Wednesday 11 December 2013

Syukur kepada-Nya..

Cerpen pertama saya akhirnya bakal menjadi tatapan umum..

Terima kasih kepada JS Adiwarna yang memberi peluang dan kepercayaan kepada karya kecil saya untuk turut serta memeriahkan antologi yang amat bermakna ini.

Antologi Cerpen yang diberi judul ' Kerana Dia, Ratu Sehari', mempunyai 844 muka surat dengan 40 cerpen yang sudah sementinya manis-manis di dalamnya.

Terima kasih banyak-banyak kepada rakan-rakan seperjuangan dan rakan-rakan FB juga istimewa kepada rakan-rakan baru dan lama yang sentiasa memberi sokongan.

Teramat-amat kasih kepada Encik Suami yang amat memahami minat saya untuk menulis. Beliaulah yang banyak sangat memberi peluang dan ruang kepada saya untuk meneruskan minat dalam bidang ini. Sayang Selalu!

Semoga terhibur dengan semua cerpen di dalam antologi yang anggun ini. Saya akan menulis selagi suami merestui dan Allah SWT mengizinkan.

Salam Sayang.

Dhuha Steffa.




Tuesday 29 October 2013

Mak Andam! Oh Mak Andam! Yang Bertuah....

Alhamdulillah...

Alhamdulillah...

Dengan izin Yang Esa, cerpen saya terpilih untuk menyertai Antologi Cerpen JS Adiwarna dengan tema Kerana Dia, Ratu Sehari.

Semangat semakin berkobar-kobar untuk menulis. Semoga karya saya boleh diterima oleh pembaca sekalian.

Terima kasih yang teramat-amat-amat kepada semua yang banyak membantu dan memberi peluang kepada karya saya untuk menjadi bacaan umum.

Salam hormat penuh ceria, daripada saya....,

Dhuha Steffa.

Thursday 19 September 2013

Catatan untuk 19 September.....

Assalamualaikum dan salam hormat kepada yang sudi singgah membaca.

Sebenarnya, blog ini hampir saya tutup kerana seperti mati segan hidup tak mahu. Sunyi sepi, kusam dan kelam. Setiap kali saya ke sini, pasti terbatuk-batuk hingga nafas hampir sesak. Habuk dan sawang ada di merata-rata. Tebalnya pula sudah hampir sekaki!

Disebabkan 'dapur' di 'rumah' sendiri sudah lama tidak berasap, saya yang lapar, mula berjalan-jalan ke rumah sebelah. Terus berjalan dan berjalan. Catatan-catatan di setiap blog yang saya singgahi amat mengenyangkan jiwa.

Tulisan mereka telah menyuntik satu semangat kepada saya untuk mengemaskan semula 'rumah' sendiri. Takkanlah saya sahaja yang asyik bertandang ke rumah kawan-kawan,kan? Ada masanya, saya juga berkeinginan mahu menjemput rakan -rakan untuk datang bertandang.

Jika berhasrat menjemput rakan-rakan untuk bertandang, pastinya perlu menyediakan sesuatu untuk dijamu. Mungkin juadah yang saya sediakan itu tidak sempurna, tetapi saya berlapang dada jika rakan-rakan yang singgah, apatah lagi jika sudi menikmati juadah, melapangkan waktu untuk meninggalkan komen.

Semoga kunjungan rakan-rakan pada lain waktu, dapat saya jamu dengan juadah yang lebih lazat dan menepati selera, kan? :-)

Alhamdulillah...saya ditemukan dengan seorang 'jiran' yang sudi datang ke rumah saya dan membantu saya mengemaskan rumah. Kebetulan saya 'out station', maka saya titipkan 'kunci rumah' kepadanya supaya mudah dia datang bila-bila masa.

Balik sahaja dari out station, saya terpana seketika. Rumah sudah dicat baru. Di dalam, siap dengan wallpaper baru juga. Perabot-perabot yang agak berselerak sudah disusun kemas dan cantik!

Rasa nak peluk ketat-ketat Adik Dayang Deno yang sudi mengemas. Apakan daya, tangan tak sampai. Tema pink, purple dan silver/grey ini memang seperti yang saya idamkan!

Kini, saya semakin bersemangat memasak juadah. Cuba memberanikan diri meletakkan 'link' di muka-muka buku walaupun hakikatnya rasa segan sudah menghempap-hempap tubuh!

InsyaAllah..jika Yang Maha Pemurah sudah menetapkan rezeki itu buat saya, akan terbitlah buku saya. Jika bukan rezeki saya, saya akan mencuba lagi selagi Jemari, Jiwa & Minda Ini Bersatu Untuk Berkarya....

