andam kau sampai?”
“Dia tidak sampai-sampai,” mendengar jawapanku, kening tebal Lina hampir bertemu. Aku lihat langkahnya hilang di belakangku. Rupanya dia berdiri di antara aku dan Azzam. Perasaan ingin tahu itu dialihkannya pula kepada suamiku.
“Azzam, engkau yang bantu Yanty bersiap tadi, ya?” soalnya dengan nada perlahan.
“Aku tunggu-tunggu tapi kau tak datang,” balas suamiku yang lengkap berpakaian songket itu.
“Berseri-seri wajah pengantin. Tidak sangka sentuhan ajaib yang kita tunggu-tunggu rupanya ada di sini,” ceria sungguh suara sepupuku ini.
Aku menyangka dia sudah berpuas hati, rupa-rupanya dia masih menyimpan soalan lain.
Suamiku diserang dengan soalan seterusnya. “Azzam, sejak bila kau bekerja sambilan sebagai juruandam? Menarik!”
Aku merapatkan bibir dan menoleh sedikit ke kanan. Sesungguhnya aku juga ditimpa persoalan yang sama.
Pandangan kami bertaut dan tanpa disangka Azzam sempat kenyit mata.
“Tetamu baling cawan baru tahu! Atas pelamin, mana boleh kenyit-kenyit begitu?”
Sergahan Lina membuatkan aku tunduk menahan ketawa namun mata masih melirik pengantin lelaki di sebelah.
Lesung pipinya nampak ketara apabila dia tersenyum.  Walaupun hanya sesaat tetapi aku sangat yakin bahawa di sebalik senyuman itu ada sesuatu yang dia sorokkan.
“Selepas majlis selesai, abang akan menghubungi mak andam yang Yanty tempah itu dan mahu mengucapkan terima kasih kepadanya.”
“Berterima kasih? Yanty tidak faham. Yanty memang mahu menghubungi dia untuk menuntut semula wang pendahuluan yang sudah kita beri tempoh hari,” ujarku. Rasa geram masih menggamit-gamit.
“Wang itu Yanty tuntut saja dari abang. Abang yang suruh dia jangan datang sebab abang mahu mengandam sendiri isteri abang,” jelas suamiku. Terpana aku mendengarnya.
Seolah-olah mengerti, lelaki yang duduk di sebelahku itu berbicara perlahan.
“Demimu ratu sehari, abang sanggup berlatih siang dan malam. Kelas Dandanan dan Solekan yang Kak Asmidar anjurkan memang sangat bagus.”
“Abang?” Belum sempat aku memanjangkan ayatku untuk bertanya lebih lanjut, mama sudah berdiri di hadapan kami.
“Tetamu semakin ramai. Elok-elok bersanding atas pelamin. Tidak manis pengantin berbual-bual begini. Selepas majlis, mahu berbual tiga hari tiga malam pun tiada siapa akan melarang. Nah!” bantal berbentuk hati berhias renda putih diletakkannya di atas pangkuanku sambil menyambung,“Yanty nampak cantik sangat. Kawan-kawan mama bertanya, siapa mak andamnya? Ramai yang mahu menempah. Maklumlah, cuti sekolah sudah hampir. Ramai yang mahu membuat majlis kenduri kahwin. Selepas majlis, beri nombor telefon itu pada mama, ya?” kata mama sebelum berlalu pergi.

Aku hanya tersenyum walaupun dalam hati sedikit cuak. Majlis berlangsung dengan cukup meriah. Namun selepas majlis ini, ada perkara yang perlu aku jelaskan kepada mama. Aku tidak rela juruandamku yang kacak ini ditempah untuk pengantin lain!

No comments: