Saturday, 23 May 2015

Mak Andamku Kacak

“Sudah hampir pukul 2.00 petang, mak andam belum sampai lagi?” soalan mama aku balas dengan gelengan. Tiada jawapan yang mampu memuaskan hati mama saat ini. Resah dan debar yang menyesakkan dada lebih menguasai diri. Degup jantung yang semakin kencang mula bersulam dengan rasa geram yang teramat.
“Mama hanya boleh tunggu sejam sahaja lagi. Kalau mak andam yang kamu tempah itu masih tidak muncul, mama akan hubungi kawan mama. Biar dia yang solekkan kamu.” Tegas mama. Aku menepuk dahi. Aku kenal sangat siapa yang mama maksudkan itu. Puan Adibah kawan baik mama. Minggu lepas, anak Puan Adibah bernama Raudah yang juga rakan sekampusku, baru mendirikan rumah tangga. Mendengar luahan dan rungutan Raudah sudah cukup membuatkan aku berasa seram sejuk.
“Aku menghargai usaha mak yang mahu menyolek aku, Yanty. Isunya ialah mak aku membuka majalah zaman 80-an sebagai rujukan. Maklumlah, peminat tegar Raja Ema. Cuba bayangkan rupa aku waktu bersanding,” rungutan itu disertai dengan mulut herot ke kiri sambil matanya sengaja dijulingkan ke atas. Tidak mampu aku menahan ketawa. Sekeping foto persandingan yang Raudah hulurkan, aku sambut dan tatap. 
“Memang comel, persis Raja Ema. Cuma gaya begini tidak sesuai dengan zaman sekarang,” komenku. 
Foto itu diselitkannya semula ke dalam tas tangan sambil matanya pantas memandang ke kiri dan kanan.
“Ada sesiapa yang lalu tadi? Gambar ini hanya untuk simpanan peribadi.”
“Apa salahnya kalau ada sesiapa nampak. Foto itu memang sangat istimewa, jarang-jarang!” usikku. Raudah memuncungkan mulutnya apabila mendengar kata-kataku.
“Yanty, setengah jam sudah berlalu. Mama tidak boleh menunggu lagi.Majlis bersanding tepat pukul dua petang nanti. Mama akan telefon kawan mama sekarang juga! Kita tidak boleh menunggu lebih lama,” bunyi semacam sahaja kata-kata mama.
Hilang serta-merta ingatanku terhadap Raudah. Sebaik sahaja kelibat mama lesap, jendela berlangsir biru firus yang bersebelahan dengan meja solek aku kuak seluas-luasnya. Aku memanjangkan leher mencari seseorang yang aku rasa boleh menyelamatkan aku.
“Lina!” jeritku. Sekuat hati aku melaungkan namanya. Jika ada yang melabel aku sebagai pengantin tarzan sekalipun aku sudah tidak kisah. Sepupuku itu sedang mengacau-ngacau gulai daging di bawah bumbung dapur sementara yang dibina di tepi rumah. Aroma gulai itu dibawa angin hingga sampai ke dalam rumah.
Aku tidak terkejut melihat dahinya yang berkerut membalas pandanganku. Aku menggamitnya. Lina yang bermata bundar dan bertubuh rendang itu datang berlenggang. Setelah dia terpacak di bawah jendela di mana aku sedang berdiri, dia mendongak memandangku.
“Gulai daging hampir siap. Menu apa yang seterusnya, wahai sepupuku Yanty?” tanyanya selamba.
“Kau tolong solekkan aku!” kataku. Dia kelihatan terkejut.
“Apa? Itu gurauan yang paling serius aku terima sejak pagi tadi!” katanya sambil gelak dibuat-buat.
“Lepas kau solekkan aku, kau hendak ketawa sambil berguling macam dalam filem Hindustan pun tidak mengapa. Cepatlah naik! Hanya kau yang boleh selamatkan aku!” bakat berlakon teater sewaktu di kampus aku manfaatkan sebaik-baiknya. Mudah-mudahan Lina simpati apabila melihat wajahku yang memohon belas kasihan itu. Tangan kiri Lina mencekak pinggang manakala jari jemari kanannya menggaru-garu kepala di sebalik tudung bawalnya.
“Bagaimana dengan gulai di dalam kawah?” tanyanya. 
“Dia asyik risaukan gulai. Bagaimana dengan sepupu dia yang sedang dalam kesusahan…?” Sambil menarik wajah masam, aku berpura-pura ambil hati.
“Aduhai…! Longlailah lutut aku kalau orang merayu-rayu. Tahulah! Tunggu sekejap. Aku mahu mencari seseorang untuk gantikan aku tengokkan gulai.” Lina berlalu meninggalkan aku sendirian. Aku mendepakan tangan di luar jendela. Udara segar aku hirup puas-puas sambil tersenyum lega. Aku kembali duduk di birai katil sambil menunggu kedatangan Lina. Telefon bimbit yang terletak di atas meja solek berbunyi. Lagu bertajuk ‘Hero’ daripada penyanyi Enrique Iglisias itu dipilih sendiri oleh Azzam, suamiku. Pantas sahaja aku menjawab panggilannya.
“Yanty sudah bersiap?” dia bertanya. Mendengar soalan itu, sekilas mataku melirik ke dinding sebelah kiri. Selesai majlis akad nikah pada pukul sebelas pagi tadi, aku bersiap di bilik ini dan suami pula bersiap di bilik sebelah.
“Yanty masih berkain batik. Mak andam yang kita tempah masih belum muncul,” aduku.
“Sudah hubungi dia?” soalnya lagi.
“Sudah banyak kali, mungkin talian tidak berapa bagus.” Beberapa saat aku menunggu suaranya di sebelah sana. Sekali lagi dinding yang memisahkan kami, aku jeling.
Dengan muncung itik aku berleter sendiri, “Kalaulah ini dinding kayu, sudah aku ketuk. Nasib baik dinding batu.”
“Abang…,” panggilku. Telefon bimbit aku lekapkan rapat-rapat ke telinga.
“Ya, abang sentiasa ada di sini. Yanty janganlah risau,” nadanya kedengaran tenang.
Aku menguis-nguis permaidani berbulu tebal di hujung kaki. Rasa mahu merajuk pun ada. Jarum pendek jam semakin menghampiri angka dua. Siapa yang tidak risau?
“Abang sudah selesai bersiap. Yanty buka pintu, abang masuk,” sambungnya lagi.
Belum sempat aku memberi persetujuan, sudah kedengaran ketukan di pintu. Telefon bimbit aku letak semula dan melangkah menuju ke pintu. Sebaik dibuka, Azzam sudah berdiri di situ. Lengkap berpakaian songket untuk majlis persandingan sebentar sahaja lagi. Sebaik kakinya mahu melangkah masuk, Lina sudah tiba.
“Pengantin lelaki tidak boleh mengganggu di sini,” lancar sahaja mulut Lina mengomel. Ayat itu menerima sengihan selamba daripada Azzam. Tidak ada riak kecil hati apatah lagi tersinggung. Malah dia berkata,“Aku kenal seorang agen insuran yang kacak. Nanti aku kenalkan dia kepada kau ya, Lina? Boleh insurankan mulut dengan dia nanti.” Lina terkekeh-kekeh ketawa mendengarnya. Aku turut tersenyum memandang mereka berdua.
“Setelah gulai selesai dimasak, mahu juga mandi dan bersiap-siap. Aku pun teringin juga tampil cantik dan bergambar bersama pengantin. Jadi, aku bawa semua alat solek ni, nasib baik,” ujar Lina sambil beg bercorak polkadot sederhana besar itu diletakkan di hujung katil.
“Masa berjalan. Apa kata kita berdua bekerjasama membantu pengantin perempuan bersiap?” Terlopong aku mendengar Azzam berkata begitu. 
“Kalau Lina yang solekkan, memang boleh diharap. Kalau abang, Yanty rasa lebih baik jadi pemerhati saja.”
“Lina, abaikan dahulu bebelan Puan Yanty. Mari! Kita mulakan misi menyolek pengantin!” Mereka serentak masuk ke dalam bilik itu dan daun pintu dirapatkan semula. Hanya beberapa saat kemudian, tiba-tiba pintu diketuk sekali lagi. Kami bertiga saling berpandangan. Aku menggigit bibir. Mama dan Puan Adibah sudah sampai?
“Yanty rasa mahu menyorok bawah katil,” aku berdiri dan berura-ura mengotakan kata-kataku. Ketukan di pintu disertai dengan panggilan untuk Lina. Serentak aku melepaskan nafas lega. Asalkan bukan mama dan Puan Adibah yang muncul, aku tidak kisah. Lina menuju ke pintu dan menguak sedikit lalu menjenguk keluar. Kedengaran dia bercakap-cakap dengan seseorang. Seketika kemudian, dia berpaling ke arahku dengan wajah kecewa. Aku mengangkat kening tanda bertanya.
“Aku minta maaf sangat-sangat, Yanty. Aku perlu ke dapur sebentar. Ada panggilan kecemasan. Aku cuba datang semula ke sini secepat mungkin. Kalau aku terlambat, terpaksalah kau terima perkhidmatan Puan Adibah,” kata Lina sayu. Kata-katanya membuatkan aku terduduk. Dadaku berombak menahan sebak. Air mata, tolonglah jangan mengalir.
Kelibat Lina hilang di sebalik pintu dan serentak itu jugalah semangatku turut hilang. Aku mula membayangkan pipiku bakal berpalit warna tebal dan mata lebam seperti ditampar!
“Setuju tidak kalau kita menghilangkan diri? Esok lusa kita balik semula ke sini. Jadi, Yanty tidak perlu kusutkan fikiran tentang mak andam.” Cadang Azzam. Membuntang mataku. Aku memuncung mendengar buah fikirannya yang tidak boleh dipertimbangkan itu. Namun hati yang mula berduka ini mahu pula melayan kerenahnya.
“Kalau abang ada seekor kuda putih untuk kita melarikan diri, Yanty setuju.” Tukasku.
“Guna Audi putih abang, tidak boleh?”soalnya kembali. Aku cemberut sambil mataku memandangnya dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.
“Pakaian songket memang sangat tidak sesuai untuk menunggang kuda. Baiklah. Yanty setuju sangat kalau kita melarikan diri menggunakan Audi putih kesayangan abang,” kataku sambil tersenyum. Terlupa seketika kerisauan yang beraja di hati.
