Aqua lautan dan biru langit seolah-olah
bercantum. Awan sirus bertebaran di segenap ruang angkasa. Cuaca cerah dan indah.
Buih-buih putih tertinggal jauh ke belakang apabila bot membelah laju dan ganas
dada samudera.
Sandra
menahan rambutnya yang lurus melepasi bahu itu agar tidak mengerbang ditiup
angin namun ada juga yang terlepas. Hendak diikat dengan getah rambut, dia
tidak sanggup pula.
“Kos rebonding
semalam hampir RM200 tau! Sayang la rambut ni kalau diikat.”
Rungutan Sandra hilang bersama deru angin
yang kuat. Setiap kali bot laju itu terlambung tinggi, Sandra memeluk beg
galasnya erat-erat dan bibirnya diketap rapat-rapat dengan mata terpejam.
Jantungnya berdetak kencang dan dia tidak mahu jeritan cemasnya akan mengganggu
penumpang yang lain. Biarlah jeritan itu bergema dan memantul di ruang dadanya
sendiri.
Sebaik kakinya mencecah daratan, satu
perasaan yang teramat lega terus menjengah. Dia menoleh. Bot yang mampu memuatkan
sepuluh orang penumpang sebentar tadi, masih terumbang-ambing dibuai ombak.
Sesekali
badan bot itu melanggar tepi pelantar simen yang gah. Meskipun rakannya sudah
mencadangkan lebih awal agar memilih feri, tetapi…
…dia mahu cepat sampai!
Feri
yang mengambil masa hampir sejam untuk tiba dari Terminal Menumbok ke Terminal
Labuan ini, baginya hanya membazir masa. Jika ada pilihan yang lebih pantas, mengapa
bukan itu yang dia pilih?
Dengan bot laju, dia boleh sampai hanya dalam
masa lebih kurang 20 minit!
“Miss,
awak nampak sangat pucat.”
Sandra mencari suara yang menyapa. Seorang
wanita dalam lingkungan umur 30-an sedang berdiri di sebelahnya. Wanita itu
memandangnya dengan riak simpati.
“Mungkin sebab saya baru turun dari bot
tadi,” Sandra menjawab sambil cuba mengukir senyum ramah.
“Ini mungkin pengalaman pertama awak menaiki
bot,kan? Di hujung bangunan ni, ada sebuah kedai runcit. Belilah ubat untuk
hilangkan pening,” tambah wanita itu lagi sambil telunjuknya dihalakan ke satu
arah. Pantas mata Sandra mengikut arah yang ditunjukkan sambil
mengangguk-angguk.
“Terima kasih, Sis. Saya memang perlukan ubat sebab saya memang berasa pening
sangat,” Sandra memicit-micit tepi dahinya sambil berkerut.
Melihat wanita tadi membelakang dan mula
beredar, Sandra tiba-tiba memanggilnya semula.
“Errr, Sis..!”
Nasibnya baik kerana langkah wanita itu belum
lesap. Suaranya yang agak perlahan memanggil, terus berjawab. Wanita itu
menoleh.
“Sis
tahu di mana hotel terdekat dari sini? Saya rasa pening sangat dan mahu
berehat.”
“Di sini ada banyak hotel. Yang terhampir ada
di hujung bangunan ini juga. Bersebelahan dengan kedai runcit yang saya
beritahu awal-awal tadi. Jalan terus dan belok kanan,” terangnya dengan suara
ramah sebelum berlalu.
“Terima kasih sekali lagi,” ucap Sandra dan
bersyukur dalam hati. Mahu juga dia menghubungi kawan-kawannya di sini tetapi
sekarang waktu bekerja. Dia berasa tidak elok pula menganggu mereka.
“Peningnya…,” dengan keluhan kecil, Sandra
menggagahkan kaki menuju ke arah yang ditunjukkan sebentar tadi.
Tiba di hujung bangunan, dia terlihat dua
buah hotel. Hotel di sebelah kanan nampak megah berdiri. Apabila Sandra
memandang ke sebelah kiri, juga terdapat sebuah hotel tetapi jika dilihat dari
hiasan luarannya, nampak sederhana.
“Mungkin kakak tadi menyangka yang saya
memerlukan hotel yang mewah. Hakikatnya, saya hanya perlukan sebuah bilik untuk
bermalam dengan selesa dan tidak semestinya mewah,” sambil tersenyum, Sandra
memilih untuk pergi ke hotel yang terletak di bangunan sebelah kiri.
Langkah kaki yang semakin lesu akhirnya tiba
di hadapan kaunter pertanyaan. Tidak ada sesiapa. Matanya memandang sekeliling.
Di atas meja kaunter itu, ada beberapa fail berkulit tebal yang agak lusuh dan
sebuah komputer yang agak berhabuk. Matanya melilau pula ke arah lobi yang agak
luas.
Set sofa tersusun kemas namun kelihatan sedikit berdebu.
Sandra kembali memicit-micit tepi dahinya.
Dia tidak ada masa untuk memikirkan itu semua.
Saat ini, dia hanya terbayangkan
katil dan bantal sahaja. Hampir sepuluh minit Sandra berdiri menunggu di situ barulah
ada seorang wanita muncul. Wanita berkebaya pendek coklat gelap itu
terkocoh-kocoh membuka fail sambil meminta maaf berulang kali.
“Ada sesuatu yang perlu diselesaikan di
belakang hotel tadi. Saudari hendak bilik yang macam mana?”
“Saya perlukan bilik untuk seorang,” jawab
Sandra.
“Memandangkan masih ada banyak bilik kosong,
saudari boleh memilih mana-mana bilik yang saudari suka. Sama ada menghadap
bandar ataupun menghadap laut. Saudari isi dulu maklumat ini. Jangan lupa
tuliskan nama dan nombor telefon yang boleh dihubungi.”
Terbulat mata Sandra. Bersinar-sinar gembira.
Ini peluang untuknya menikmati keindahan bandar yang sering dipuji oleh rakan-rakannya.
“Bagaimana dengan bayaran?” Sandra menunggu
jawapan sambil menggigit bibir. Dalam masa yang sama, jarinya pantas memenuhkan
maklumat yang diinginkan sebelum menyerahkannya semula kepada wanita itu. Jika
mahal, dia terpaksa membatalkan niatnya untuk menikmati keindahan yang
diidam-idam.
“Bayaran bagi setiap bilik adalah sama,”
jawapan wanita itu benar-benar melegakannya.
“Kalau begitu, saya nak bilik yang menghadap
laut. Saya mahu menikmati pemandangan yang indah dari balkoni,” Sandra
mengeluarkan dompetnya dan bersedia membuat pembayaran.
“Jika saudari mahu menikmati pemandangan yang
paling cantik, saya akan berikan saudari sebuah bilik di Tingkat 20 yang
menghadap ke arah laut. Pemandangan dari balkoni memang sangat cantik. Seperkara
lagi, saudari hanya perlu membuat pembayaran apabila hendak meninggalkan hotel
ini.”
Sandra mengangguk-angguk sambil memasukkan
semula dompetnya ke dalam beg.
“Ini kunci bilik saudari. Selamat berehat,”
ucap wanita itu sambil menunduk memberi hormat.
‘Nampak macam wanita tempatan, bukan Jepun
atau Korea. Kenapa perlu beri hormat dengan cara begitu?’
Sempat pula Sandra mengomel dalam hati.
Setelah mengucapkan terima kasih dan kakinya berura-ura menuju ke pintu lif,
wanita di kaunter memanggil.
“Maaf. Lupa pula saya maklumkan. Tukang masak
kami sedang bercuti. Jadi, kami tidak dapat menyediakan apa-apa hidangan di
hotel untuk hari ini. Saudari terpaksa makan di restoran luar.