Editor Nuun Creative Book sudah menampakkan wajah e-book saya yang bertajuk 1313:Sulu
Menangis (boleh baca sedutan yang saya sudah sediakan)

 dan............

  Novel pertama saya yang bertajuk "Andai Tersentuh Cintamu" di bawah Kaki Novel yang sedang menunggu giliran penerbitan bagi Tahun 2014.
(Itu pun jika tidak ditolak pada saat-saat akhir. Mana tahu,kan?)

Saya memang sangat teruja menanti respon seterusnya dari KN namun dalam masa yang sama saya tetap bersedia untuk menerima apa-apa sahaja berita sedih...

Ohhh! Mudah-mudahan ATC berjaya melepasi tapisan akhir dan dapat dinaskahkan. Itu doa saya. Amin..)









1313:Sulu Menangis

Namun niat Azali untuk masuk ke Tanduo tidak terlaksana.

Jalan masuk ke kampung itu sudah disekat oleh pasukan keselamatan berikutan bertempuran yang berlaku.

Sekatan jalan dibuat di sana sini. Berita tentang dua orang anggota pasukan keselamatan kita yang terkorban menjadi isu utama setiap bibir.

Sebuah warung kecil tidak jauh dari tempatnya berdiri menerbitkan rasa dahaga. Langkah segera diatur ke sana.

“Teh limau ais!”

Meja di sebelah kiri dan kanannya dipenuhi dengan individu-individu yang sedang rancak mengulas isu pertempuran di Tanduo.

Azali hanya menadah telinga.

“Perwira kita yang terkorban itu seorang berpangkat inspektor dan seorang lagi berpangkat koperal.”

“Siapa dan apa sekalipun pangkat mereka di dunia, pergi mereka adalah sebagai wira negara. Mereka gugur sebagai syahid. Tidak ada sesiapa pun menduga, pada saat kita mengecapi kemakmuran dan keamanan hari ini, darah perwira tiba-tiba mengalir di bumi Sabah.”

“Sungguh keji pengganas Sulu itu!”

“Ya! Saya juga sudah mendengar sidang akhbar di televisyen.”

“Mereka berpura-pura mengibarkan bendera putih sebagai isyarat menyerah diri. Dan sesungguhnya anggota pasukan keselamatan kita yang berhati bersih tidak banyak berputar belit. Alhamdulillah jika musuh menyerah! Maknanya, isu ini dapat diselesaikan tanpa pertumpahan darah.”

Lelaki berkemeja kemas itu menyambung lagi.

“Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Inspektor Zulkifli yang merupakan Ketua Pasukan benar-benar menyangka musuh berniat baik lantas bangun dari posisi bertahan. Pada saat itulah, peluru dari penembak tepat musuh dilepaskan dan mengenai kepala Allahyarham.”

“Koperal Sabarudin yang paling hampir terus bangun untuk membantu dan Allahyarham turut terkena peluru. Maka gugurlah dua perwira bangsa. Tanpa ketua pasukan, anggota lain terus membalas tempakan dan bertahan sekurang-kurangnya setengah jam sebelum tiba pasukan bantuan. Rupa-rupanya, pada waktu itu pasukan mereka hampir sudah dikepung sepenuhnya oleh musuh.”

“Berapa orang pengganas berjaya ditembak?”

“Dua belas orang ditembak mati!”

Kelihatan mereka menggeleg-geleng kepala serentak. Masing-masing mengetap bibir dengan mata berapi-api.

“Sesuatu yang membuatkan saya geram ialah apabila ada di kalangan rakyat negara ini yang membantah apabila para penceroboh ini dipanggil pengganas!”

“Mengapa pula timbul persoalan bantah membantah?”

“Kata mereka, penceroboh ini juga beragama Islam. Mana mungkin kita sesama Islam menggelar saudara kita sendiri pengganas.”

Rakannya yang seorang lagi terangguk-angguk.

“Namun jika difikirkan sekali jalan, ada benar bantahan mereka itu.”

“Jangan terus mengiyakan sesuatu perkara, saudara. Ingat detik awal kedatangan mereka. Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis mengenal pasti mereka sebagai sekumpulan warga dari Selatan Filipina yang mengaku sebagai pewaris berketurunan Raja Sulu.”

“Setelah mereka mengemukakan tuntutan yang tidak masuk akal itu, demi mengelakkan kekecohan berlaku, maka kerajaan meminta mereka berundur secara aman. Rundingan yang kerajaan kita tawarkan ditolak mentah-mentah. Kononnya tidak akan berundur selagi hak mereka tidak dikembalikan.”

Ayat terakhir itu disambut dengan gelengan panjang rakan-rakannya.

“Mereka seolah-olah hidup dalam khayalan mereka sendiri! Apa mereka ingat ini zaman dulu-dulu? Siapa kuat dia memerintah? Menakhluk mana-mana tanah yang mereka mahu dengan berbekalkan senjata dan nyawa menjadi taruhan?”