“Disebabkan Yanty sudah boleh tersenyum, abang bolehlah memulakan tugas abang sebagai juruandam.” Katanya serius.
“Abang simpan lawak abang itu untuk hari-hari esok, ya. Sekarang, Yanty mahu menghubungi mama. Yanty rela Puan Adibah datang ke sini,” tanganku yang mahu mencapai telefon bimbit ditangkap.
“Boleh tidak Yanty percayakan abang?” soalnya tegas. Bersungguh-sungguh benar dia.
“Abang pernah bekerja sebagai juruandam sebelum ni?” balasku, turut menyoal. Aku pasti dahiku sedang berkerut menatapnya. Segera jari jemarinya melekap kemas di kedua belah pipiku. Ibu jarinya digerakkan dari bahagian tengah dahi ke arah hujung kening secara serentak.
“Tidak elok kalau bahagian ini asyik berkerut. Nanti cepat tua,” bibirnya mengukir senyuman. 
Tubuhku ditarik dan disuruh duduk di hadapan meja solek. Di cermin, aku dapat melihat Azzam mula bekerja. Melihat kecekapan dan ketelitiannya mengadun warna di bahagian mata dan seterusnya di pipi membuatkan aku terpana seketika. Dengan wajah serius, dia menilik wajahku dari arah depan, seolah-olah memastikan warna yang diadunnya tadi tampak sempurna di wajahku.
“Yanty memang sudah cukup comel. Tidak perlu alat solek sebenarnya. Cuma kita perlu pertimbangkan hasil dalam gambar. Kalau langsung tidak bersolek, pucat sangat dalam gambar nanti.” Sambil meratakan pengilat merah jambu di bibirku, mulutnya rancak berkata-kata.
Aku tatap wajahnya. Kelihatan bintik-bintik kecil peluh bertenggek di atas hidungnya yang mancung. Sejurus mata kami bertemu dan senyuman serentak mekar di bibir. Namun hanya seketika dan wajahnya kembali serius.
“Cepat salin baju. Masa sudah terlalu suntuk,” arahnya.
“Abang keluarlah dulu. Yanty hendak menyalin baju,” Aku menolaknya ke arah pintu.
“Maaf, abang terlupa,” jawabnya. Namun apabila tangannya sudah menggenggam tombol pintu, pergerakannya terhenti.
“Apa salahnya abang di sini? Abang akan pandang ke dinding. Abang tidak akan menoleh. Bukankah abang sudah berjanji tidak akan ‘melihat’ Yanty sehinggalah majlis di kedua-dua belah pihak selesai,” katanya lagi.
Aku menarik nafas lega apabila dia duduk di bucu katil dengan tubuhnya mengadap dinding. Dengan secepat kilat aku segera menyarung busana pengantin untuk majlis persandingan kami.
Setelah zip di bahagian belakang berjaya dinaikkan, aku mencuit bahunya sambil bersuara.
“Siap!” Hatiku lega melihat senyuman ceria menghiasi wajahnya. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Hanya satu ‘beep’ dan itu menandakan ada pesanan ringkas masuk. Aku mencapai telefon bimbitku dan membaca pesanan yang masuk tadi lalu menggelengkan kepala.
“Kak Asmidar, mak andam kita baru hantar pesanan ringkas. Rupanya jadual kita bertindih dengan satu tempahan pengantin di tempat lain,” beritahuku.
“Nasib baik kita tidak terlalu berharap. Kalaulah kita menunggu, sampai malam dia tidak akan muncul,” jawab Azzam sambil tangannya mencapai anak tudung putih yang berenda di bahagian depan dan tudung sifon kuning gading yang berhias manik berjuntai. Kedua-duanya dikenakan dengan kemas dan bergaya menutupi rambutku. Kerongsang jernih berjuntai dijadikan sebagai pelengkap.
Setelah itu, aku dipimpin menuju ke hadapan cermin dan dengan malu-malu bercampur ragu, aku menatap imej yang dipantulkan. Akukah yang berseri-seri di dalam cermin itu? Aku menjadi kelu sesaat. Sesungguhnya bukan imej diriku yang membuatkan aku terkaku tetapi hasil sentuhan juruandamku yang kacak ini telah membuka mataku.
“Abang mahu beritahu satu rahsia,” kata Azzam sambil tersenyum. Rahsia? Pantas aku tatap wajahnya dengan kening terangkat.
“Abang sebenarnya…,” Belum sempat ayatnya diteruskan, pintu sudah diketuk. Serentak mata kami berdua jatuh pada muka jam dinding. Jarum pendeknya hampir menyentuh angka dua.
“Abang buka pintu,” katanya dan aku mengangguk. Kalau mama dan Puan Adibah datang, aku sudah pun bersiap. Tidak ada alasan untuk Puan Adibah mahu menyolekku lagi. Pintu dibuka dan kali ini telahanku benar. Mama dan Puan Adibah sudah datang! Dengan jantung berdetak kencang, aku menanti reaksi mereka. Marahkah mama? Kecil hatikah Puan Adibah?
“Jam berapa mak andam Yanty sampai?”
“Ada masalah teknikal. Mak andam tidak jadi datang,” Azzam menjawab bagi pihakku yang mula terketar-ketar mahu menjawab soalan mama tadi.
“Wahai Azzam, menantu mama yang bertuah, jangan beritahu mama yang Yanty bersiap sendiri, ya? Setahu mama, Yanty hanya tahu pakai pelembab bibir,” kata-kata mama disambut dengan ketawa kecil Puan Adibah. Aduhai, mamaku sayang. Rahsia kecil itu pun sudah didedahkan.
“Azzam yang bantu Yanty bersiap,” ujar suamiku dan aku lihat wajahnya sedikit gundah menunggu reaksi mama dan Puan Adibah.
“Bertuah sungguh Yanty. Dapat suami yang pandai berlawak. Rupa pun ada. Semoga bahagia hingga ke jannah,” lebar senyum Puan Adibah. Matanya galak memandang aku dan Azzam silih berganti. Mama menghampiriku dan wajahku diteliti dekat-dekat.
“Mesti mahal upah yang kamu bayar untuk mak andam ini. Kemas dan hasil kerjanya sangat rapi,” mama memuji sambil tangannya membetul-betulkan sedikit tudungku. Azzam bergerak dan berdiri di sebelah mama. Sambil matanya melirik sesaat kepadaku, dia berkata dengan bibir melebar.
“Mama, juruandamnya ada di sebelah mama,” sekali lagi dia mengulang faktanya awal-awal tadi.
“Mama rasa hendak tergelak juga tetapi Azzam simpan dahulu lawak itu sehingga majlis bersanding selesai, ya?” Kami berdua mengangguk walaupun bibir menahan senyum.
Pelamin yang bertemakan warna perak, ungu dan sedikit percikan merah jambu itu menjadi mercu majlis sederhana kami. Aku menebarkan pandang. Ramai ahli keluarga terdekat berada di ruangan itu. Lina datang menghampiri dan memperkemaskan letak tudung di atas kepalaku. Dia mendekatkan wajahnya sambil bertanya separuh berbisik.
“Bila masa mak andam kau sampai?”
“Dia tidak sampai-sampai,” mendengar jawapanku, kening tebal Lina hampir bertemu. Aku lihat langkahnya hilang di belakangku. Rupanya dia berdiri di antara aku dan Azzam. Perasaan ingin tahu itu dialihkannya pula kepada suamiku.
“Azzam, engkau yang bantu Yanty bersiap tadi, ya?” soalnya dengan nada perlahan.
“Aku tunggu-tunggu tapi kau tak datang,” balas suamiku yang lengkap berpakaian songket itu.
“Berseri-seri wajah pengantin. Tidak sangka sentuhan ajaib yang kita tunggu-tunggu rupanya ada di sini,” ceria sungguh suara sepupuku ini.
Aku menyangka dia sudah berpuas hati, rupa-rupanya dia masih menyimpan soalan lain.
Suamiku diserang dengan soalan seterusnya. “Azzam, sejak bila kau bekerja sambilan sebagai juruandam? Menarik!”
Aku merapatkan bibir dan menoleh sedikit ke kanan. Sesungguhnya aku juga ditimpa persoalan yang sama.
Pandangan kami bertaut dan tanpa disangka Azzam sempat kenyit mata.
“Tetamu baling cawan baru tahu! Atas pelamin, mana boleh kenyit-kenyit begitu?”
Sergahan Lina membuatkan aku tunduk menahan ketawa namun mata masih melirik pengantin lelaki di sebelah.
Lesung pipinya nampak ketara apabila dia tersenyum.  Walaupun hanya sesaat tetapi aku sangat yakin bahawa di sebalik senyuman itu ada sesuatu yang dia sorokkan.
“Selepas majlis selesai, abang akan menghubungi mak andam yang Yanty tempah itu dan mahu mengucapkan terima kasih kepadanya.”
“Berterima kasih? Yanty tidak faham. Yanty memang mahu menghubungi dia untuk menuntut semula wang pendahuluan yang sudah kita beri tempoh hari,” ujarku. Rasa geram masih menggamit-gamit.
“Wang itu Yanty tuntut saja dari abang. Abang yang suruh dia jangan datang sebab abang mahu mengandam sendiri isteri abang,” jelas suamiku. Terpana aku mendengarnya.
Seolah-olah mengerti, lelaki yang duduk di sebelahku itu berbicara perlahan.
“Demimu ratu sehari, abang sanggup berlatih siang dan malam. Kelas Dandanan dan Solekan yang Kak Asmidar anjurkan memang sangat bagus.”
“Abang?” Belum sempat aku memanjangkan ayatku untuk bertanya lebih lanjut, mama sudah berdiri di hadapan kami.
“Tetamu semakin ramai. Elok-elok bersanding atas pelamin. Tidak manis pengantin berbual-bual begini. Selepas majlis, mahu berbual tiga hari tiga malam pun tiada siapa akan melarang. Nah!” bantal berbentuk hati berhias renda putih diletakkannya di atas pangkuanku sambil menyambung,“Yanty nampak cantik sangat. Kawan-kawan mama bertanya, siapa mak andamnya? Ramai yang mahu menempah. Maklumlah, cuti sekolah sudah hampir. Ramai yang mahu membuat majlis kenduri kahwin. Selepas majlis, beri nombor telefon itu pada mama, ya?” kata mama sebelum berlalu pergi.

