Tajuk : Puteri
Cermin (Dayang Soromin)
Sejarah berulang
di Ngarai Teduh. Tempat yang terasing namun menjadi buah mulut penduduk negeri
itu.
“Menakjubkan!
Setiap kali Pesta Menuai tiba, Cermin Pusaka pasti memilih gadis dari Ngarai
Teduh!”
Jawab sahabatnya,
“Mereka bukan hanya cantik luaran malah sangat cekap mengetam dan menampi
padi!”
Puji-pujian itu
tercantas apabila satu suara garau tiba-tiba membingitkan gegendang semua
orang.
“Ini kali
terakhir! Tahun depan, gadis dari Ngarai Teduh mesti kita tolak!”
Merah padam wajahnya.
Mata pula menyala-nyala.
“Marah kamu
seperti marah kepada Cermin Pusaka. Turun-temurun sudah percaya, wajah gadis
yang muncul di Cermin Pusaka itulah yang diangkat menjadi ratu seluruh lembah!”
“Bersusah-payah
saya menempah baju tercantik dari negeri jiran, rupanya anak saya kalah! Siapa
akan membayar ganti rugi itu?”
Seorang lelaki
bertubuh kekar di sebelahnya ketawa besar.
“Sedangkan
menggenggam renggam sahaja anak kamu sudah terkial-kial. Semasa menampi padi,
berapa cupak tumpah ke tanah? Pulanglah ke rumah kamu dengan saguhati!”
Lelaki yang
mengamuk itu mula senyap. Sorotan mata kembali tertumpu ke arena terbuka. Gadis
dari Ngarai Teduh yang telah dimahkotakan sedang disudukan air pinang muda oleh
ratu musim yang lepas. Sebagai restu, gelaran sudah berpindah tuan.
“Lihat! Boleh
nampak air pinang kemerah-merahan itu mengalir melalui tekaknya!”
“Benar! Kulitnya
jernih seperti cermin! Saya menjadi taksub!”
Satu tumbukan
ringan mendarat dibahu kanan.
Bidas rakannya,“Itu sudah melampau! Tidak ada manusia
yang kulitnya seperti cermin. Cuma kulit ratu ini sangat luar biasa cerahnya.”
Pandangannya
ditebar hingga ke sempadan sawah. Padi semakin menguning tetapi bila disentuh,
tidak berisi. Hanya kulit padi! Batangnya pula semakin kering. Sepanjang hidupnya,
tidak pernah ada malapetaka seperti ini.
“Muzon…!”
Pantas dia
menoleh bila namanya lantang diseru begitu. Jiran sebelah sawahnya datang
terkocoh-kocoh berkaki ayam.
“Janganlah
berteriak! Sudahlah padi tidak berisi, engkau terbangkan lagi semangatnya!”
“Jadi, sawah
kamu pun ditimpa bencana yang serupa? Padi hanya ada kulit, tidak ada isi?”
Muzon mengangguk
lemah.
“Pasti kita
semua akan mati kebuluran…”
Mendengar luahan
lemah itu, jirannya terduduk di atas batas sawah.
Kerut seribu di
wajahnya itu semakin ketara saat dia berkata,“Penduduk lembah ini akan
kelaparan…,”
“Ataukah hamya
kita yang ditimpa malang?”Soal Muzon kepada si jiran.
“Tidak! Bukan
hanya kita. Saya baru balik dari lembah seberang. Kaum perempuan mereka sedang
meratap mengenang nasib! Simpanan padi dalam kepuk semakin surut!”
Muzon ikut
terduduk. Longlai segala sendi tubuh. Matanya kembali menebar dari satu petak
ke satu petak sawah dengan mata semakin merah. Apabila dia menoleh, jirannya
itu sudah pulang. Sendi kedengaran berkeriut bila dia melenturkan tubuh ke kiri
dan kanan.
“Letih yang
teramat! Biarlah malam ini saya tidur di pondok padi.”
Lemah langkahnya
meninggalkan petak sawah yang menyedihkan hati.
Setelah
menghabiskan baki nasi tengah hari tadi dengan berlaukkan ikan sungai bakar,
Muzon menghamparkan tikar mengkuang di tepi kepuk padi yang tingginya tinggal
sejengkal.. Satu tingkap kecil dibiarkannya terbuka agar angin malam yang sejuk
boleh menerobos ke dalam.