“Mereka benar-benar hilang akal! Entah kuasa jahat dari mana sudah merasuk fikiran mereka. Sesungguhnya mereka lupa bahawa tanah yang ingin mereka takluk ini adalah tanah berdaulat!”

“Apabila mereka tidak mahu berundur dan masih mendesak tentang tuntutan ke atas Sabah, maka saat itu mereka mula digelar penceroboh. Itu hakikat! Kerana mereka menceroboh negara kita.

Jika orang yang tidak dikenali masuk ke rumah saudara secara senyap-senyap, pasti saudara menggelarkannya penceroboh,bukan? Tidak mungkin saudara melayaninya sebagai tetamu.”

“Persoalan mengapa gelaran penceroboh itu bertukar kepada gelaran pengganas. Sudah jelas! Kita semua sudah lihat kekejaman yang mereka lakukan ke atas anggota pasukan kita yang gugur di Simunul, Semporna.

Perlukah kita debatkan secara terperinci kekejaman itu? Tidak! Kerana kebencian kita akan terus menyala-nyala dan dendam akan membuak-buak!”

Azali mengurut dada sendiri. Minuman berais yang lalu ditekaknya terasa perit. Mahu sahaja dia membawa langkahnya pergi namun perbualan yang semakin marak itu mengunci punggungnya untuk terus duduk.

Lelaki berkemeja kemas tadi kelihatan masih berkobar-kobar meneruskan ucapan. Rakan-rakannya berpandangan sesama sendiri saat dia melontarkan soalan.

“Adakah saudara sekalian tidak berasa hairan?”

“Isu tanah yang tiba-tiba timbul ini sangat pelik dan menghairankan. Setelah sekian lama Sabah mula membangun di bawah Kerajaan Malaysia, baru kini Kerajaan Sulu mahu membuat tuntutan. Simpati juga kita pada kerajaan mereka itu yang tidak diiktiraf oleh Filipina sendiri.”

“Jika suatu ketika dahulu Sabah hanya ada Centre Point, Wisma Merdeka dan Karamunsing sebagai mercu tanda, kini kita sudah ada Suria Sabah dan One Borneo.

Pusat pentadbiran yang dahulunya terpisah-pisah, kini kita sudah ada Pusat Pentadbiran baru yang terpacak megah. Universiti Malaysia Sabah membuktikan rakyat Sabah juga seiring memartabatkan pendidikan dengan mereka di luar sana.”

“Cuba teka apa akan jadi dengan semua ini jika Sulu mengambil alih?”

Jawab rakannya, “Kita tidak ada Ketua Menteri lagi. Kita akan mempunyai sultan!”

Si lelaki berkemeja kemas ketawa sampai berair mata. Pantas tangannya menarik tisu dari kotak di atas meja. Matanya yang basah dilap kemudian menyambung.

“Saudaraku!”

“Seperti yang kita tahu, akan ramai yang akan mengaku cucu dan cicit Sultan Sulu selepas itu.

Maka, mereka akan membahagikan Negeri Sabah yang kita cintai ini kepada beberapa bahagian demi memenuhi tuntutan setiap waris yang datang entah dari mana itu.

Kita juga sudah maklum dengan sikap tamak, hasad dengki dan dendam yang sudah menjadi darah daging mereka.”

“Katakanlah Sabah dibahagi-bahagikan mengikut zon. Zon Timur dengan sultannya. Zon Utara, Zon Pantai Barat, Zon Bandar dan Zon Selatan seorang sultan setiap satu.

Jika pada suatu hari yang malang Dewan Masyarakat Ranau terbakar, dituduh rakyat dari Zon Bandar yang menjadi dalangnya. Maka, dengan dendam melimpah-ruah, serangan pun dilancarkan. Maka ranaplah Centre Point yang menjadi pusat perniagaan kita selama ini.”

“Tuduh menuduh pun berlaku. Jari dituding pula ke Zon Pantai Barat. Maka, Hospital Kudat pula dijatuhkan bom. Bayangkan keadaan Sabah pada waktu itu? Percayalah! Apa yang kita bina dan nikmati ini akan lenyap, ranap, musnah dalam hanya beberapa ketika mereka di sini.”

Lelaki itu terduduk dan kelihatan matanya berkaca-kaca sekali lagi. Bahunya ditepuk perlahan oleh rakannya.

“Bukan kamu seorang sahaja yang terasa pergolakan yang sedang melanda negeri ini. Bukan hanya penduduk Lahad Datu. Bukan hanya rakyat Sabah. Malah seluruh rakyat Malaysia sedang merasakan hal yang sama. Mengangkat senjata kita tidak mampu. Merancang strategi berperang juga bukan di tangan kita.”

“Tapi kita ada ini, ini dan ini!”

Sambil jarinya menuding ke kepala dan mulut sebelum menepuk dadanya.

“Otak ini mampu berfikir mana yang salah dan mana yang patut kita pangkah!”

“Dengan mulut ini kita bermunajat kepada-Nya. Berdoa agar semua ini segera selesai dan hidup kita kembali seperti aman sediakala.”

“Dan hati ini. Hati ini sudah dididik sebagai hati seorang rakyat Malaysia yang cintakan keamanan. Hati yang sukakan persaudaraan. Hati yang menangis apabila melihat darah perwira mengalir demi mempertahankan kedaulatan!”

Azali menggigit bibir menahan agar matanya yang berkaca-kaca tidak pecah. Tangannya segera menggamit tuan punya warung lalu membayar harga minuman.

Bicara bertubi-tubi yang menembusi gegendangnya sebentar terus mengalir memenuhi setiap inci nadi. Hatinya berkata-kata.

‘Benar. Aku tidak mampu mengangkat senjata untuk mempertahankan kedaulatan negara. Namun aku ada senjata yang tidak kurang hebatnya iaitu murid-muridku.

Kepada mereka akan tumpahkan semangat jati rakyat Malaysia. Dengan buku dan pena akan aku bimbing mereka agar mencintai tanah air ini.

Biar mereka menghargai dan bersyukur lahir di bumi berdaulat ini. Akan aku buka minda mereka agar mereka tahu sejarah bumi Sabah ini.’