Aku hanya tersenyum walaupun dalam hati sedikit cuak. Majlis berlangsung dengan cukup meriah. Namun selepas majlis ini, ada perkara yang perlu aku jelaskan kepada mama. Aku tidak rela juruandamku yang kacak ini ditempah untuk pengantin lain!

Aku Bukan Myra, Dia Bukan Idham

Kelas sedikit bingar walaupun Cikgu Heliza sudah masuk ke kelas lebih kurang lima belas minit yang lalu. Biasalah! Apabila cikgunya ayu dan lemah lembut, pelajar-pelajar menjadi terlebih manja dan agak mengada-ngada.

“Kamu kalau tak gaduh, tak sah ke?”

“Bila masa kami gaduh? Kami rilek ja la.”

“Kalau kau nak goreng, pegi goreng orang lain. Aku ni, kau goreng macam mana pun tak hangus, tau tak? Kau jeling dia, dia jeling kau. Hei, kami dalam kelas ni tak buta lagi tau.”

Aku menjeling geram. Payah juga kalau duduk bersebelahan dengan tok batin a.k.a tukang tilik ni. Mungkin aku perlukan topeng supaya mudah nak cover muka ni dari kawan-kawan. 

Tapi kalau dah pakai topeng, sedihlah mata Juhi Chawla aku ni? Siapa nak tengok,kan? 

Okey, cancel plan!

“Myra, kamu tengah baca jampi ka?”

Aku mendongak dan mata bertembung dengan pandangan Cikgu Heliza yang memukau. Lidah terus tidak mampu memproses kata-kata. Seperti tikus yang bila-bila masa diterkam pak misai, aku mengecilkan diri.

Aku dihujani pandangan yang penuh tanda tanya (bagi yang selalu buat hal sendiri dan tidak mengikuti isu semasa kelas), pandangan disertai senyum tertahan-tahan (bagi yang tahu dan menyokong) dan pandangan disertai herotan bibir dengan mata juling ke atas (bagi yang tahu tetapi menyampah).

Tapi semua jenis pandangan itu aku tak kisah. Yang seperti magnet menarik bola mataku agar melirik kepadanya ialah orang itu.

Hah, kan betul! Orang itu sedang tersenyum-senyum dengan riak yang aku tafsir sebagai “Padan muka! Mengkhayal lagi!”

Panas hati melanda lagi. Mula hari ni, aku tak nak tegur kau lagi. Ingat aku terhegeh-hegeh sangat?

“Myra,” namaku diseru lagi.
Iskk…sedap sangatkah nama aku tu, sampai menjadi kegemaran Cikgu Heliza yang cantik untuk diseru berkali-kali.

“Iya, cikgu?” soalku.

“Sebagai Ketua Keceriaan kelas, apa idea awak untuk menceriakan kelas kita?” soalan Cikgu Heliza membuatkan aku berkerut dan otakku secepat mungkin cuba mencapai level berfikir aras tinggi. Agak susah soalan tu sebab aku bukannya seorang yang kreatif sangat.

Atas kepercayaan apakah aku dilantik untuk jawatan ini? Sungguh tak patut!
Kakiku di bawah meja ditendang. Sambil menggigit bibir geram, wajah sahabatku di sebelah aku jeling tajam.

“Jawablah! Kami pun nak tahu ni. Macam mana kita nak ceriakan kelas kita ni?”

“Ingat aku ni Menteri Keindahan Alam Sekitar ka apa? Menteri pun diberi masa untuk berfikir, untuk menganalisis! Mana boleh main tembak mati macam ni, minta jawapan on the spot! Menteri pun boleh mati kutu!”

“Okey, kita beri masa kepada Myra untuk fikirkan. Sementara tu, pelajar yang lain, ada cadangan apa-apa? Cadangan untuk menceriakan kelas kita?”

Aku menarik nafas lega mendengar kata-kata Cikgu Heliza. Sebab tu pelajar-pelajar sukakan dia. Dahlah cantik, penuh tolak ansur pulak tu! Cikgu lain pun terpaksa akur dan senyum dengan rela apabila nama Cikgu Heliza diumumkan tiga tahun berturut-turut sebagai Guru Paling Popular, Guru Paling Disayangi, Guru Paling Cantik dan Guru Paling Glamour!

Mungkin akan sampai satu tahap, Cikgu Heliza akan memohon agar tidak dicalonkan lagi. Seperti yang dilakukan oleh Datuk Siti yang jelita tu. Berundur dengan cara paling glamour. Berundur sambil melambai seperti ratu kepada peminat-peminat yang berpuluh ribu!

“Myra!”

Huh! Famous sangat nama aku ni? Rasa leceh pula. Mungkin aku pun perlu menukar nama saat nama aku ni berada di puncak glamour,kan? Mungkin perlu aku tukar menjadi Suraya? Atau Adira? Atau Marsha? Aku terus memfokuskan pandangan kepada Cikgu Heliza yang menyeru.

“Dengar tak cadangan tadi tu? Take note tak?”

Melihat aku yang terpinga, Cikgu Heliza menggeleng. 

Hishh… apa kena la aku blur sangat hari ni? Betul kata orang, kalau hati tengah panas, otak menggelegak, sel-sel otak suka untuk berhubung. (Opss..apa punya teori, just igore it, buddy!)

“Okey, Idham. Boleh beritahu sekali lagi cadangan kamu tadi? Myra baru balik dari Pluto. Dia tak sempat salin.”

Kata-kata Cikgu Heliza disambut dengan gelak rakan sekelas lain. Hanya Idham yang berwajah maintain, sambil menjeling ke arahku sebentar, dia berdiri. Dari ekor mata aku lihat gayanya. 
Eiii..! Aku benci dengan aura yang sentiasa memukau itu!! Tolong!

“Seperti yang saya cadangkan tadi, kita buat kutipan kelas dan nanti beli la lapis meja, poster pemandangan dan apa-apa yang patut. Poster DYMM, PM dan KM boleh ambil di Jabatan Penerangan. Free!”

“Siapa bagi cadangan, dia yang pergi.” Citt! Mulut aku ni memang perlu diinsurankan rasanya dan….

Zassss…!!

Jelingan tajam berapi melibas mataku saat itu juga. Mata Idham!

“Myra kan Ketua Keceriaan, Myra buatlah kutipan dan bawa kawan beli apa yang patut tu,” arah Cikgu Heliza. Melihat wajahnya yang jelita itu, aku tidak sanggup berkata tidak.

“Okey tapi saya kena pergi dengan siapa? Kau teman aku, eh?” Sambil menunjukkan muka comel yang meminta simpati, lengan sahabat baikku di sebelah aku goncang.

“Tak boleh la. Rumah saya jauh. Saya tak boleh keluar sebelah pagi, cepat-cepat balik pula untuk bersiap ke sekolah petang,” keluhnya. Emmm..betul juga!

Aku menoleh ke belakang. Satu demi satu wajah kawan yang lain aku pandang. Mana tahu jika ada sesiapa yang beri signal, sudi untuk temankan. Tak kisah la dia bagi signal dengan cara angkat tangan ka, angkat kening ka atau angkat kaki pun, asalkan aku faham signal yang diberi, cukup!

Kelas sunyi!

Tapi aku tak salahkan mereka sebab kebanyakkannya tinggal di asrama. Mana boleh keluar sesuka hati. Sambil aku kerut-kerut dahi dan herot-herot bibir memikirkan masalah negara tu, satu suara macho menyelamatkan keadaan.

“Biar saya temankan Myra.”

Wajah Cikgu Heliza yang suram tadi kembali ceria.

“Oh thank you, Idham. Kamu memang selalu jadi superhero. So Myra, ok tak Idham pergi dengan kamu?”

‘What can I say, Cikgu Heliza? Memang saya berharap Idham yang beri signal tadi.’
Tapi itu hanya bergema dalam hati. Ingat semudah itu aku lontarkan keluar? Oh, no!

“Okey!” Pendek aku menjawab sedangkan bibir yang mahu tersenyum panjang, terpaksa aku tahan-tahan.



….to be continue….