Saat matanya
semakin rapat, tiba-tiba pondok kecil itu bergegar kencang. Muzon memegang kuat
di dinding tetapi tubuhnya tetap terhuyung hayang. Padi yang tinggal sedikit,
tersebar ke serata lantai.
“Gempa bumi…?!!”
Sempat dia
menjerit sekuat hati. Gegaran berhenti dan Muzon menjenguk ke luar melalui
tingkap kecil pada dinding. Tangannya menekup mulut dengan bahunya
terhenjut-henjut.
‘Peningnya! Rasa
seperti hendak muntah!”
Namun apa yang
dilihatnya di luar sana serta merta menghentikan rasa mualnya itu. Rasa mula
hilang sekelip mata. Tangannya menggosok-gosok mata.
“Berikan kepada
saya ratu kamu!”
Mulut Muzon
ternganga seluas-luasnya. Adakah dia salah dengar? Makhluk hitam lagi besar ini
mahukan ratu?
“Saya mahukan
ratu!!”
Sekali lagi
suara seperti halilintar itu membelah pekat malam.
“Dia anak saya!
Dia ratu seluruh lembah! Tidak mungkin kepada makhluk hitam akan saya serah!”
Pondok kecil itu
digoncang dengan lebih dahsyat. Tubuh Muzon sudah bermandikan padi. Dunia
sekitar seolah-olah berputar. Tanpa tertahan lagi dia pun termuntah-muntah.
Nafas tersekat di rongga dada.
“Padi akan
melimpah ruah jika ratu menjadi milik saya!”
“Padi yang
musnah adalah angkara kamu?!”
Ketawa makhluk
berdekah-dekah.
“Saya mahukan
ratu sebelum cahaya terbit. Saya mahu ratu yang cantik! Jika tidak, sawah
seluruh lembah akan musnah!”
Muzon
menggagahkan diri untuk turun dari pondok lalu berlari meredah gelap malam.
Perit dan miang daun lalang yang menghiris kulit tidak dia peduli. Sebaik
kelihatan lampu minyak tanah di anjung rumahnya, dia terus menjerit
membangunkan isi rumah. Jiran sebelah turut menjengah jendela.
“Mana anak
kita?!” Soalnya kepada isteri yang masih terpisat-pisat.
“Anak kita
ramai. Yang mana satu?”
“Saya maksudkan
Dayang!”
Belum sempat
isterinya menjawab, Dayang sudah muncul menguak jendela.
“Ayah cari
saya?”
“Iya, Dayang!
Makhluk yang memusnahkan sawah seluruh lembah mahukan kamu!”
“Mahukan saya
atau mahukan ratu?”
“Kita sedang
dilanda musibah. Jika hendak berlelucon, ini bukan masanya. Ratu itu adalah
kamu! Makhluk hitam itu mahukan kamu!”
Dayang merapatkan
semula daun jendela lalu beberapa saat kemudian dia sudah tersembul di muka
pintu.
“Menurut
pandangan ayah, adakah makhluk itu berakal panjang atau lurus bendul?”
“Ayah risaukan
keselamatan kamu, Dayang. Tetapi kamu pula tidak habis-habis bertanya soalan
pelik begitu,” Muzon duduk di perdu pohon mangga di hadapan rumah.
“Ayah, Dayang mahu
berjumpa dengan makhluk itu,” serentak semua pasang mata terarah kepadanya.
“Makhluk itu
sangat bengis, busuk dan hodoh! ”
“Bengis,busuk
dan hodoh? Saya teruja mahu berjumpa dengannya,” setelah itu, Dayang pantas
masuk ke dalam rumah. Selang beberapa ketika, dia muncul semula. Kini dia
lengkap berpakaian tradisional suku kaumnya yang bersulam manik-manik berkilat
berlatarkan kain baldu hitam. Di tangannya ialah lampu suluh kecil.
“Ibu, ayah dan
jiran-jiran semua, saya akan membuat bunyi seperti burung tekukur jika saya
perlukan bantuan . Jika kamu tidak mendengar apa-apa, itu bermakna saya
selamat.”