Seperkara lagi, jika saudari perlukan apa-apa
bantuan, saya cadangkan saudari terus turun ke bawah sini sebab jika saudari
membuat panggilan dari telefon bilik ke kaunter, biasanya saya ada hal lain di
belakang dan tidak dapat menjawab panggilan,” terang wanita itu agak panjang
lebar.
Sandra mengangguk sahaja. Tidak ada masalah
baginya kerana di dalam beg yang tergalas di belakangnya, masih ada sebotol air
mineral dan sebungkus roti. Jika lapar, dia boleh mengisi perut dengan dua
benda itu untuk sementara waktu.
Lif yang agak usang itu membawanya ke Tingkat
20 dengan agak perlahan. Sandra menyandar sambil terus memicit dahi. Pintu
terbuka dan Sandra tersenyum senang hati apabila nombor bilik yang tertera di
kunci terletak betul-betul di hadapan pintu lif yang terbuka.
‘Tidak perlu susah-susah mencari,” bisiknya
gembira.
Hanya sekali putar, pintu terbuka dan bau
harum semerbak terus menerpa.
“Mmmm…
seems a thousand of roses..! Sleeping beauty..? Sangat sesuai.”
Sandra menutup pintu dan menguncinya dari
dalam. Safety first! Jangan sampai
ada orang yang tidak diingini menceroboh masuk.
Tanpa menanggalkan kasut, Sandra terus
melabuhkan punggung di tepi katil. Beg galas diletakkan di sebelah. Handphone dikeluarkannya dari kocek
seluar jeans dan nombor telefon
kawannya ditekan.
Mengantuk macam mana sekalipun, mesti beritahu dulu yang dia
sudah sampai. Nanti merajuk pula kawan-kawan.
“Di mana?” suara Rita menyambut.
“Atas pulau yang sama dengan kau la,” balas
Sandra.
“Labuan??”
“Nope! Tahiti Island..!”
“Hahh?” Sandra dapat membayangkan mulut Rita
semasa membunyikan ‘hahh’.
“Of
course, Labuan! The Chocolate Island! Okey
la. Aku nak tidur sekejap. Malam nanti kita keluar makan sama-sama, okey..? Di hotel ni, no dinner, no supper. Chef dia sedang holiday! Ajak kawan kita yang lain. Aku belanja,” Sandra cuba
menceriakan suaranya meskipun denyutan di kepalanya semakin kuat.
“Kau check-in
di mana?” soal Rita lagi.
“Bilik 20001, Tingkat 20. Mesti cantik di
luar balkoni tapi aku rasa terlalu pening sekarang. Tidak sangka pula aku ni
boleh mabuk laut.”
“Kesiannya kawan aku ni. Tidurlah! Tapi
tinggi sangat la bilik kau. Hotel apa?” Rita masih bertanya.
“Hotel Hurrah. Aku tidur dulu la. Bangun
nanti, aku cari kau,” putus Sandra.
“What..?
Hurrah?!”
“My dear Detective Conan, gegendang aku
ni macam tercabut. Suara ala-ala pontianak kau tu menakutkan. I said, Hurrah Hotel..! Malam ni kita
makan-makan, okey..? I’ll text you later. Bagi saya tidur dulu.”
Panggilan tamat.
Semasa memasukkan handphone itu ke dalam beg, Sandra terperasan bahawa cas bateri hanya
ada 10 percent. Bila-bila masa sahaja
akan terpadam sendiri.
‘Bangun nanti la baru uruskan hal telefon.
Sekarang masa untuk zzzZZZZ,’ Sandra menarik nafas dalam-dalam sambil menikmati
haruman mawar yang menguasai segenap ruang bilik.
Keempukan tilam yang dilapisi cadar putih
bersih itu menggoda tubuhnya agar terus rebah.
Niatnya hanya mahu melepaskan
lelah, tetapi matanya yang terpejam terasa amat nyaman. Tubuh terasa semakin
ringan dan tanpa sedar kelopak matanya terus terkatup dan tidak sedar lagi.
