Sunday 7 June 2015

Bab 3 Encik Doktor

“Rif!”
Pintu diketuk bertalu-talu.
“Rif, dah bangun ke?”
Wajah Arief muncul di muka pintu. Tuala mandi masih ditangannya dan dia sedang mengeringkan rambut yang basah.
“Kalau Arief nak cari jodoh nanti, baik nyatakan syarat awal-awal. Bakal isteri tu mestilah mempunyai ciri-ciri alarm clock,” kata ibu yang berdiri di muka pintu.
“Ibu nak alarm clock yang bentuk apa? Warna apa?”
“Bentuk apa, warna apa pula? Ibu ni serius. Rif bawa bergurau pula. Maksud ibu ialah seorang isteri yang boleh mengejutkan suaminya supaya tak lewat bangun pagi,” sambung ibu.
“Syarat itu aje nak letak? Mudahnya syarat tu,” Arief sengaja memancing mood ibu untuk berbual.
 “Kasih sayangnya, cintanya, setianya  hingga ke hujung nyawa. Cuma alangkah baik jika makan pakai Rif pun terjaga sempurna, kan?” balas ibu dan tangannya mencapai tuala yang diletakkan Arief di hujung katil.
Sambil menggeleng-geleng, tuala lembab itu disangkutkannya di belakang pintu.
“Ibu doakanlah Arief supaya ditemukan jodoh yang baik-baik. Arief pimpin dia, dia pimpin Arief juga,” Arief menjawab sambil pantas bersiap.
“Ibu tak pernah lupa mendoakan kebahagiaan anak ibu satu-satunya ni,” tutur ibu sambil nafas dihela perlahan.
“Arief tak menolak jodoh, cuma Arief belum menemui gadis seperti Idura,” Arief berlutut di hadapan ibu yang duduk di birai katil. Tangan ibunya digenggam lalu dikucup.
“Sudah tiga tahun, Rif. Gadis tu pun dah berkahwin. Jangan-jangan, sudah beranak pinak. Anak ibu juga yang masih bujang trang tang tang. Rif pergilah sesekali keluar dengan kawan-kawan. Tak pun, kenalkan ibu dengan mana-mana doktor atau jururawat kat hospital tu yang menawan hati.”
Arief tergelak besar mendengar saranan selamba itu.
“Okey, bu. Kalau Rif berkenan dengan sesiapa, Rif cepat-cepat kenalkan pada ibu dan ibu masuk meminang. Ibu ada dengar apa-apa lagu tak?” soal Arief tiba-tiba.
Berkerut dahi ibunya sambil menajamkan telinga.
“Lagu apa? Bilik Rif ni bukannya ada radio,” tukas ibu.
“Dengar tak badabes…badabes….? Lagu tu dari dalam ni,” kata Arief dengan wajah nakal sambil mengusap perutnya.  Ibu pura-pura tarik muka.
“Ibu masak apa?” selamba Arief angkat-angkat kening mengusik ibunya lagi dan serentak itu bahunya menerima penyepit ketam.
“Hah, buat lawak lagi! Ibu ni serius nak Arief cari jodoh. Jom turun. Kita sarapan sekali sebelum Rif pergi kerja,” ajak ibu. Arief tersengih-sengih sambil menutup pintu bilik dan menurut langkah ibunya.
      Cuaca baik dan cerah semasa keretanya meninggalkan perkarangan rumah sejurus bersarapan tadi. Namun sebaik sahaja bangunan hospital sudah kelihatan, hujan tiba-tiba turun mencurah. Serta-merta jarak pandangan jadi sangat terbatas.  Guruh berdentum bersahut-sahutan. Seolah-olah matahari tidak pernah muncul.
Arief mencuri pandang ke langit dan awan hitam yang muncul entah dari mana terus menerus memuntahkan isinya. Cuaca memang boleh diramal tetapi tidak terjangka perubahannya! Saat keretanya sudah memasuki kawasan hospital, telefonnya menjerit lagi. Arief kerling sesaat. Nombor dari wad kecemasan. Mesti tenaganya amat diperlukan di sana sekarang.
Sebelah tangannya mengawal stereng dan sebelah mencapai telefon. Panggilan ini mesti dijawab supaya mereka tahu yang dia akan sampai sebentar lagi. Makluman seperti itu sangat penting. Sambil kaki menekan pedal brek memperlahankan keretanya, Arief bercakap dengan seseorang dari wad kecemasan. Pada waktu itulah, bunyi dentuman yang kuat dari belakang kereta kedengaran dan serentak itu tubuhnya sendiri terdorong kuat.
Tanpa menghiraukan sakit di dadanya, Arief meluru keluar dari perut kereta. Hujan lebat dan guruh masih berdentum. Tindakan Arief yang tiba-tiba memperlahankan keretanya tadi telah menyebabkan kereta di belakangnya tidak sempat menekan brek. Kebetulan pula kereta itu mengekor terlalu rapat dan akhirnya menyondol bahagian belakang kereta Arief. Bahagian hadapan kereta yang menyondol itu remuk teruk.
Arief menekapkan matanya ke cermin sebelah pemandu. Hujan lebat menghalangnya untuk mendapat gambaran yang jelas tentang keadaan pemandu. Arief memicingkan lagi mata dan sesaat kemudiannya dia ternganga. Di kerusi sebelah pemandu, seorang wanita yang sarat mengandung tersandar dengan rambut menutupi sebahagian wajahnya.