Dengan berkaki
ayam, Dayang mula mengatur langkah menuju ke lembah yang gelap gelita. Lampu
suluh digenggam erat. Embun jantan mula memberat di atas daun-daun hutan. Mujur
sekali, jalan denai itu sudah jelas dalam mindanya. Dia berdiri di hadapan
pondok padi.
Dengan suara
sedikit bergetar dia berkata, “Ratu lembah sudah tiba. Siapakah yang
berkehendakkan saya? Ayuh! Tampil di hadapan mata!”
Hanya sekali dia
menyeru, bunyi dahan dan ranting patah tiba-tiba semakin mendekat.
“Padi akan
melimpah ruah jika ratu menjadi milik saya!”
Dayang terundur
ke belakang. Kemunculan makhluk hitam itu sangat tidak disedari. Sekelip mata
sudah terapung-apung dan jaraknya pula hanya selangkah di depannya.
Dayang
memicingkan matanya. Cuba meneliti rupa makhluk hitam itu tetapi kepekatan
gelap malam menghalang niatnya. Dia mengumpul seluruh keyakinan dan keberanian
dan kemudian bersuara.
“Tahukah kamu
bahawa ratu seluruh lembah sanggup menjadi milik kamu?”
“Jika semua ratu
menjadi milik saya, saya berjanji tidak akan memusnahkan sawah padi!”
‘Hanya muslihat
yang mampu menumpaskan makhluk ini,’dalam diam Dayang merencanakan sesuatu
dalam hati.
“Tetapi ratu
hanya mahukan pasangan yang sanggup mati sekiranya dia mati,”sambung Dayang.
Dengan akal yang
pendek makhluk hitam itu berjanji, “Saya akan mati jika ratu mati.”
Dayang
menyembunyikan senyum di sebalik rambutnya yang menutupi separuh wajah. Angin
menjelang dini hari itu agak kencang dan dingin sekali.
“Baiklah!
Izinkan saya mengerahkan semua ratu agar berhimpun di sini pada esok hari.”
Makhluk itu
tiba-tiba bertempik kuat sambil menjerit,“Esok?! Ketika matahari bersinar panas?!
Tidak tahukah kamu bahawa saya tidak boleh melihat selagi matahari belum
terbenam?!”
Mata Dayang terbulat
dan bersinar. Mulutnya memuncung seperti mulut ikan yang comel. Dia
terangguk-angguk sendiri.
“Risau tidak
bertempat hanya menyusahkan hati. Serahkan kepada saya untuk membawa semua ratu
kemari. Malam esok adalah masa untuk kamu bersenang hati.”
Makhluk itu
ketawa berdekah-dekah sekali lagi. Dayang segera menekup telinga bagi
mengurangkan bingit yang menyucuk gegendangnya.
“Malam esok saya
akan berpesta. Pastikan ratu seluruh lembah lengkap berpakaian indah!”
Dahan-dahan dan
ranting patah kedengaran dalam beberapa langkah dari tempatnya berdiri.
Dayang meneka,
‘Mungkinkah makhluk itu sedang beredar dari sini?’
Lantas Dayang
menjerit sekuat hati. Dia meletakkan tapak tangan di sekeliling mulutnya
seperti ibarat pembesar suara.
“Jangan lupa
janji!! Kamu akan mati jika ratu mati…!!!”
Sayup-sayup
suara menggerunkan itu menyahut.
“Saya mati jika
ratu mati…! Saya mati jika ratu mati..! Janji ditepati…!”
Sebaik mendengar
jawapan itu, Dayang tidak berlengah-lengah lagi. Sepantas yang termampu dia
berlari menuju ke kampung. Kain baju bersulam indah itu disinsing hingga ke
atas lulut. Kokok ayam jantan meriuhkan pagi di Ngarai Teduh. Mereka hanya satu
hari untuk menewaskan makhluk hitam itu.
Perkarangan
rumah sudah dibanjiri penduduk kampaung yang berkumpul sejak malam tadi sebaik
mereka tahu Dayang pergi ke sawah untuk bersemuka dengan musuh kampung mereka
Si Makhluk Hitam.
“Saudara
sekalian! Mujur kalian semua sudah berada di sini. Saya memerlukan bantuan
semua demi membunuh makhluk yang menguasai sawah seluruh lembah!”