Kebaya Kacukan

Selesai solat tarawih, kelihatan dua beranak bertelekung putih sedang melangkah seiring meninggalkan halaman surau. Amalan mulia yang sudah diterapkan oleh arwah suaminya. Setahun lalu, arwah yang pergi menukah tidak balik-balik. Hanya selepas dua puluh empat jam, tubuh kakunya ditemui sudah tidak bernyawa lagi.
Atika satu-satunya anugerah pengikat cinta kasih dan keletah gadis cilik itu sahaja pengubat rindu buat yang sudah pergi.
“Kawan-kawan Tika seronok bercerita tentang baju raya. Baju kurung Alia warna biru nila. Aisyah pula kata, kebaya dia warna biru firus,” Kalsom tergelak mendengar bebelan Atika.
“Tika tahu biru nila dan biru firus itu bagaimana?” Sambil menggeleng, mata bundar gadis sunti itu menatapnya menunggu penjelasan.
“Kalau mama ternampak warna seperti itu, nanti mama tunjukkan,” kepala Atika diusapnya perlahan.
“Tapi Tika tak suka warna biru. Tika suka warna hijau. Nanti mama belikan Tika kebaya hijau,ya?” Mendengar permintaan anak kecil itu, Kalsom tunduk dan mencium dahinya. Dia mengangguk kecil.
 “Insya-Allah. Mama akan jahitkan kebaya untuk Atika. Sekarang, Atika pergi basuh kaki dan berus gigi. Tika masuk tidur awal supaya mudah mama kejutkan bila nak sahur nanti.”
Atika menurut. Menatap wajah suci itu, hatinya disapa sayu. Upah menjahit tidak serancak tahun lalu. Upah yang diterimanya sekadar cukup untuk dapurnya berasap dan untuk berkirim buku kerja tambahan melalui Cikgu Sara, demi pelajaran Atika. Mana mungkin duit sedikit itu digunakan untuk membeli baju raya, meskipun angan-angannya untuk melihat Atika bergaya dengan baju baru di pagi raya mendesak-desak dari dalam dada.
Setelah Kalsom memastikan anaknya itu sudah terlelap, dia menghampiri ibu mertuanya di beranda lalu duduk bersimpuh di sebelah. Nafasnya dihela berat dan dilepas perlahan.
“Mak, baju-baju kurung Su dan Na dalam almari tu, mereka masih hendak lagi?” dengan sedikit getar dalam dada dia bertanya.
“Mereka ada berpesan, sedekahkan saja jika ada yang memerlukan,” jawapan itu melegakannya.
“Oh, begitu. Baiklah, mak. Som masuk dulu.”
Kalsom beredar dan langkahnya menuju ke sebuah almari yang jarang-jarang dibuka. Tangannya membelek, matanya memilih. Baju-baju kurung itu milik besan-besannya yang hanya setahun sekali sahaja menjengah kampung. Hanya pada pagi hari raya mereka akan muncul di laman rumah.
Semua baju kurung yang masih lengkap kain dan bajunya, dilipat dan disimpan semula ke dalam almari. Sehelai baju kurung hijau bercorak batik yang kainnya entah ke mana, diletak ke tepi bersama sehelai kain kurung yang sudah hilang pasangannya. Baju bercorak batik dan kain kurung polos itu dibega-bega sambil matanya kembali memandang sayu Atika yang dibuai lena.
*****
Sejak semalam, rumah nenek sudah riuh rendah. Adik beradik abah yang seramai lapan orang itu semua sudah berkumpul. Ditambah dengan kehadiran anak-anak mereka, semakin sarat rumah nenek yang mempunyai tiga bilik ini.
"Cepatlah bersiap! Kita pergi berjalan kaki sahaja. Bukan dengan kereta," laungan Mak Na membuatkan semua yang lain mempercepatkan urusan masing-masing. 
"Cantiknya! Kulit kamu cerah. Sangat sesuai dengan warna hijau muda."
 "Wah! Sampin ini sangat padan dengan baju melayu kamu."
 "Tebalkan sikit celak mata kamu,Rini. Kalau tidak, kaca mata kamu akan lebih menyerlah!"
 "Hei! Kenapa langgar saya? Tengok ini! Maskara saya sudah comot. Terpaksa bersihkan dan sapu sekali lagi!"
 Sambil membelek-belek baju kurung yang melekap di tubuhnya, Mak Su berkata, "Tidak sangka warna baju raya kita sama. Merah darah."
Kata-kata itu disambut dengan senyum lebar Mak Na. Kembang-kempis hidungnya saat menjawab, "Merah memang sentiasa bergaya. Biar mahal sikit. Setahun sekali sahaja. Tak lebih dua ratus ringgit pun. Berapa harga awak punya?"
"Samalah! Cuma mahal sikit saja. Mungkin sebab saya punya lebih banyak manik-maniknya," lalu turut membelek-belek bajunya sendiri. Senyum lebar bertakhta di wajahnya yang sudah dipalit dengan pelbagai warna.
"Agaknyalah!" Bibir Mak Na tercebik sedikit sambil matanya menjeling sekilas pada manik-manik yang Mak Su tunjukkan.
Di dalam bilik, baju-baju sudah bertaburan di atas lantai. Atika sedang menyelongkar almari pakaian seperti mencari sesuatu. Sesekali dia menyeka peluh yang jatuh ke muka.
"Atika."
Dia cepat-cepat menoleh tatkala namanya dipanggil. Kalsom, ibunya sedang berdiri di pintu bilik.
"Tika cari apa? Kenapa semua baju bertaburan begini?"
Ibunya menegur dengan suara lembut sambil mula mengutip baju-baju yang bertaburan.
"Tika cari baju."
"Baju apa?"
"Baju raya."
"Bukankah mama sudah menggosok baju raya Atika sejak dua hari lepas? Sudah siap bergantung di tepi cermin." 
"Itu tidak cantik. Tidak ada manik berkilat macam baju Mimi. Tidak ada renda macam baju Wani," Atika bersuara perlahan sambil mengesat air mata yang sudah mula gugur di atas pipi.
Kalsom segera melepaskan baju-baju di dalam pegangannya lantas memeluk gadis kecil itu. Sambil mengeratkan pelukan, dia menggigit bibir. Dia menarik nafas dalam-dalam. Matanya kelihatan berkaca-kaca tetapi apabila Atika mahu memandang lurus ke wajahnya, dia merapatkan Atika ke dalam pelukan.
"Mimi dan Wani serta keluarga mereka hanya balik kampung setahun sekali. Mereka datang jauh dari bandar. Biarlah mereka bergaya. Kita tinggal dengan nenek di sini. Ini rumah kita juga. Kita bersederhana pun tidak mengapa."
"Tika pun mahu pakai yang cantik...."
"Apabila besar nanti, Tika boleh membeli baju yang Tika suka. Malah lebih cantik dari itu pun ada."
"Tapi Tika malu. Mana tahu, Mimi dan Wani akan mengejek baju Tika nanti."
"Takkanlah sepupu Tika akan berbuat begitu. Tidak pernah ibu mendengarnya. Marilah! Ibu bantu Tika bersiap. Ibu tolong sikatkan rambut Tika dan hiaskan dengan reben, ya?"
 Akhirnya Atika terpujuk juga. Baju kebaya hasil jahitan ibunya disarungkan ke badan. Reben itu juga adalah kain lebihan daripada baju tersebut. Sengaja dijahit menjadi reben untuk dipadankan dengan baju kebaya itu.
"Semua sudah ada. Mana Mak Som dan Atika ni? Lambatnya bersiap!"
 Kalsom dan Atika terkocoh-kocoh menghampiri yang lain. 
 "Maaf. Keronsang tudung saya tercicir tadi. Baru terjumpa," Kalsom melarikan anak mata agar tidak bertembung dengan pandangan mereka yang lain. Rasa berdosa kerana berdalih begitu.
 "Eh! Cantiknya baju kebaya Atika!"
 Suara Mak Su yang kuat itu menarik perhatian berpuluh pasang mata. Serentak pandangan mata yang banyak itu jatuh pada baju kebaya yang dipakai oleh Atika.
"Kain yang bercorak bunga ini macam baju Mak Su tahun lalu. Awak memang sangat pandai menjahit, Som. Bila dah potong dan jahit semula, sangat cantik," kelihatan bersinar-sinar mata Mak Su memuji.
"Bahagian baju ini pula macam baju Mak Na. Tetapi apabila kain kosong ini dipadankan dengan corak batik, terus menjadi. Fesyen kebaya kacukan Atika memang sangat cantik. Padan pula dengan reben ini," Mak Na pula menyampuk.
"Terima kasih, Su. Terima kasih, Na. Som rasa sayang hendak buang baju-baju kurung yang kamu semua tinggalkan di rumah ini pada tahun lalu. Kamu baru pakai sekali. Kain pun bagus. Itu yang Som jadikan kebaya untuk Atika," ujar Kalsom perlahan.
"Cepatlah kita bergerak sekarang. Puan Mahani sudah beberapa kali menelefon. Rombongan keluarga kita, bila hendak sampai," Pak Lang menyeru.
"Puan Mahani itu ada-ada saja. Namanya pun rumah terbuka. Takkanlah perlu datang tepat pada masa. Kita bukannya mahu menghadiri mesyuarat," mulut Mak Na terherot sedikit sambil berkata begitu.
Rombongan beraya ke rumah Puan Mahani, Ketua Wanita Bahagian itu pun bermula. Kalsom mengucup pipi Atika. Mereka berdua menuruti langkah yang lain di belakang sekali.
"Ibu, Mak Na dan Mak Su memuji baju Atika, kan?"
Wajah polos Atika meraih sebak di dadanya.
"Benarkan apa yang ibu cakap tadi? Baju Atika memang sangat cantik."
 "Kenapa Mak Na dan Mak Su kata ini baju mereka?"
 "Bila Atika besar nanti, Atika akan faham. Sekarang, kita lupakan semuanya. Kita sudah berpuasa selama sebulan. Hari ini, kita meraikan kemenangan. Kita menang sebab kita sudah berjaya berpuasa sebulan."
“Kenapa ibu menangis?”
“Ibu gembira sebab ibu berjaya menjahit sepasang kebaya yang cantik untuk Atika.”
“Memang cantik sebab ini kebaya kacukan. Mak Su yang cakap tadi,” ucap Atika lurus.
 Atika terloncat-loncat gembira. Gadis kecil itu tersenyum lebar. Kalsom menyeka setitis air mata yang jatuh ke pipi sambil menahan limpahan air mata yang menyesak di dada.