*****
Sambil terpisat-pisat, Sandra bangkit. Dia
mahu menguak jendela selebar-lebarnya agar bau yang hapak ini segera hilang.
Sekelilingnya gelap pekat. Dengan teraba-raba, Sandra akhirnya berjaya
menyentuh tepi jendela dan segera menolak cermin lebar-lebar. Angin yang agak
kuat dari luar terus menerpa masuk.
Dengan bantuan cahaya lampu dari luar, Sandra
memicingkan mata, cuba menembusi kegelapan untuk mencari suis lampu. Akibat
terlalu letih, dia hanya terjaga apabila hari sudah gelap. Suis di tepi pintu
ditekan.
‘Hah? Blackout..?!’
Sandra mengeluh. Telefon di atas meja dijeling dan niatnya mahu membuat
panggilan ke kaunter tetapi dia teringat pesanan wanita di bawah tadi.
‘Sementara bekalan elektrik terputus, lebih
baik pergi keluar makan dengan kawan-kawan,’ dia membuat keputusan. Beg
galasnya di atas katil dicapai dan dia menuju ke jendela untuk menutupnya
semula.
Tangannya terhenti. Dia memanjangkan leher
untuk memastikan apa yang dilihatnya itu adalah benar. Di balkoni bilik sebelah
kanannya, seorang wanita sedang menimang-nimang sesuatu. Tangisan bayi
tiba-tiba memecah sunyi.
‘Dia buat apa tu? Sejuknya di balkoni ni.
Mestilah baby dia menangis,’ Sandra
menggeleng-geleng namun belum sempat dia menutup jendela, mulutnya ternganga
luas.
Wanita itu mula melambung-lambung bayinya
lebih tinggi sambil ketawa. Tengkuk Sandra merinding. Ketawa itu tidak biasa
didengar. Panjang dan seolah-olah mengilai.
Mengilai?! Ngggrrrr…!
Tangisan bayi dan suara mengilai ibunya bersahut-sahutan.
Belum sempat berfikir apa-apa, jantung Sandra seolah-olah direntap.
Bayi yang sedang dilambung tadi kini sedang
terjuntai-juntai dengan kepala ke bawah. Ibunya hanya memegang sebelah kaki dan
seperti akan melepaskannya ke bawah pada bila-bila masa.
“Hei…!
Jangan lepaskan! Kalau tidak mahu, serahkan pada saya. Saya akan jaga!”
Kata-katanya tidak diendahkan. Sandra terus
memanggil dan cuba memujuk.
“Tolonglah, puan! Jangan lepaskan dia. Saya
akan jaga dia seperti keluarga sendiri jika puan mahu.”
Tangisan bayi yang sedang terbalik itu
semakin kuat dan suara mengilai wanita itu juga semakin panjang. Apa yang
ditakuti akhirnya terjadi. Kaki bayi malang itu telah dilepaskan dan kelihatan
tubuh kecil itu terus menjunam ke bawah sehingga tangisannya hilang bersama
udara malam.
Sandra menjerit sekuat-kuatnya. Dia memandang
ke bawah dan jasad kecil itu kelihatan hanya seperti perca kain putih dari
Tingkat 20 ini.
“Puan memang gila! Puan memang gila! Puan
akan terima balasan nanti!!”
Sandra meninggalkan balkoni dan keluar dari bilik.
Lif di hadapan pintu tidak dapat digunakan kerana bekalan elektrik yang masih
terputus. Sandra tidak ada pilihan lain selain menggunakan tangga.
Sandra berlari menuruni tangga dari satu
tingkat ke satu tingkat sehingga dadanya terasa sesak. Bau hapak dan hanyir
memenuhi rongga hidungnya. Dia tidak peduli. Dia hanya mahu segera sampai
kepada bayi yang dibuang oleh ibunya tadi.
Peluh dingin merembes di dahi serta membasahi
seluruh tubuh. Nafasnya tercungap-cungap dan kakinya hampir tidak berdaya untuk
melangkah lagi saat mencecah lantai lobi. Kepalanya mula berdenyut kuat akibat
menuruni tangga dari tingkat 20 tanpa berhenti.