Suara Dayang
memecah hening pagi. Beratus pasang mata sedang bertumpu kepadanya kini.
“Asalkan musuh
kita dapat dihancurkan, katakanlah apa sahaja caranya, akan kami laksanakan.
Namun membiarkan anak dan isteri tanpa makanan, tidak sekali-kali!”
Kata-kata
bersemangat waja itu disambut dengan sorak gemuruh.
Dayang
menceritakan segala perbualannya dengan makhluk hitam itu malam tadi.
“Ini kerja yang
sia-sia! Di mana kita hendak mencari ratu seramai itu? Saya pasti ratu dari
daerah luar mahu dijadikan persembahan!”
Dayang tersenyum
lebar. Satu persatu wajah resah gelisah di hadapannya dipandang.
“Saudaraku
sekalian! Tidak sukar untuk menghimpun ratu yang ramai. Kita hanya memerlukan
cermin yang besar dalam jumlah yang banyak.”
Sekali lagi
semua yang hadir berpandangan dan seketika kemudian mereka mengangguk-angguk
sambil berketawa girang.
“Dayang memang
seorang ratu yang bijaksana!” Puji-pujian kedengaran di sana-sini.
“Saya tahu di
mana kita boleh mendapatkan cermin yang besar dalam jumlah yang banyak.
Serahkan tugas itu kepada saya,” seorang pemuda berparut di dahi menawarkan
diri.
“Kamu perlu
segera berurusan dengan tuan kedai itu. Kita perlukan tujuh puluh cermin besar.
Bawa cermin-cermin itu ke sawah padi sebelum matahari tegak di atas kepala.”
Maka, seramai
tujuh puluh orang anak muda segera beredar melaksanakan tugas mereka.
“Sekarang, kita
perlu membuat patung yang serupa dengan saya. Lengkapkan dengan persalinan ratu
yang terbaik. Kita letakkan di tengah-tengah sawah!”
Setelah menerima
arahan, seluruh penduduk mula menumpahkan kemahiran masing-masing. Tanah liat
dibentuk sempurna menyerupai Dayang. Diukir dengan cukup teliti dan dipalit
dengan warna-warna menjadikannya seperti realiti.
Kemudian giliran
kaum wanita pula menyarungkan pakaian tradisi khas yang lengkap dan hanya seorang
ratu boleh menyarungkannya. Saat patung itu diusung ke tengah sawah dan
ditegakkan kedudukannya, seolah-olah Dayang, Si Ratu Cermin sedang berdiri
mempamerkan kecantikkannya!
Menjelang tengah
hari, sebanyak tujuh puluh keping cermin besar disusun di sekeliling sawah yang
luas. Mereka bekerjasama menyusun atur cermin-cermin tersebut agar memantulkan
imej antara satu sama lain. Saat matahari semakin condong ke barat, cermin
sudah siap dipasang. Seolah-olah terdapat berpuluh-puluh ratu yang cantik sedang
mengelilingi sawah padi itu.
Dayang berdiri
disamping patung yang menyerupainya di tengah sawah lalu berkata.
“Wahai penduduk
sekalian! Berdoalah semoga usaha kita tidak sia-sia. Dengar baik-baik apa yang
perlu kita lakukan untuk menjayakan muslihat ini.”
“Seorang lelaki
dewasa perlu bersembunyi di belakang setiap cermin besar yang sudah kita susun.
Bersiap sedia dengan sebatang kayu. Setelah saya beri isyarat, kamu akan
pecahkan cermin di hadapan kamu itu. Bermula dari penjuru sawah sebelah kiri,
satu persatu sehingga habis pecah kesemuanya. Kaum wanita dan kanak-kanak,
pergilah kembali ke rumah masing-masing.”
Kini, hanya
tinggal penduduk yang memegang peranan masing-masing. Dada berdebar-debar
menunggu matahari terbenar sepenuhnya. Dayang merapatkan tubuhnya benar-benar
di belakang patung di tengah sawah.
Tiba-tiba bunyi
dahan dan ranting kedengaran dari jauh dan semakin lama semakin hampir. Makhluk
hitam itu berhenti di hadapan patung ratu.
“Kamu hanya
boleh menghampiri saya sebaik bulan menyinar terang!”