Tuesday 4 June 2013

Puteri Cermin (Dayang Soromin-Cerita Rakyat)-Twist Klasik-



Tajuk : Puteri Cermin  (Dayang Soromin)
Sejarah berulang di Ngarai Teduh. Tempat yang terasing namun menjadi buah mulut penduduk negeri itu.
“Menakjubkan! Setiap kali Pesta Menuai tiba, Cermin Pusaka pasti memilih gadis dari Ngarai Teduh!”
Jawab sahabatnya, “Mereka bukan hanya cantik luaran malah sangat cekap mengetam dan menampi padi!”
Puji-pujian itu tercantas apabila satu suara garau tiba-tiba membingitkan gegendang semua orang.
“Ini kali terakhir! Tahun depan, gadis dari Ngarai Teduh mesti kita tolak!”
Merah padam wajahnya. Mata pula menyala-nyala.
“Marah kamu seperti marah kepada Cermin Pusaka. Turun-temurun sudah percaya, wajah gadis yang muncul di Cermin Pusaka itulah yang diangkat menjadi ratu seluruh lembah!”
“Bersusah-payah saya menempah baju tercantik dari negeri jiran, rupanya anak saya kalah! Siapa akan membayar ganti rugi itu?”
Seorang lelaki bertubuh kekar di sebelahnya ketawa besar.
“Sedangkan menggenggam renggam sahaja anak kamu sudah terkial-kial. Semasa menampi padi, berapa cupak tumpah ke tanah? Pulanglah ke rumah kamu dengan saguhati!”
Lelaki yang mengamuk itu mula senyap. Sorotan mata kembali tertumpu ke arena terbuka. Gadis dari Ngarai Teduh yang telah dimahkotakan sedang disudukan air pinang muda oleh ratu musim yang lepas. Sebagai restu, gelaran sudah berpindah tuan.
“Lihat! Boleh nampak air pinang kemerah-merahan itu mengalir melalui tekaknya!”
“Benar! Kulitnya jernih seperti cermin! Saya menjadi taksub!”
Satu tumbukan ringan mendarat dibahu kanan.
Bidas rakannya,“Itu sudah melampau! Tidak ada manusia yang kulitnya seperti cermin. Cuma kulit ratu ini sangat luar biasa cerahnya.”
Pandangannya ditebar hingga ke sempadan sawah. Padi semakin menguning tetapi bila disentuh, tidak berisi. Hanya kulit padi! Batangnya pula semakin kering. Sepanjang hidupnya, tidak pernah ada malapetaka seperti ini.
“Muzon…!”
Pantas dia menoleh bila namanya lantang diseru begitu. Jiran sebelah sawahnya datang terkocoh-kocoh berkaki ayam.
“Janganlah berteriak! Sudahlah padi tidak berisi, engkau terbangkan lagi semangatnya!”
“Jadi, sawah kamu pun ditimpa bencana yang serupa? Padi hanya ada kulit, tidak ada isi?”
Muzon mengangguk lemah.
“Pasti kita semua akan mati kebuluran…”
Mendengar luahan lemah itu, jirannya terduduk di atas batas sawah.
Kerut seribu di wajahnya itu semakin ketara saat dia berkata,“Penduduk lembah ini akan kelaparan…,”
“Ataukah hamya kita yang ditimpa malang?”Soal Muzon kepada si jiran.
“Tidak! Bukan hanya kita. Saya baru balik dari lembah seberang. Kaum perempuan mereka sedang meratap mengenang nasib! Simpanan padi dalam kepuk semakin surut!”
Muzon ikut terduduk. Longlai segala sendi tubuh. Matanya kembali menebar dari satu petak ke satu petak sawah dengan mata semakin merah. Apabila dia menoleh, jirannya itu sudah pulang. Sendi kedengaran berkeriut bila dia melenturkan tubuh ke kiri dan kanan.
“Letih yang teramat! Biarlah malam ini saya tidur di pondok padi.”
Lemah langkahnya meninggalkan petak sawah yang menyedihkan hati.
Setelah menghabiskan baki nasi tengah hari tadi dengan berlaukkan ikan sungai bakar, Muzon menghamparkan tikar mengkuang di tepi kepuk padi yang tingginya tinggal sejengkal.. Satu tingkap kecil dibiarkannya terbuka agar angin malam yang sejuk boleh menerobos ke dalam.
Saat matanya semakin rapat, tiba-tiba pondok kecil itu bergegar kencang. Muzon memegang kuat di dinding tetapi tubuhnya tetap terhuyung hayang. Padi yang tinggal sedikit, tersebar ke serata lantai.
“Gempa bumi…?!!”
Sempat dia menjerit sekuat hati. Gegaran berhenti dan Muzon menjenguk ke luar melalui tingkap kecil pada dinding. Tangannya menekup mulut dengan bahunya terhenjut-henjut.
‘Peningnya! Rasa seperti hendak muntah!”
Namun apa yang dilihatnya di luar sana serta merta menghentikan rasa mualnya itu. Rasa mula hilang sekelip mata. Tangannya menggosok-gosok mata.
“Berikan kepada saya ratu kamu!”
Mulut Muzon ternganga seluas-luasnya. Adakah dia salah dengar? Makhluk hitam lagi besar ini mahukan ratu?
“Saya mahukan ratu!!”
Sekali lagi suara seperti halilintar itu membelah pekat malam.
“Dia anak saya! Dia ratu seluruh lembah! Tidak mungkin kepada makhluk hitam akan saya serah!”
Pondok kecil itu digoncang dengan lebih dahsyat. Tubuh Muzon sudah bermandikan padi. Dunia sekitar seolah-olah berputar. Tanpa tertahan lagi dia pun termuntah-muntah. Nafas tersekat di rongga dada.
“Padi akan melimpah ruah jika ratu menjadi milik saya!”
“Padi yang musnah adalah angkara kamu?!”
Ketawa makhluk berdekah-dekah.
“Saya mahukan ratu sebelum cahaya terbit. Saya mahu ratu yang cantik! Jika tidak, sawah seluruh lembah akan musnah!”
Muzon menggagahkan diri untuk turun dari pondok lalu berlari meredah gelap malam. Perit dan miang daun lalang yang menghiris kulit tidak dia peduli. Sebaik kelihatan lampu minyak tanah di anjung rumahnya, dia terus menjerit membangunkan isi rumah. Jiran sebelah turut menjengah jendela.
“Mana anak kita?!” Soalnya kepada isteri yang masih terpisat-pisat.
“Anak kita ramai. Yang mana satu?”
“Saya maksudkan Dayang!”
Belum sempat isterinya menjawab, Dayang sudah muncul menguak jendela.
“Ayah cari saya?”
“Iya, Dayang! Makhluk yang memusnahkan sawah seluruh lembah mahukan kamu!”
“Mahukan saya atau mahukan ratu?”
“Kita sedang dilanda musibah. Jika hendak berlelucon, ini bukan masanya. Ratu itu adalah kamu! Makhluk hitam itu mahukan kamu!”