Anonymous - A Small Word with Big Impact

Hakikatnya,

Fikiran ini sukar untuk dibaca.

Hati ini juga, amat payah untuk ditelaah.

Mesin masa biasanya amat diharapkan kewujudannya. 

Kembali ke masa silam dan mengutip pengajaran-pengajaran yang berharga,

Untuk dijadikan sempadan kukuh pada hari ini.

Namun, 

Adakalanya juga, kita berharap agar mesin masa 'under constraction'.

Terus rosak pun boleh juga.

Kerana kita tidak mahu terhumban ke zaman silam 

Yang mungkin hanya akan mengkucar-kacirkan perasaan,

Hanya memudaratkan kesihatan hati. 


Hakikatnya juga,

Berbakul-bakul pesan dan nasihat pun tidak akan berkesan,

Berlori-lori perkataan power, dihujani madah-madah panjang berjela, tidak akan bermakna.

                                                             -BUT-

" Sometimes, someone says something really small, and it just fits right into empty place in your heart."


Yeah! Just a small small word, but with big impact!


Mungkin manuskrip seterusnya bakal diberi tajuk, " Encik Anonymous, Sila Munculkan Diri Awak."

Iskkk..panjang sangat!   Kita bagi pendek sikit jadi "Encik Anonymous, Siapakah Awak?"

Kurang sedap pula ayat tu.

Mungkin editor akan suka kalau kita letak yang paling catchy, "Mr. Anonymous, I Love You".

Okay, tajuk-tajuk ini tiada kaitan dengan yang hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

Salam sayang, Jom kita bersihkan sawang rumah ini. Walaupun pengunjungnya mungkin hanya dua 

orang tapi adat kita kan memuliakan tetamu. 

Kita buang sawang, sapu lantai, mop bersih-bersih, tukar lapik meja, tukar langsir, naikkan gambar 

baru.


Peace & Cheers!

-Dhuha Steffa-





Wednesday, 11 March 2015

Catatan 11 Mac 2015....

Salam Sayang...

Jika dulu aku meraba-raba di antara huruf-huruf yang aku ketik, hingga kadang kalau kebuntuan kerap menyebelahi.

Saat itu, aku tidak tahu kepada siapa perlu bertanya?

-kata-kata apa yang menyentuh kalbu?
-bicara yang bagaimana mampu menjentik rasa?
-bagaimana lenggok tutur yang bisa menyingkap cinta?
-bahasa apa yang mampu membuat berdiri bulu roma?

Kembara berkarya yang hampir lumpuh ternyata masih jauh sudahnya.
 Aku memanjatkan rasa syukur kepada Yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih..

....kerana...

aku kini dipertemukan dengan teman-teman yang teruja bergelumang dengan aksara.

Dayah, Zila, Jessy, Reena, Nurul dan Flora....

Kalian memang terbaik!

Simposium Penulis wanita Sabah 2014, di sanalah segalanya bermula!

Jessy dan Zila yang lebih dari layak digelar sunbae, sudi berkongsi ilmu dengan penuh rendah hati. Dayah yang jauh di Nigeria namun terasa hampir di sini. Reena yang lebih selesa bersembunyi dan hanya memaparkan karya-karyanya yang lahir dari hati. Nurul yang penuh kejutan dan variasi dalam tulisannya. Flora yang sering hadir dengan puisi dan kesucian karyanya yang berbaur budaya murni.

Aku?

Aku adalah kura-kura yang perlahan mengayuh namun tidak akan berhenti. Ya, itulah aku!

Kami bertujuh akan bergabung di bawah satu blog yang kami beri nama

tujuhmandakkinabalu.blogspot.com

Gedung Idea kami bertujuh.


Saturday, 26 July 2014

"Kebaya Kacukan" di Mingguan Wanita Bil.1600 (18-24 Julai 2014)

Syukur kepadaMu Yang Maha Pemurah, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang.

Dengan izinnya, karya kecil saya disiarkan di dalam Mingguan Wanita. Jika selama ini saya hanya membaca karya teman-teman, kini giliran saya mengambil tempat ruangan comel cerpen dalam MW itu. Semoga yang membaca mahupun yang terbaca suka.


Kebaya Kacukan itu tentang apa?

Ada rakan sekerja berkata, sangkakan hanya manusia yang ada kacukan, rupanya kebaya pun ada kacukan juga. Betul tu! Tetapi bagaimana kebaya itu dikacukkan?

Dapatkan MW Bil.1600 dan bolehlah baca. Cerpen itu pada mulanya hanyalah sebuah certot (cerita kontot. hehe) 5 muka surat dan apabila saya merancang untuk menghantarnya ke MW, saya kembangkan sikit sehingga 7 muka surat.

Jangan sedih-sedih baca cerpen ini,ya? Senyum dan ceria selalu.
Salam lebaran buat semua.

Dhuha Steffa-27 Julai 2014-  8.55am-


Wednesday, 11 December 2013

Syukur kepada-Nya..

Cerpen pertama saya akhirnya bakal menjadi tatapan umum..

Terima kasih kepada JS Adiwarna yang memberi peluang dan kepercayaan kepada karya kecil saya untuk turut serta memeriahkan antologi yang amat bermakna ini.

Antologi Cerpen yang diberi judul ' Kerana Dia, Ratu Sehari', mempunyai 844 muka surat dengan 40 cerpen yang sudah sementinya manis-manis di dalamnya.