Dia berasa mual yang teramat. Oleh kerana
tidak tertahan, Sandra menekan-nekan perutnya dan akhirnya dia termuntah! Bau
busuk dan hanyir muntah membuatkannya berasa semakin lemas.
Langkah Sandra terhuyung-hayang menuju ke
pintu utama.
“Argghh!”
Jeritan Sandra bergema di dalam ruang lobi lama
yang kosong, gelap dan bersawang.
Sandra menekup dahi yang terlanggar tepi pintu.
Dalam samar lampu jalan, dia dapat melihat darah di telapak tangan yang menekup
dahi tadi. Sandra tidak peduli. Dia berusaha memboloskan diri dari pintu usang
itu.
Udara malam dari luar terasa amat dingin
menyapa wajah. Dia tersungkur. Sebak dan terkejut masih menyesak dada. Dia
memandang sekeliling.
Kenderaan masih bersimpang siur di hadapan
hotel walaupun tidak banyak. Matanya meliar mencari jasad bayi yang dibuang dan
matanya tertangkap satu objek putih tidak jauh dari situ.
Sambil menangis dia merangkak menghampiri
objek itu. Dia sudah tidak berdaya untuk bangun dan berjalan. Tubuhnya lemas
dan amat letih.
Saat hujung jarinya hampir menyentuh objek
yang ditutupi kain putih itu, tubuhnya tiba-tiba ditarik dan dipeluk oleh
seseorang dari belakang.
“Sandra!”
“Rita!”
Mereka berpelukan. Tangisan Sandra pecah.
Pandangannya seperti kabur saat memandang sekeliling. Amy dan Ratna pun ada.
“Itu baby
yang jatuh dari Tingkat 20 tadi. Kita mesti cepat buat laporan polis dan
menghantar baby ke hospital,” dengan
suara sayu Sandra berkata. Air matanya tidak henti sambil telunjuknya lurus ke
arah objek yang ditutupi kain putih.
“Baby
jatuh?!”
Serentak
semua bertanya dan kerutan jelas terpampang di dahi mereka.
Sandra mengarahkan telunjuknya ke arah objek
putih yang kaku di atas laluan konkrit yang berdebu. Tangisan Sandra semakin
kuat.
Rita menghampiri objek yang dimaksudkan dan
menguis kain putih dengan hujung kakinya. Dia berasa jantungnya sendiri ikut berdetak
kuat. Apabila objek itu terdedah, Rita menghembus nafas lega.
“Hanya botol air mineral yang tertutup dengan
kain putih. It’s nothing..!”
“Rita, aku sendiri nampak baby itu dibuang. Ibu dia yang buang.
Dari balkoni Tingkat 20 atas sana!”
Semua mata terarah ke Tingkat 20 bangunan
yang gelap dan sunyi.
“Sandra, kami cuba menghubungi kau
beratus-ratus kali sejak tengah hari tadi tetapi tidak dapat. Apabila kau
beritahu yang kau menginap di Hotel Hurrah, aku menyangka yang kau hanya bergurau.
Kami cuba menjejaki kau di seluruh hotel di bandar ini tapi tidak berjaya.
Akhirnya kami datang ke sini,” terang Rita dengan suara bergetar.
“Kami hanya memerhatikan hotel ini dari jauh
kerana tempat ini memang keras. Setelah hampir berputus asa dan hendak beredar,
tiba-tiba kau muncul dari dalam hotel. Kami rasa seperti bermimpi melihat kau
keluar dari sana,” Amy ikut duduk di tepi Sandra sambil memeluk bahu rakannya
itu.
“Sandra, dahi kau berdarah!” Amy membelek
dahi yang terluka.
“Aku terlanggar pintu semasa keluar tadi.”
“Baju kau pula penuh dengan sarang labah-labah!”
Rita cuba membuang kotoran itu namun mustahil boleh dibersihkan masa itu juga. Berlapis-lapis
dan tebal.
“Mari kita balik ke rumah dulu. Bersihkan
badan dan ceritakan semua pada kami, okey..?
Sekarang sudah hampir pukul 10 malam,” Ratna membantu membawa beg galas Sandra
manakala Rita dan Amy memapah Sandra yang kelihatan sangat pucat dan masih
mengongoi.
Kereta yang dipandu oleh Rita bergerak di
atas jalan raya dengan kelajuan yang sederhana. Suasana sunyi dan sesekali
esakan Sandra sahaja yang kedengaran meskipun matanya terpejam.
“Amy, Ratna, kamu fikir macam mana? Kita
terus bawa Sandra balik rumah ataupun kita singgah ke klinik dulu? Aku risau
la. Darah di dahi Sandra masih mengalir,” Rita melirik sekilas Amy yang duduk di
sebelahnya dan Ratna yang sedang memeluk bahu Sandra di tempat duduk belakang.
“Sandra mungkin hilang semangat dan perlukan
bantuan yang kita tidak mampu untuk bantu,” tokok Ratna.
“Ya! Lebih baik kita singgah klinik dulu.
Lebih baik kita ke Klinik Waris. Mungkin Dr.Waris boleh membantu. Kita
ceritakan apa yang berlaku. Kalau Sandra bersedia, lebih elok jika Sandra
sendiri yang bercerita,” cadang Ratna perlahan.
Rita membelokkan stereng menuju ke Klinik
Waris yang dimaksudkan. Satu-satunya klinik di bandar itu yang bukan hanya
mempraktikkan perubatan moden tetapi juga perubatan tradisional.
Rita membawa beg milik Sandra dan dua lagi
rakannya berusaha memapah Sandra yang amat lemah.
“Lama juga kita tidak berjumpa Sandra,kan? Tidak
sangka dia kembali slim macam dulu-dulu.
Tapi kenapa berat sangat dia ni?” Ratna berkata sambil termengah-mengah.
Amy mengangguk dan membalas, “Betul! Kawan
kita ni beratlah! Macam tidak logik pula dengan badan dia yang slim!”
Ratna menolak pintu klinik dan memberi laluan
kepada tiga orang rakannya untuk masuk.
“Nanti apabila Sandra sedar, saya akan lapor apa
yang kamu bebel tadi. Kamu cakap dia sangat berat, kan?” kata Rita. Nadanya
bergurau.
Belum sempat Amy dan Ratna menjawab apa-apa,
Sandra yang sedang mereka papah tiba-tiba menjerit dan meraung. Matanya tajam
dan merah. Tangan Sandra berpaut kuat pada pintu. Dia menahan badannya, tidak
mahu masuk.
“Hantar saya pulang! Hantar saya pulangggg!”
Jeritan Sandra membuatkan Dr.Waris yang
berada di dalam ruang pemeriksaan terus keluar ke kaunter.
“Kenapa dengan kawan kamu ni?”
“Dia tidak sengaja menginap di Hotel Hurrah!”
Mendengar jawapan Rita, Dr.Waris mengangguk
faham.
“Bawa dia masuk!”
Arahan Dr.Waris segera diturut.
Mereka mengerah sepenuh tenaga untuk membawa
Sandra masuk ke ruang pemeriksaan. Sandra tiba-tiba bertindak agresif dan mula
sukar untuk dikawal. Suntikan penenang diberi dan seketika kemudian, Sandra
terbaring lemah.
Rita, Amy dan Ratna berpandangan. Seperti masih tidak
mempercayai apa yang sedang dan telah dilalui oleh Sandra.
Sebelum ini, beberapa cerita aneh tentang
hotel kosong di tengah bandar itu pernah tersebar. Segelintir percaya dan
sebahagian besar pula menganggapnya sekadar mitos.
Tetapi mereka sungguh tidak
menyangka yang rakan mereka sendiri adalah mangsa seterusnya!