Dayang merapatkan semula daun jendela lalu beberapa saat kemudian dia sudah tersembul di muka pintu.
“Menurut pandangan ayah, adakah makhluk itu berakal panjang atau lurus bendul?”
“Ayah risaukan keselamatan kamu, Dayang. Tetapi kamu pula tidak habis-habis bertanya soalan pelik begitu,” Muzon duduk di perdu pohon mangga di hadapan rumah.
“Ayah, Dayang mahu berjumpa dengan makhluk itu,” serentak semua pasang mata terarah kepadanya.
“Makhluk itu sangat bengis, busuk dan hodoh! ”
“Bengis,busuk dan hodoh? Saya teruja mahu berjumpa dengannya,” setelah itu, Dayang pantas masuk ke dalam rumah. Selang beberapa ketika, dia muncul semula. Kini dia lengkap berpakaian tradisional suku kaumnya yang bersulam manik-manik berkilat berlatarkan kain baldu hitam. Di tangannya ialah lampu suluh kecil.
“Ibu, ayah dan jiran-jiran semua, saya akan membuat bunyi seperti burung tekukur jika saya perlukan bantuan . Jika kamu tidak mendengar apa-apa, itu bermakna saya selamat.”
Dengan berkaki ayam, Dayang mula mengatur langkah menuju ke lembah yang gelap gelita. Lampu suluh digenggam erat. Embun jantan mula memberat di atas daun-daun hutan. Mujur sekali, jalan denai itu sudah jelas dalam mindanya. Dia berdiri di hadapan pondok padi.
Dengan suara sedikit bergetar dia berkata, “Ratu lembah sudah tiba. Siapakah yang berkehendakkan saya? Ayuh! Tampil di hadapan mata!”
Hanya sekali dia menyeru, bunyi dahan dan ranting patah tiba-tiba semakin mendekat.
“Padi akan melimpah ruah jika ratu menjadi milik saya!”
Dayang terundur ke belakang. Kemunculan makhluk hitam itu sangat tidak disedari. Sekelip mata sudah terapung-apung dan jaraknya pula hanya selangkah di depannya.
Dayang memicingkan matanya. Cuba meneliti rupa makhluk hitam itu tetapi kepekatan gelap malam menghalang niatnya. Dia mengumpul seluruh keyakinan dan keberanian dan kemudian bersuara.
“Tahukah kamu bahawa ratu seluruh lembah sanggup menjadi milik kamu?”
“Jika semua ratu menjadi milik saya, saya berjanji tidak akan memusnahkan sawah padi!”
‘Hanya muslihat yang mampu menumpaskan makhluk ini,’dalam diam Dayang merencanakan sesuatu dalam hati.
“Tetapi ratu hanya mahukan pasangan yang sanggup mati sekiranya dia mati,”sambung Dayang.
Dengan akal yang pendek makhluk hitam itu berjanji, “Saya akan mati jika ratu mati.”
Dayang menyembunyikan senyum di sebalik rambutnya yang menutupi separuh wajah. Angin menjelang dini hari itu agak kencang dan dingin sekali.
“Baiklah! Izinkan saya mengerahkan semua ratu agar berhimpun di sini pada esok hari.”
Makhluk itu tiba-tiba bertempik kuat sambil menjerit,“Esok?! Ketika matahari bersinar panas?! Tidak tahukah kamu bahawa saya tidak boleh melihat selagi matahari belum terbenam?!”
Mata Dayang terbulat dan bersinar. Mulutnya memuncung seperti mulut ikan yang comel. Dia terangguk-angguk sendiri.
“Risau tidak bertempat hanya menyusahkan hati. Serahkan kepada saya untuk membawa semua ratu kemari. Malam esok adalah masa untuk kamu bersenang hati.”
Makhluk itu ketawa berdekah-dekah sekali lagi. Dayang segera menekup telinga bagi mengurangkan bingit yang menyucuk gegendangnya.
“Malam esok saya akan berpesta. Pastikan ratu seluruh lembah lengkap berpakaian indah!”
Dahan-dahan dan ranting patah kedengaran dalam beberapa langkah dari tempatnya berdiri.
Dayang meneka, ‘Mungkinkah makhluk itu sedang beredar dari sini?’
Lantas Dayang menjerit sekuat hati. Dia meletakkan tapak tangan di sekeliling mulutnya seperti ibarat pembesar suara.
“Jangan lupa janji!! Kamu akan mati jika ratu mati…!!!”
Sayup-sayup suara menggerunkan itu menyahut.
“Saya mati jika ratu mati…! Saya mati jika ratu mati..! Janji ditepati…!”
Sebaik mendengar jawapan itu, Dayang tidak berlengah-lengah lagi. Sepantas yang termampu dia berlari menuju ke kampung. Kain baju bersulam indah itu disinsing hingga ke atas lulut. Kokok ayam jantan meriuhkan pagi di Ngarai Teduh. Mereka hanya satu hari untuk menewaskan makhluk hitam itu.
Perkarangan rumah sudah dibanjiri penduduk kampaung yang berkumpul sejak malam tadi sebaik mereka tahu Dayang pergi ke sawah untuk bersemuka dengan musuh kampung mereka Si Makhluk Hitam.
“Saudara sekalian! Mujur kalian semua sudah berada di sini. Saya memerlukan bantuan semua demi membunuh makhluk yang menguasai sawah seluruh lembah!”
Suara Dayang memecah hening pagi. Beratus pasang mata sedang bertumpu kepadanya kini.
“Asalkan musuh kita dapat dihancurkan, katakanlah apa sahaja caranya, akan kami laksanakan. Namun membiarkan anak dan isteri tanpa makanan, tidak sekali-kali!”
Kata-kata bersemangat waja itu disambut dengan sorak gemuruh.
Dayang menceritakan segala perbualannya dengan makhluk hitam itu malam tadi.
“Ini kerja yang sia-sia! Di mana kita hendak mencari ratu seramai itu? Saya pasti ratu dari daerah luar mahu dijadikan persembahan!”
Dayang tersenyum lebar. Satu persatu wajah resah gelisah di hadapannya dipandang.
“Saudaraku sekalian! Tidak sukar untuk menghimpun ratu yang ramai. Kita hanya memerlukan cermin yang besar dalam jumlah yang banyak.”
Sekali lagi semua yang hadir berpandangan dan seketika kemudian mereka mengangguk-angguk sambil berketawa girang.
“Dayang memang seorang ratu yang bijaksana!” Puji-pujian kedengaran di sana-sini.
“Saya tahu di mana kita boleh mendapatkan cermin yang besar dalam jumlah yang banyak. Serahkan tugas itu kepada saya,” seorang pemuda berparut di dahi menawarkan diri.
“Kamu perlu segera berurusan dengan tuan kedai itu. Kita perlukan tujuh puluh cermin besar. Bawa cermin-cermin itu ke sawah padi sebelum matahari tegak di atas kepala.”
Maka, seramai tujuh puluh orang anak muda segera beredar melaksanakan tugas mereka.
“Sekarang, kita perlu membuat patung yang serupa dengan saya. Lengkapkan dengan persalinan ratu yang terbaik. Kita letakkan di tengah-tengah sawah!”
Setelah menerima arahan, seluruh penduduk mula menumpahkan kemahiran masing-masing. Tanah liat dibentuk sempurna menyerupai Dayang. Diukir dengan cukup teliti dan dipalit dengan warna-warna menjadikannya seperti realiti.
Kemudian giliran kaum wanita pula menyarungkan pakaian tradisi khas yang lengkap dan hanya seorang ratu boleh menyarungkannya. Saat patung itu diusung ke tengah sawah dan ditegakkan kedudukannya, seolah-olah Dayang, Si Ratu Cermin sedang berdiri mempamerkan kecantikkannya!
Menjelang tengah hari, sebanyak tujuh puluh keping cermin besar disusun di sekeliling sawah yang luas. Mereka bekerjasama menyusun atur cermin-cermin tersebut agar memantulkan imej antara satu sama lain. Saat matahari semakin condong ke barat, cermin sudah siap dipasang. Seolah-olah terdapat berpuluh-puluh ratu yang cantik sedang mengelilingi sawah padi itu.
Dayang berdiri disamping patung yang menyerupainya di tengah sawah lalu berkata.
“Wahai penduduk sekalian! Berdoalah semoga usaha kita tidak sia-sia. Dengar baik-baik apa yang perlu kita lakukan untuk menjayakan muslihat ini.”
“Seorang lelaki dewasa perlu bersembunyi di belakang setiap cermin besar yang sudah kita susun. Bersiap sedia dengan sebatang kayu. Setelah saya beri isyarat, kamu akan pecahkan cermin di hadapan kamu itu. Bermula dari penjuru sawah sebelah kiri, satu persatu sehingga habis pecah kesemuanya. Kaum wanita dan kanak-kanak, pergilah kembali ke rumah masing-masing.”
Kini, hanya tinggal penduduk yang memegang peranan masing-masing. Dada berdebar-debar menunggu matahari terbenar sepenuhnya. Dayang merapatkan tubuhnya benar-benar di belakang patung di tengah sawah.
Tiba-tiba bunyi dahan dan ranting kedengaran dari jauh dan semakin lama semakin hampir. Makhluk hitam itu berhenti di hadapan patung ratu.
“Kamu hanya boleh menghampiri saya sebaik bulan menyinar terang!”
Dayang bersuara dari belakang patung ratu.
“Saya dijanjikan untuk memiliki ratu seluruh lembah! Bukan hanya satu!!”
Bergegar jantung Dayang dijerkah sebegitu kuat.
“Ratu seluruh lembah akan hadir bersama sinaran bulan yang mengambang!”jawab Dayang sambil matanya memandang ke atas mencari kelibat bulan. Dia menahan nafas saat melihat awan mula berarak dan bulan mula menunjukkan wajah. Bulan yang bulat sempurna dengan cahaya yang gemilang.
Sebaik bulan tersembul sepenuhnya, imej patung ratu terpantul dengan sempurna di atas permukaan setiap cermin yang tersusun. Sekali pandang, ada berpuluh-puluh ratu sedang berdiri anggun mengelilingi sawah!
“Wahai makhluk hitam! Lihat di sekeliling kita! Sekalian ratu bersedia menjadi milik kamu!”
Makhluk hitam ketawa. Berdekah-dekah seperti malam sebelumnya.
“Ratu seluruh lembah datang menyembah! Ratu seluruh lembah kini kepunyaan saya!”
Dayang mengingatkan dirinya sendiri. ‘Saya tidak boleh biarkan makhluk ini menyelidiki setiap pantulan pada cermin-cermin itu. Mesti bertindak segera!’
Maka dia pun berkata, “Janji ditepati! Kamu mati jika ratu mati!”
“Saya mati jika ratu mati!”
Makhluk itu mengulang-ulang kata-katanya sambil membuat pergerakan yang tidak jelas ke sana ke mari. Kelihatan makhluk itu sungguh gembira melihat begitu ramai ratu sudah tiba.
Dayang memberi isyarat kepada lelaki-lelaki yang bersembunyi di belakang cermin. Sudah tiba masa untuk cermin itu dipecahkan. Maka, bermula dari penjuru sawah sebelah kiri, satu demi satu cermin retak berderai dan jumlah ratu yang kelihatan mula berkurangan.
Tempikan marah makhluk itu kedengaran hingga ke kampung. Semua orang berkurung dalam rumah masing-masing. Tidak ada seorang pun yang berani menjenguk walau sesaat.
Setiap kali satu cermin dipecahkan, Dayang akan berpura-pura menjerita kesakitan. Jeritan itu menjadikan makhluk hitam semakin tidak tentu arah. Akhirnya hanya tinggal patung yang masih tegak di tengah-tengah sawah.
Dayang bersuara, “Wahai makhluk hitam! Matilah bersama-sama ratu yang cantik!” Dan Dayang merangkak perlahan-lahan meninggalkan patung ratu itu.
Dari tepi sawah, meraka dapat melihat makhluk hitam itu memeluk patung ratu. Namun sebaik patung tanah liat itu dipeluk rakus, maka rosaklah strukturnya. Tangan-tangan terus gurur dan pinggangnya juga telah patah. Bunyi meraung yang sangat dahsyat amat menggerunkan.
Dalam terang cahaya bulan, mereka dapat melihat makhluk itu menyambar serpihan-serpihan cermin yang tajam lalu mencederakan badannya. Tidak lama kemudian, mereka terlihat badan makhluk itu terbakar dengan sendirinya dan akhirnya lenyap begitu sahaja.
Keesokannya paginya, seluruh penduduk turun ke sawah untuk membersihkan serpihan cermin agar tidak membahayakan mereka tetapi mereka tidak menemui apa-apa serpihan. Mereka juga mendapati bahawa sawah padi sudah pulih seperti sediakala.
“Kita akan mengadakan Pesta Menuai. Mulai sekarang, ratu yang dipilih bukan hanya cantik dipandang tetapi mestilah seorang yang bijaksana. Ratu yang mampu menyelamatkan seluruh lembah!”
Dayang menonton kegembiraan para penduduk dari jendela kamarnya. Sebiji pinang muda dikunyah perlahan-lahan. Melalui cermin meja soleknya, dia dapat melihat air pinang muda itu mengalir perlahan-lahan seperti selalu.