Terima kasih banyak-banyak kepada rakan-rakan seperjuangan dan rakan-rakan FB juga istimewa kepada rakan-rakan baru dan lama yang sentiasa memberi sokongan.

Teramat-amat kasih kepada Encik Suami yang amat memahami minat saya untuk menulis. Beliaulah yang banyak sangat memberi peluang dan ruang kepada saya untuk meneruskan minat dalam bidang ini. Sayang Selalu!

Semoga terhibur dengan semua cerpen di dalam antologi yang anggun ini. Saya akan menulis selagi suami merestui dan Allah SWT mengizinkan.

Salam Sayang.

Dhuha Steffa.




Tuesday, 29 October 2013

Mak Andam! Oh Mak Andam! Yang Bertuah....

Alhamdulillah...

Alhamdulillah...

Dengan izin Yang Esa, cerpen saya terpilih untuk menyertai Antologi Cerpen JS Adiwarna dengan tema Kerana Dia, Ratu Sehari.

Semangat semakin berkobar-kobar untuk menulis. Semoga karya saya boleh diterima oleh pembaca sekalian.

Terima kasih yang teramat-amat-amat kepada semua yang banyak membantu dan memberi peluang kepada karya saya untuk menjadi bacaan umum.

Salam hormat penuh ceria, daripada saya....,

Dhuha Steffa.

Thursday, 19 September 2013

Catatan untuk 19 September.....

Assalamualaikum dan salam hormat kepada yang sudi singgah membaca.

Sebenarnya, blog ini hampir saya tutup kerana seperti mati segan hidup tak mahu. Sunyi sepi, kusam dan kelam. Setiap kali saya ke sini, pasti terbatuk-batuk hingga nafas hampir sesak. Habuk dan sawang ada di merata-rata. Tebalnya pula sudah hampir sekaki!

Disebabkan 'dapur' di 'rumah' sendiri sudah lama tidak berasap, saya yang lapar, mula berjalan-jalan ke rumah sebelah. Terus berjalan dan berjalan. Catatan-catatan di setiap blog yang saya singgahi amat mengenyangkan jiwa.

Tulisan mereka telah menyuntik satu semangat kepada saya untuk mengemaskan semula 'rumah' sendiri. Takkanlah saya sahaja yang asyik bertandang ke rumah kawan-kawan,kan? Ada masanya, saya juga berkeinginan mahu menjemput rakan -rakan untuk datang bertandang.

Jika berhasrat menjemput rakan-rakan untuk bertandang, pastinya perlu menyediakan sesuatu untuk dijamu. Mungkin juadah yang saya sediakan itu tidak sempurna, tetapi saya berlapang dada jika rakan-rakan yang singgah, apatah lagi jika sudi menikmati juadah, melapangkan waktu untuk meninggalkan komen.

Semoga kunjungan rakan-rakan pada lain waktu, dapat saya jamu dengan juadah yang lebih lazat dan menepati selera, kan? :-)

Alhamdulillah...saya ditemukan dengan seorang 'jiran' yang sudi datang ke rumah saya dan membantu saya mengemaskan rumah. Kebetulan saya 'out station', maka saya titipkan 'kunci rumah' kepadanya supaya mudah dia datang bila-bila masa.

Balik sahaja dari out station, saya terpana seketika. Rumah sudah dicat baru. Di dalam, siap dengan wallpaper baru juga. Perabot-perabot yang agak berselerak sudah disusun kemas dan cantik!

Rasa nak peluk ketat-ketat Adik Dayang Deno yang sudi mengemas. Apakan daya, tangan tak sampai. Tema pink, purple dan silver/grey ini memang seperti yang saya idamkan!

Kini, saya semakin bersemangat memasak juadah. Cuba memberanikan diri meletakkan 'link' di muka-muka buku walaupun hakikatnya rasa segan sudah menghempap-hempap tubuh!

InsyaAllah..jika Yang Maha Pemurah sudah menetapkan rezeki itu buat saya, akan terbitlah buku saya. Jika bukan rezeki saya, saya akan mencuba lagi selagi Jemari, Jiwa & Minda Ini Bersatu Untuk Berkarya....

Editor Nuun Creative Book sudah menampakkan wajah e-book saya yang bertajuk 1313:Sulu
Menangis (boleh baca sedutan yang saya sudah sediakan)

 dan............

  Novel pertama saya yang bertajuk "Andai Tersentuh Cintamu" di bawah Kaki Novel yang sedang menunggu giliran penerbitan bagi Tahun 2014.
(Itu pun jika tidak ditolak pada saat-saat akhir. Mana tahu,kan?)

Saya memang sangat teruja menanti respon seterusnya dari KN namun dalam masa yang sama saya tetap bersedia untuk menerima apa-apa sahaja berita sedih...

Ohhh! Mudah-mudahan ATC berjaya melepasi tapisan akhir dan dapat dinaskahkan. Itu doa saya. Amin..)









1313:Sulu Menangis

Namun niat Azali untuk masuk ke Tanduo tidak terlaksana.

Jalan masuk ke kampung itu sudah disekat oleh pasukan keselamatan berikutan bertempuran yang berlaku.

Sekatan jalan dibuat di sana sini. Berita tentang dua orang anggota pasukan keselamatan kita yang terkorban menjadi isu utama setiap bibir.

Sebuah warung kecil tidak jauh dari tempatnya berdiri menerbitkan rasa dahaga. Langkah segera diatur ke sana.

“Teh limau ais!”

Meja di sebelah kiri dan kanannya dipenuhi dengan individu-individu yang sedang rancak mengulas isu pertempuran di Tanduo.

Azali hanya menadah telinga.

“Perwira kita yang terkorban itu seorang berpangkat inspektor dan seorang lagi berpangkat koperal.”

“Siapa dan apa sekalipun pangkat mereka di dunia, pergi mereka adalah sebagai wira negara. Mereka gugur sebagai syahid. Tidak ada sesiapa pun menduga, pada saat kita mengecapi kemakmuran dan keamanan hari ini, darah perwira tiba-tiba mengalir di bumi Sabah.”

“Sungguh keji pengganas Sulu itu!”

“Ya! Saya juga sudah mendengar sidang akhbar di televisyen.”

“Mereka berpura-pura mengibarkan bendera putih sebagai isyarat menyerah diri. Dan sesungguhnya anggota pasukan keselamatan kita yang berhati bersih tidak banyak berputar belit. Alhamdulillah jika musuh menyerah! Maknanya, isu ini dapat diselesaikan tanpa pertumpahan darah.”

Lelaki berkemeja kemas itu menyambung lagi.

“Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Inspektor Zulkifli yang merupakan Ketua Pasukan benar-benar menyangka musuh berniat baik lantas bangun dari posisi bertahan. Pada saat itulah, peluru dari penembak tepat musuh dilepaskan dan mengenai kepala Allahyarham.”

“Koperal Sabarudin yang paling hampir terus bangun untuk membantu dan Allahyarham turut terkena peluru. Maka gugurlah dua perwira bangsa. Tanpa ketua pasukan, anggota lain terus membalas tempakan dan bertahan sekurang-kurangnya setengah jam sebelum tiba pasukan bantuan. Rupa-rupanya, pada waktu itu pasukan mereka hampir sudah dikepung sepenuhnya oleh musuh.”

“Berapa orang pengganas berjaya ditembak?”

“Dua belas orang ditembak mati!”

Kelihatan mereka menggeleg-geleng kepala serentak. Masing-masing mengetap bibir dengan mata berapi-api.

“Sesuatu yang membuatkan saya geram ialah apabila ada di kalangan rakyat negara ini yang membantah apabila para penceroboh ini dipanggil pengganas!”

“Mengapa pula timbul persoalan bantah membantah?”

“Kata mereka, penceroboh ini juga beragama Islam. Mana mungkin kita sesama Islam menggelar saudara kita sendiri pengganas.”

Rakannya yang seorang lagi terangguk-angguk.

“Namun jika difikirkan sekali jalan, ada benar bantahan mereka itu.”

“Jangan terus mengiyakan sesuatu perkara, saudara. Ingat detik awal kedatangan mereka. Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis mengenal pasti mereka sebagai sekumpulan warga dari Selatan Filipina yang mengaku sebagai pewaris berketurunan Raja Sulu.”

“Setelah mereka mengemukakan tuntutan yang tidak masuk akal itu, demi mengelakkan kekecohan berlaku, maka kerajaan meminta mereka berundur secara aman. Rundingan yang kerajaan kita tawarkan ditolak mentah-mentah. Kononnya tidak akan berundur selagi hak mereka tidak dikembalikan.”

Ayat terakhir itu disambut dengan gelengan panjang rakan-rakannya.

“Mereka seolah-olah hidup dalam khayalan mereka sendiri! Apa mereka ingat ini zaman dulu-dulu? Siapa kuat dia memerintah? Menakhluk mana-mana tanah yang mereka mahu dengan berbekalkan senjata dan nyawa menjadi taruhan?”

“Mereka benar-benar hilang akal! Entah kuasa jahat dari mana sudah merasuk fikiran mereka. Sesungguhnya mereka lupa bahawa tanah yang ingin mereka takluk ini adalah tanah berdaulat!”

“Apabila mereka tidak mahu berundur dan masih mendesak tentang tuntutan ke atas Sabah, maka saat itu mereka mula digelar penceroboh. Itu hakikat! Kerana mereka menceroboh negara kita.

Jika orang yang tidak dikenali masuk ke rumah saudara secara senyap-senyap, pasti saudara menggelarkannya penceroboh,bukan? Tidak mungkin saudara melayaninya sebagai tetamu.”

“Persoalan mengapa gelaran penceroboh itu bertukar kepada gelaran pengganas. Sudah jelas! Kita semua sudah lihat kekejaman yang mereka lakukan ke atas anggota pasukan kita yang gugur di Simunul, Semporna.

Perlukah kita debatkan secara terperinci kekejaman itu? Tidak! Kerana kebencian kita akan terus menyala-nyala dan dendam akan membuak-buak!”

Azali mengurut dada sendiri. Minuman berais yang lalu ditekaknya terasa perit. Mahu sahaja dia membawa langkahnya pergi namun perbualan yang semakin marak itu mengunci punggungnya untuk terus duduk.

Lelaki berkemeja kemas tadi kelihatan masih berkobar-kobar meneruskan ucapan. Rakan-rakannya berpandangan sesama sendiri saat dia melontarkan soalan.

“Adakah saudara sekalian tidak berasa hairan?”

“Isu tanah yang tiba-tiba timbul ini sangat pelik dan menghairankan. Setelah sekian lama Sabah mula membangun di bawah Kerajaan Malaysia, baru kini Kerajaan Sulu mahu membuat tuntutan. Simpati juga kita pada kerajaan mereka itu yang tidak diiktiraf oleh Filipina sendiri.”

“Jika suatu ketika dahulu Sabah hanya ada Centre Point, Wisma Merdeka dan Karamunsing sebagai mercu tanda, kini kita sudah ada Suria Sabah dan One Borneo.

Pusat pentadbiran yang dahulunya terpisah-pisah, kini kita sudah ada Pusat Pentadbiran baru yang terpacak megah. Universiti Malaysia Sabah membuktikan rakyat Sabah juga seiring memartabatkan pendidikan dengan mereka di luar sana.”

“Cuba teka apa akan jadi dengan semua ini jika Sulu mengambil alih?”

Jawab rakannya, “Kita tidak ada Ketua Menteri lagi. Kita akan mempunyai sultan!”

Si lelaki berkemeja kemas ketawa sampai berair mata. Pantas tangannya menarik tisu dari kotak di atas meja. Matanya yang basah dilap kemudian menyambung.

“Saudaraku!”

“Seperti yang kita tahu, akan ramai yang akan mengaku cucu dan cicit Sultan Sulu selepas itu.

Maka, mereka akan membahagikan Negeri Sabah yang kita cintai ini kepada beberapa bahagian demi memenuhi tuntutan setiap waris yang datang entah dari mana itu.

Kita juga sudah maklum dengan sikap tamak, hasad dengki dan dendam yang sudah menjadi darah daging mereka.”

“Katakanlah Sabah dibahagi-bahagikan mengikut zon. Zon Timur dengan sultannya. Zon Utara, Zon Pantai Barat, Zon Bandar dan Zon Selatan seorang sultan setiap satu.

Jika pada suatu hari yang malang Dewan Masyarakat Ranau terbakar, dituduh rakyat dari Zon Bandar yang menjadi dalangnya. Maka, dengan dendam melimpah-ruah, serangan pun dilancarkan. Maka ranaplah Centre Point yang menjadi pusat perniagaan kita selama ini.”

“Tuduh menuduh pun berlaku. Jari dituding pula ke Zon Pantai Barat. Maka, Hospital Kudat pula dijatuhkan bom. Bayangkan keadaan Sabah pada waktu itu? Percayalah! Apa yang kita bina dan nikmati ini akan lenyap, ranap, musnah dalam hanya beberapa ketika mereka di sini.”

Lelaki itu terduduk dan kelihatan matanya berkaca-kaca sekali lagi. Bahunya ditepuk perlahan oleh rakannya.

“Bukan kamu seorang sahaja yang terasa pergolakan yang sedang melanda negeri ini. Bukan hanya penduduk Lahad Datu. Bukan hanya rakyat Sabah. Malah seluruh rakyat Malaysia sedang merasakan hal yang sama. Mengangkat senjata kita tidak mampu. Merancang strategi berperang juga bukan di tangan kita.”

“Tapi kita ada ini, ini dan ini!”

Sambil jarinya menuding ke kepala dan mulut sebelum menepuk dadanya.

“Otak ini mampu berfikir mana yang salah dan mana yang patut kita pangkah!”

“Dengan mulut ini kita bermunajat kepada-Nya. Berdoa agar semua ini segera selesai dan hidup kita kembali seperti aman sediakala.”

“Dan hati ini. Hati ini sudah dididik sebagai hati seorang rakyat Malaysia yang cintakan keamanan. Hati yang sukakan persaudaraan. Hati yang menangis apabila melihat darah perwira mengalir demi mempertahankan kedaulatan!”

Azali menggigit bibir menahan agar matanya yang berkaca-kaca tidak pecah. Tangannya segera menggamit tuan punya warung lalu membayar harga minuman.

Bicara bertubi-tubi yang menembusi gegendangnya sebentar terus mengalir memenuhi setiap inci nadi. Hatinya berkata-kata.

‘Benar. Aku tidak mampu mengangkat senjata untuk mempertahankan kedaulatan negara. Namun aku ada senjata yang tidak kurang hebatnya iaitu murid-muridku.

Kepada mereka akan tumpahkan semangat jati rakyat Malaysia. Dengan buku dan pena akan aku bimbing mereka agar mencintai tanah air ini.

Biar mereka menghargai dan bersyukur lahir di bumi berdaulat ini. Akan aku buka minda mereka agar mereka tahu sejarah bumi Sabah ini.’