Dayang bersuara
dari belakang patung ratu.
“Saya dijanjikan
untuk memiliki ratu seluruh lembah! Bukan hanya satu!!”
Bergegar jantung
Dayang dijerkah sebegitu kuat.
“Ratu seluruh
lembah akan hadir bersama sinaran bulan yang mengambang!”jawab Dayang sambil
matanya memandang ke atas mencari kelibat bulan. Dia menahan nafas saat melihat
awan mula berarak dan bulan mula menunjukkan wajah. Bulan yang bulat sempurna
dengan cahaya yang gemilang.
Sebaik bulan
tersembul sepenuhnya, imej patung ratu terpantul dengan sempurna di atas
permukaan setiap cermin yang tersusun. Sekali pandang, ada berpuluh-puluh ratu
sedang berdiri anggun mengelilingi sawah!
“Wahai makhluk
hitam! Lihat di sekeliling kita! Sekalian ratu bersedia menjadi milik kamu!”
Makhluk hitam
ketawa. Berdekah-dekah seperti malam sebelumnya.
“Ratu seluruh
lembah datang menyembah! Ratu seluruh lembah kini kepunyaan saya!”
Dayang
mengingatkan dirinya sendiri. ‘Saya tidak boleh biarkan makhluk ini menyelidiki
setiap pantulan pada cermin-cermin itu. Mesti bertindak segera!’
Maka dia pun
berkata, “Janji ditepati! Kamu mati jika ratu mati!”
“Saya mati jika
ratu mati!”
Makhluk itu
mengulang-ulang kata-katanya sambil membuat pergerakan yang tidak jelas ke sana
ke mari. Kelihatan makhluk itu sungguh gembira melihat begitu ramai ratu sudah
tiba.
Dayang memberi
isyarat kepada lelaki-lelaki yang bersembunyi di belakang cermin. Sudah tiba
masa untuk cermin itu dipecahkan. Maka, bermula dari penjuru sawah sebelah
kiri, satu demi satu cermin retak berderai dan jumlah ratu yang kelihatan mula
berkurangan.
Tempikan marah
makhluk itu kedengaran hingga ke kampung. Semua orang berkurung dalam rumah
masing-masing. Tidak ada seorang pun yang berani menjenguk walau sesaat.
Setiap kali satu
cermin dipecahkan, Dayang akan berpura-pura menjerita kesakitan. Jeritan itu
menjadikan makhluk hitam semakin tidak tentu arah. Akhirnya hanya tinggal
patung yang masih tegak di tengah-tengah sawah.
Dayang bersuara,
“Wahai makhluk hitam! Matilah bersama-sama ratu yang cantik!” Dan Dayang
merangkak perlahan-lahan meninggalkan patung ratu itu.
Dari tepi sawah,
meraka dapat melihat makhluk hitam itu memeluk patung ratu. Namun sebaik patung
tanah liat itu dipeluk rakus, maka rosaklah strukturnya. Tangan-tangan terus
gurur dan pinggangnya juga telah patah. Bunyi meraung yang sangat dahsyat amat
menggerunkan.
Dalam terang
cahaya bulan, mereka dapat melihat makhluk itu menyambar serpihan-serpihan
cermin yang tajam lalu mencederakan badannya. Tidak lama kemudian, mereka
terlihat badan makhluk itu terbakar dengan sendirinya dan akhirnya lenyap
begitu sahaja.
Keesokannya
paginya, seluruh penduduk turun ke sawah untuk membersihkan serpihan cermin
agar tidak membahayakan mereka tetapi mereka tidak menemui apa-apa serpihan. Mereka
juga mendapati bahawa sawah padi sudah pulih seperti sediakala.
“Kita akan
mengadakan Pesta Menuai. Mulai sekarang, ratu yang dipilih bukan hanya cantik
dipandang tetapi mestilah seorang yang bijaksana. Ratu yang mampu menyelamatkan
seluruh lembah!”
Dayang menonton
kegembiraan para penduduk dari jendela kamarnya. Sebiji pinang muda dikunyah
perlahan-lahan. Melalui cermin meja soleknya, dia dapat melihat air pinang muda
itu mengalir perlahan-lahan seperti selalu.
1 comment:
i think the story is good. thks for sharing.
Post a Comment