Friday 25 January 2013

Surat Berdaftar Yang Membawa Tuah

Assalamualaikum...
hampir tidak aku temui jalan kembali ke rumah sendiri
lantaran agak lama tidak ke sini
bukan ke mana-mana
 sekadar leka melunaskan amanah di bahu, demi anak bangsa dikasihi di sekolah
bukan juga ke mana-mana
sekadar memberikan sepenuhnya pandangan, kepada permata-permata hati sendiri di rumah
juga bukan ke mana-mana
sekadar mengerah sepenuh tumpuan untuk memastikan, mimpi ini benjadi nyata

di sini, di rumahku sendiri,
sebebasnya aku mengemas dan mencuci
biar tidak ada tamu menghampiri
namun tanggungjawabku untuk memastikan rumahku ini
sentiasa menyenangkan mata dan hati
sentiasa menjadi tempat aku berkarya, berlagu ceria mahupun sedih

aku gembira di rumah ini
jiwa menjadi tenang dan tenteram
saat aku keluar dari sini
dan mula menjejak kaki ke rumah orang lain
bermakna banyak pula ilmu yang boleh aku semat di dada dan minda
juga ilmu yang dijadi garisan agar jangan dilangkau, jika tak mahu mendapat padah

rumah unguku ini,
jangan merajuk jika aku tinggalkan engkau lagi
sesungguhnya, meskipun langkah ini jauh dari mu,
engkau sentiasa melekat di hatiku...