Bantuan tiba. Polis, bomba dan pihak hospital bekerjasama mengeluarkan mangsa. Dua puluh minit kemudian, pasangan itu berjaya dikeluarkan dan diusung ke wad kecemasan. Arief dikecualikan daripada menangani apa-apa kes kecemasan pada waktu itu kerana pihak polis sedang menyoal siasatnya berkaitan kemalangan tadi.
*****
Kesakitan yang laluinya saat ini, hampir tidak tertanggung. Beberapa hari yang lalu, ibu telah memeluknya erat dan membisikkan ke telinga bahawa dia mengampunkan segala kesalahan dan menghalalkan setiap titis air susu untuknya dulu.
Idura hanya mampu merasa kesakitan di kepala akibat hentakan di kereta tadi. Tangannya terlalu lemah untuk menyentuh kepalanya sendiri. Segala sisa tenaga yang ada hampir kosong. Mujur sahaja kontraksi yang semakin kerap membuatkannya terus terjaga.
“Nurse, macam mana keadaan suami saya? Kami accident di luar tadi,” Idura bersuara separuh merintih.
“Doakan suami puan. Paling penting sekarang, kita selamatkan bayi dalam kandungan,” balas jururawat.
 Idura cuba mengangguk namun tidak berdaya. Dia sekadar mampu memandang jururawat itu dengan mata hampir layu.
      “Teran jika saya suruh, ya?” pesan jururawat itu.
Idura hanya mampu memandang lemah. Kesakitan yang semakin kerap datangnya itu mewujudkan perasaan ingin meneran. Idura cuba menahannya tetapi ia hanya membuatkan tubuhnya seperti bergegar. Tangan Idura meraba-raba mencari palang besi di kepala katil untuk berpaut mencari kekuatan.
Rasa sakit itu datang lagi dan dia tidak putus-putus menyebut nama Allah dalam hati. Idura mengikut arahan jururawat itu setiap kali menyuruhnya meneran. Terasa biji matanya telah jatuh ke atas pipi. Sudah tidak ada lagi tenaga tersisa di dalam tubuh longlainya. Idura terkulai saat telinganya menangkap tangisan kecil yang tiba-tiba memecah sunyi bilik dingin itu.
Itukah suara anaknya?
      Jururawat meletakkan tubuh kecil itu ke atas dadanya seketika sebelum dibersihkan dan seorang jururawat lain datang mengambil alih.
      “Nurse tadi akan bersihkan baby. Sekarang puan rehatkan badan. Saya nak pastikan semua uri dah keluar dan nak jahit sikit. Puan rehat saja,” suara jururawat itu bagaikan angin yang berlalu.
Idura benar-benar kehabisan tenaga dan tidak sedar bila masa dia tertidur dan untuk berapa lama.
Sebaik tersedar, jururawat membantu membaringkan baby rapat ke dada untuk disusukan.
Berulang kali dahi baby dikucup. Wanginya!
Sejak Idura mengetahui jantina bayi di dalam kandungan adalah perempuan, dia sudah memilih satu nama. Nama itu sudah ditulisnya cantik-cantik di atas sekeping kertas. Kertas itu disisipkannya ke dalam dompet.
Sofea Natasha.
Idura berulang kali menyebut nama itu dan nama itu semakin dekat di hatinya. Selepas baby menyusu, Idura ikut terlelap semula. Dalam kegembiraan dan rasa syukur, keletihan masih bersisa.
      Beberapa jam selepas bersalin, masih belum ada ahli keluarganya yang tiba. Baby sudah bangun tadi, menyusu sekali lagi sebelum tertidur semula. Idura menekap telapak tangan ke dada. Terasa jantungnya berdegup kencang. Dia tidak tahu mengapa degupan itu menjadi kencang tiba-tiba.
      “Assalamualaikum.”
Idura melepaskan nafas lega apabila wajah mak, ayah dan pasangan mertuanya muncul di pintu.
Mak dan ibu mertuanya mencium Idura dan baby. Mereka berdua menangis berpelukan sambil baby dipangku di dalam lengan masing-masing, bersilih ganti. Idura tersenyum bahagia. Jauh di sudut hati terselit rasa bangga kerana dia telah menambah bilangan ahli keluarga ini.
      “Mak, macam mana keadaan Abang Aidil? Boleh tak tolak katil Idura, Idura nak lawat dia,” pinta Idura penuh harapan.
      Ibu mertuanya menerpa dan memeluk. Tangisannya pecah. Emak turut memeluknya dari belakang dan mereka berdua menghujani Idura dengan tangisan.
‘Ini bukan tangisan gembira,’ mindanya pantas mentafsir.
Idura pandang wajah ayah, namun ayah melarikan mata.
      “Mak, kenapa ni?” Pertanyaan Idura hilang di sebalik tangisan mereka berdua.
      “Idura dan baby dah selamat. Idura tak sabar nak balik rumah. Kita aturkan majlis cukur jambul baby. Hanya perlu bincang dengan Abang Aidil bila dia boleh dapat cuti. Apa nak sedih-sedih ni?” soal Idura lagi.
      “Kita akan aturkan semua tu sama-sama. Apa pun yang berlaku, kita semua tetap satu keluarga. Kita akan jaga baby sama-sama,” tiba-tiba ayah mertuanya mencelah.
      “Idura rehat dulu. Mak dan mak mertua Idura akan menjaga Idura di sini bergilir-gilir. Kalau nak makan apa-apa, beritahu ayah. Ayah beli kat kantin,” pesan ayah.
     
 “Idura anak mak.”
Idura menoleh. Menatap wajah emaknya yang nampak sayu.
      “Kita kena sentiasa redha dengan ketentuanNya. Setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Allah tidak akan menguji kita dengan sesuatu yang Dia tahu kita sebagai hambaNya tidak mampu untuk lalui. Idura ingat pesan mak tu?”
Idura berkerut mendengar kata-kata mak namun dia hanya menganggukkan kepala. Emaknya memang suka memberi pesanan tidak kira waktu, tidak melihat tempat.
      “Anak adalah anugerah yang tidak ternilai. Anak adalah tanggungjawab yang paling besar. Jangan sesekali putus harapan. Jangan sesekali menjadi lemah. Ingat ya Idura? Mak, ayah, malah semua orang sentiasa menyokong Idura walau apa pun yang berlaku. Kasih sayang, restu serta doa kami sentiasa bersama Idura dan cucu kami ni,” mak mencium pipi baby yang sedang lena.
      Ayah tiba dengan beberapa bakul plastik di tangannya. Emak menyambut dan menyusun isi bakul plastik itu ke atas meja di tepi katil. Ada bubur ayam, sup, roti, susu segar dan sesikat pisang emas. Idura tersenyum.
      “Terima kasih, ayah. Idura nak makan sikit supaya bertenaga. Idura nak tengok Abang Aidil. Dia kat wad mana?” soal Idura.
Ayah menghampiri dan memeluk bahunya erat. Suatu perasaan pelik menerpa tiba-tiba. Idura memandang wajah emak dan ayahnya silih berganti.
      “Mak, ayah, apa semua ni? Dari tadi mak dan ayah macam ada sesuatu nak cakap. Macam ada sesuatu yang disembunyikan. Macam ada yang tak kena. Apa ni, mak? Cuba beritahu betul-betul. Abang Aidil macam mana?” Tebing matanya mula terasa panas.
‘Mengapa aku tiba-tiba terasa sebak yang teramat sangat?’ Idura terasa nafasnya seperti tersekat-sekat.
Dia menatap wajah sayu emak dan wajah sedih ayah. Idura menjadi benar-benar kaku. Ada satu persoalan besar yang menghentam kepalanya. Dan ada satu jawapan yang maha berat sedang mengasak-asak.
Tubuhnya tiba-tiba menjadi seram sejuk. Ibunya segera memeluk tubuhnya yang tiba-tiba menggigil.
“Idura, sabar nak,” suara-suara di sekelilingnya dirasakan seperti angin sejuk yang membekukan sarafnya. Dia tidak mahu mendengar sesuatu yang dia tidak sanggup terima. Pandangannya berpinar.
 “Nurse!”
Sayup-sayup di telinganya suara emak memanggil jururawat. Pandangannya seolah hilang tetapi pendengarannya masih kuat. Kata-kata terakhir emak yang sempat singgah di telinganya ialah,
 “Doakan semoga arwah Aidil aman di sana.”
Idura terasa fikirannya berat dan dingin sekali. Tubuhnya seperti terapung-apung, bukan dirinya sendiri lagi kerana ia tanpa anggota. Dia tidak tahu siapa dirinya kini. Seolah-olah sebutir biji benih yang kecil. Juga ibarat kapas ringan yang jauh ditiup angin. Tiba-tiba satu dentuman menggegar rongga kepala dan kali ini dia benar-benar hilang arah. Hanya rasa sejuk, dingin dan beku yang membalut jasadnya saat ini.
 “Idura! Idura anak mak. Mengucap, sayang. Idura, jangan tinggalkan mak.”

 Suara emaknya semakin jauh…

No comments: