Saturday, 24 August 2013

Boarding Pass Cinta?? -Bab 5-



Seperti hujung-hujung minggu yang sudah, Puan Hamidah akan bercuti dan hanya berehat di rumah. Dia bekerja di rumah Tuan Saifuddin hanya lima hari dalam seminggu.
“Mama sudah jatuh hati sangat pada budak tu,” Puan Hamidah membuka bicara.
“Syifa tu bukan budak lagi la, mama. Hari tu dia datang office papa, hantar selendang yang Rafi pesan untuk mama tu. Syifa memang sangat menawan hati cuma…..”
“Cuma apa?” sesaat Puan Hamidah menoleh anak terunanya yang terhenti ayatnya.
 “Cuma….cepat naik angin,” sambil mengunyah roti bakar, Rafi memberi komen, meneruskan ayatnya yang terhenti tadi.
“Syifa kan anak bungsu. Manja dia tu adakalanya tidak terlayan. Hari tu, dia nak mama yang  sediakan baju untuk dia pergi kerja. 

Ada-ada saja Syifa tu. Banyak yang sukar diduga,” balas Puan Hamidah sambil tersenyum.
“Rafi tidak sabar mahu masuk meminang. Pasti Tuan Saifuddin dan Puan Puspa akan menerima lamaran Rafi, kan?” teh yang dibancuh oleh mamanya sudah hampir habis dihirup. 

Kelihatan bintik-bintik peluh kecil di atas hidung mancung lelaki berusia dua puluh sembilan tahun itu. Mungkin kerana teh yang masih lebih dari suam itu sangat sedap.
“Tuan Saifuddin dan Puan Puspa tidak ada halangan. Bila-bila masa kita boleh masuk meminang secara rasmi cuma Rafi pergilah berkenalan secara rasmi pula dengan Syifa sebelum kita masuk meminang,” cadang Puan Hamidah.
“Ini idea Hakimi la ni. Dia nak sangat surprisekan adik dia tu. Kononnya, biar Syifa terkejut menerima lamaran yang tidak dijangka. Baiklah! Rafi akan aturkan pertemuan dengan Syifa,” kelihatan bersinar-sinar matanya saat berkata begitu.
“Jangan terlambat, sudah! Mama pun sudah penat menjadi perisik sampai sanggup menjadi pembantu rumah di sana,” sahut Puan Hamidah.
“Penat ke kerja di sana, mama?”
“Tak ada la. Buat kerja macam di rumah ni juga. Malah lebih mudah di sana sebab Puan Puspa sangat rajin ke dapur. Selalunya, mama hanya tolong potong itu dan ini. Puan Puspa sangat pandai memasak,” pujinya.
“Wah! Mudah-mudahan bakat memasak itu diturunkan kepada Syifa,” Rafi mula berangan-angan.
“Angan-angan tinggi ke awan. Hari ni kan Hari Sabtu. Pergilah ke rumah Syifa,” cadang Puan Hamidah.
“Eh! Apa kata Syifa nanti?”
“Apa kata apa pula? Hakimi kan kawan Rafi. Biasalah kalau berkunjung ke rumah kawan.”
“Oh, sangat benar! Biar Rafi call Hakimi dulu,” Rafi bangun dan menuju ke ruang tamu mengambil telefon bimbitnya.

 Dari tingkat atas, kelihatan adiknya Fifi sedang menuruni tangga.
“Fifi nak ke mana Hari Sabtu ni?”
“Kerja,” jawab Fifi, ringkas.
“Kerja? Wah! Bolehlah belanja abang bercuti kalau sudah bekerja,” terbantut Rafi mahu mendail nombor Hakimi. Dia teruja mendengar adiknya itu sudah mula bekerja. 
Lega hatinya. Dia sangat risau jika Fifi menghabiskan masa dengan merayau-rayau tanpa tujuan.
“Tapi baru tempoh percubaan. Kalau kerja Fifi memuaskan hati bos dan pelanggan, bulan depan Fifi akan jadi pekerja tetap la. Abang doakan,ye?”
“Tegas juga bos Fifi tu. Siap ada tempoh percubaan bagai,” Rafi membulatkan mata.
Fifi Arni tersengih-sengih mendengar komen itu.
“Tahu siapa bos Fifi tu?”
“Mana la abang tahu.”
“Nak tahu?”
“Tak perlulah!” Rafi mula menekan-nekan semula skrin telefon bimbit tetapi tidak lama. Sekelip mata gadget itu disambar oleh Fifi.
“Tak payahlah rebut handphone abang yang buruk ni. Dapat gaji nanti, Fifi belilah sendiri,” Rafi menghulurkan tangan meminta miliknya itu semula.
“Fifi bukan berkenan dengan benda ni la. Cuma Fifi nak abang tahu yang Fifi pun dah ikut jejak mama,” Fifi masih berteka-teki.
“Ikut jejak mama? Fifi pun jadi pembantu rumah ke?”
“Eeii..abang ni. Bukanlah! Fifi pun dah jadi penyiasat macam mama,” Fifi dengan bangga mengkhabarkan.
Rafi ketawa besar.
“Mama sendiri yang menawarkan diri mahu menjadi pembantu rumah di sana semata-mata untuk mahu mengenali dengan lebih dekat gadis pilihan abang. Sekarang, adik abang pun mahu menyiasat juga?”
Sesaat wajahnya menjadi serius lalu mendekatkan dirinya pada Fifi.
“Macam mana Fifi menyiasat?” Fifi tergelak melihat kening abangnya yang terjongket-jongket begitu.
“Oh..berminat juga rupanya abang nak ambil tahu. Ingatkan tak kisah…,” Fifi terkekeh-kekeh. Sengaja mengenakan Rafi.
“Asalkan berkaitan dengan Syifa, abang sangat berminat untuk tahu,” jawab Rafi pantas.
“Fifi bekerja di butik milik Syifa bermula hari ini.”
“Apa tujuan Fifi memilih untuk bekerja di sana?”
“Fifi pun mahu mengenali dengan lebih dekat bakal kakak ipar Fifi. Mama akan perhati sikapnya semasa di rumah dan Fifi pula menyelidik sikap dia semasa bekerja. Amacam? Okey tak?”
Jawapan itu membuatkan Rafi terangguk-angguk.
“Hebat sungguh mama. Adik pun tidak kurang hebatnya. Tapi bang tak mahu mendengar lagi saranan kawan abang Si Hakimi tu. Nak surprisekan adik dia konon! Tiba-tiba Syifa dipinang oleh orang lain, abang juga yang berputih mata nanti,” ujar Rafi.
“Betul tu. Fifi sudah melihat Syifa depan mata. Dia memang sangat cantik, anggun, ayu dan lemah lembut. Cuma Fifi jadi kecut bila dia mula serius,” Fifi mula membuat laporan tidak rasminya.
“Jangan risau. Tak lama lagi, abang akan bawa kakak ipar Fifi tu balik rumah.”
“Jangan terlalu yakin. Perempuan cantik pasti mempunyai ramai peminat. Macam yang mama beritahu tadi, abang kena bertindak cepat.”
“Wah! Tambah berkobar-kobar semangat abang kalau sokongan begini punya bagus!” 
Rafi tersenyum lebar. Terbayang-bayang wajah Syifa yang dipujanya sejak setahun yang lalu. Waktu itu, dia menemani Hakimi menghantar komputer Syifa yang dibaiki ke kampus dan itulah kali pertama dia melihat adik sahabatnya itu.
Dia tidak pernah tahu yang Hakimi mempunyai seorang adik yang sudah besar. Dia cuma tahu Hakimi hanya dua adik beradik tetapi itu kali pertama dia melihat adik kepada Hakimi itu.
Dia teringat perbualannya dengan Hakimi beberapa bulan yang lalu.
“Aku nak masuk meminang adik kau tu. Boleh tak?” dengan selamba dia bertanya kepada Hakimi. Saat itu, Hakimi memandang wajahnya dengan kerut yang dalam.
“Kau jangan nak main-main dengan adik aku, Rafi. Aku lenyek-lenyek kau nanti,” itu amaran yang dia terimanya. Garang juga Hakimi ni!
“Cuba tengok muka aku ni, ada nampak aku main-main tak?” dia tidak puas hati bila Hakimi seolah-olah sangsi pada niatnya yang suci murni itu.
“Kalau serius, jumpa mak ayah aku. Syifa tu budak baik. Dia satu-satunya adik yang aku ada. Aku kenal dia macam mana. Sekali lagi aku bagi amaran, kita putus kawan jika sekali aku tahu adik aku dipermainkan,” kecut perut Rafi mendengar nada amaran itu diberi sekali lagi.
“Baik. Aku akan minta mak aku masuk meminang. Tapi, adik kau tu, dah ada boyfriend atau belum?”
“Selama yang aku perhatikan, dia tidak ada yang special. Kau bertuah sebab kau kawan aku tau. 
Maklumat macam ni ingat senang nak dapat?”
“Baru hari ini aku sedar yang aku seorang yang sangat bertuah kerana aku ditakdirkan menjadi kawan kau,” kata Rafi, bergurau.
“Ohh..baru hari ini kau rasa bertuah,ya? Selama ini kau tak rasa apa-apa la?” satu tumbukan ringan mengenai bahu kiri Rafi. Rafi menyambutnya dengan ketawa besar.
“Rasa bertuah juga tetapi hari ini aku rasa yang aku lebih bertuah daripada hari-hari biasa.”
Mereka sama-sama ketawa.
“Rafi!”
Tiba-tiba Hakimi terfikirkan sesuatu.
“Kau jangan masuk meminang dulu. Aku ada satu idea,” dengan wajah nakal, Hakimi tersengih-sengih. 

Nasib baik, senyumannya yang kacak dan barisan giginya yang cantik itu mampu menyejukkan mana-mana mata yang memandang. Kalau tidak, pasti ada mata yang menyampah melihat dia yang sikit-sikit tersengih sejak tadi. 
“Idea apa?” Rafi ikut teruja apabila melihat wajah Hakimi yang tersengih-sengih begitu.
“Aku nak uji Syifa dulu. Aku nak tahu yang Syifa ni jenis yang menerima jodoh yang ditentukan oleh ibu bapa ataupun mahu mencari jodoh sendiri. Lagipun, inilah peluang aku untuk usik-usik dia,” Hakimi masih menayang-nayang giginya.
“Alaa..kesian Syifa. Janganlah buat macam tu. Aku suruh mak aku masuk meminang,ya?”
“Apa la! Kalau nak kahwin dengan adik aku, kena dengar cakap aku tau,” Hakimi pura-pura tunjuk muka ganas.
“Malangnya dapat bakal abang ipar macam kau ni!” Rafi menggeleng-geleng namun bibirnya tersengih sama.
“Bukan macam tu,kawan. Lagipun, syarikat kita baru je start. Kau kena kukuhkan ekonomi dulu sebelum mahu memiliki adik aku. Yang aku tahu, maintenance dia tu sangat tinggi,” Hakimi mengingatkan.
“Oh, itu memang sangat benar. Disebabkan terlalu mahu memiliki, aku terlupa tentang persediaan diri sendiri. Terima kasih kerana sedarkan diri aku ni, kawan,” dia menepuk bahu Hakimi.
“Sama-sama. Aku bukan hanya memikirkan masa depan Syifa tetapi kita pun dah lama kawan. Sekarang sudah jadi rakan kongsi pula, mestilah aku ambil berat. Jika bertambah lagi satu title nanti, lagilah aku ambil tahu,” Hakimi membalas menepuk bahu Rafi pula.

Title?”
“Iyelah! Title baru. Adik ipar!”
Kedua-duanya ketawa. Nampak suka benar dengan gelaran baru yang diangan-angankan itu.
“Ops…,ops…,” Tiba-tiba Rafi mengangkat tangan. Menghentikan serta merta gelak ketawa mereka.
“Kenapa? Tak happy dengan title baru tu?” Hakimi menghabiskan tawanya yang masih bersisa.
“Mestilah happy. Siapa tak happy kalau mendapat sokongan penuh dari bakal abang ipar yang begini punya sporting,” lengannya diletakkannya melingkar di bahu Hakimi dan wajahnya sedikit bertukar serius.
“Cuma, bagaimana aku mahu pastikan yang Syifa tidak ada sesiapa sehingga waktu yang sesuai itu tiba? Kimi, sekurang-kurangnya, aku perlu memperkenalkan diri kepada Syifa. Asalkan dia tahu ada seorang jejaka idaman Malaya sangat serius mahu menyunting dirinya,” Rafi meluahkan pandangan.
“Macam mana kalau kita bawa aunty untuk berkenalan dengan ibu bapa kami? Terangkan hasrat hati kau tu? Mama dan papa aku pun sangat sporting tau!”
Maka satu pertemuan pun berlangsung. Puan Hamidah menyatakan hasrat untuk melamar Syifa untuk Rafi, anaknya. Rafi terus mengambil kesempatan itu untuk berkenal-kenalan dengan Tuan Saifuddin dan Puan Puspa. 
Memandangkan Hakimi dan Rafi sudah lama berkawan, ditambah lagi sebagai rakan kongsi perniagaan, maka, secara dasarnya, Tuan Saifuddin dan Puan Puspa sangat berkenan dengan Rafi. 
Atas cadangan Puan Puspa juga, biarlah Puan Hamidah pura-pura menjadi pembantu rumah di rumah mereka supaya Puan Hamidah dapat mengenali Syifa dengan lebih dekat. Puan Hamidah bolehlah menunjuk ajar apa yang patut dan dapat melihat kekurangan dan kelemahan Syifa dan boleh menerimanya lebih awal.
Hakimi dan Rafi saling menunjukkan ibu jari, menandakan rancangan berjalan lancar. Puan Hamidah pun mulalah menjalankan tugasnya sebagai pembantu rumah. Dengan kerjasama Tuan Saifuddin dan Puan Puspa, segalanya berjalan lancar.
Tiga bulan berlalu dan apabila dimaklumkan oleh Hakimi bahawa Syifa akan membuka House of Hijabista, Rafi diserang rasa risau.
“Pasti Syifa akan bertemu dengan ramai pelanggan dan aku tidak sanggup dia jatuh hati pada lelaki lain,” bisik hati lelakinya.
“Kimi, aku nak jumpa Syifa. Nak berkenalan dengan dia. Sekurang-kurangnya, dia tahu kewujudan aku ni. Aku rasa, kita ni syok sendiri aje la. Mak aku jadi pemerhati di rumah kamu, aku jadi pemerhati dari jauh, tetapi hati Syifa kita tak tahu,” Rafi meluahkan kerisauan.
“Betul juga! Engkau pergilah ke MSM. Butik Syifa akan dilancarkan malam ini di sana. Jangan tanya aku macam mana nak berkenalan dengan dia. Pandai-pandailah sendiri,” Hakimi berpesan sebelum tergesa-gesa pergi kerana perlu menunjukkan kereta keluaran baru kepada seorang pelanggan.

Sebaik Puan Hamidah muncul di depan mata, Rafi bersuara, “Malam ni, Rafi nak ke butik Syifa. Mama nak pesan apa-apa tak?”
“Tak kisahlah apa pun,” jawab Puan Hamidah.
“Mama sebut aje la. Rafi carikan,” Rafi tidak berganjak menunggu pesanan Puan Hamidah. Jika tidak mencari apa-apa, dia tidak ada alasan untuk pergi ke butik itu.
“Baiklah. Carikan mama sehelai selendang polka dot putih latar ungu,” akhirnya Puan Hamidah membuat pesanan.
“Okey! Nanti Rafi carikan selendang itu untuk mama,” senyum lebar terukir di bibirnya yang sihat merah.
“Mama nak hadiahkan kepada menantu mama nanti,” balas Puan Hamidah. Senyum Rafi semakin lebar. Ceria sungguh wajahnya.

Maka, itulah pertemuan pertamanya dengan Syifa. Mahu saja dia memperkenalkan dirinya dan menerangkan apa sebenarnya yang sedang berlaku di sekeliling yang tidak gadis itu ketahui tetapi dia tidak yakin jika itu adalah masa yang sesuai.
Pertemuan kedua di pejabat ayahnya tempoh hari semakin membuatkan hatinya berbunga-bunga.
“Oh, sudah!  Aku benar-benar sudah jatuh cinta!” Rafi menggeleng-geleng. Jika sebelum ini dia sakit telinga mendengar lagu hindi yang sayup-sayup kedengaran dari bilik Fifi, namun sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kepalanya ikut terlenggok-lenggok mendengar lagu-lagu itu!
“Hello, Kimi,” dia menyapa sebaik suara Hakimi kedengaran di hujung sana.
“Aku tunggu kau di pejabat sejak tadi. Datanglah sini. Ada customer tiba-tiba call aku awal pagi tadi. Itu yang terpaksa buka showroom. Empat orang ni. Aku tak terlayan nanti,”kata Hakimi.
“Iye ke? Kenapa tak inform aku awal-awal? Okey, sekarang aku datang,” jawab Rafi.
“Aku dah hantar mesej awal pagi lagi tapi kau tak balas,” Hakimi laju berkata.
Sorry..sorry…aku datang sekarang,” Rafi menamatkan perbualan lalu segera bergerak ke dapur.
“Mama, Rafi pergi dulu,ya?”
“Ke rumah Syifa ke? Rupanya Syifa buka butik tu hari ni. Maksudnya, dia tak ada kat rumah la tu,” maklum Puan Hamidah.
“Fifi sudah beritahu tadi. Eh, Fifi dah beritahu ke yang dia dah kerja? Kerja di butik Syifa pulak tu?”
“A’ah..Baru Fifi cakap tadi. Adakah patut nak jadi penyiasat kononnya? Macamlah Syifa tu nak buat entah apa-apa sehingga perlu disiasat sampai ke luar,” Puan Hamidah tergeleng-geleng.
“Nampaknya, mama sudah boleh meletakkan jawatan sebagai pembantu rumah di sana,kan? Mama di rumah saja la macam biasa. Biar Fifi pula yang jadi pemerhati,” kata Rafi dengan nada bergurau.
“Iyalah. Isnin nanti, last mama pergi ke sana. Mama akan bincang dengan Puan Puspa yang mama nak berhenti,” jawapan Puan Hamidah itu menggembirakan Rafi. Dia mengangguk senang hati.
“Rafi perlu ke pejabat. Ada kerja sikit. Kimi sedang menunggu Rafi di sana,” tangan Puan Hamidah dicium sebelum dia meninggalkan ruang.
Dilihatnya, kereta Vios putih yang dihadiahkannya untuk Fifi sudah tidak ada di tempat letak kereta. Pasti Fifi sudah bertolak, tekanya. Rafi memandu, meninggalkan perkarangan rumah dengan beberapa matlamat menggunung di dada. 
Syifa, aku akan memperkenalkan diri ini sebagaimana yang sepatutnya!

Wednesday, 21 August 2013

Boarding Pass Cinta?? -Bab 4-



Sebaik kakinya menyentuh karpet berbulu tebal di hadapan pintu butik, dia sudah diterjah dengan soalan daripada Hayati.
 “Macam mana? Habis tak selendang semua tu?”
 “Habis,” jawabnya pendek.
“Alhamdulillah…. Kalau habis, kenapa muka tu macam puding tak jadi aje aku tengok?” dia mengekori langkah Syifa masuk ke dalam pejabat. 

Pintu depan dirapatkan. Jika ada pelanggan masuk, pintu itu akan berbunyi juga dan mereka akan maklum.
“Bukan setakat puding tapi aku rasa muka aku ni dah macam kek bantat pun ada,” Syifa menghenyakkan punggung di atas kerusi empuk. 

Hembusan dari pendingin udara sedikit sebanyak melegakan perasaannya.
Kata-katanya itu disambut dengan gelak besar Hayati. 
“Kek bantat?” Ulang sahabatnya.
“Apa yang sudah berlaku sehingga wajah bosku yang comel ini menjadi kek bantat?” soalannya diiringi ketawa terkekeh-kekeh.
“Macam-macam!”
Tanpa menunggu lama, Syifa terus menceritakan satu persatu peristiwa yang berlaku sepanjang pagi tadi. Semakin galak Hayati ketawa.
“Baik hati juga rupanya lelaki itu. Eh, siapa nama lelaki tu?”
“Rafi…Rafi Fahri…,” ulang Syifa.
“Rupanya baik hati juga Encik Rafi tu, ek?” Hayati terangguk-angguk.
“Pemurah pulak tu,” tambah Syifa. Tergambar semula di ruang mata betapa kakak-kakak di dalam pejabat itu seronok membeli-belah secara percuma.
“Tak kisahlah apa yang berlaku, asalkan wang masuk banyak hari ini,” dia mengeluarkan wang hasil jualan selendang lalu diserahkannya kepada Hayati.
“Alhamdulillah. Butik pun terima banyak wang masuk hari ini. Oh, seperkara lagi. Sebuah majalah yang banyak menyiarkan tentang fesyen muslimah ada singgah ke sini tadi. Aku pun ambil kesempatan la bertanya-tanya tentang cara mengiklankan produk kita ke dalam majalah mereka. Maksud aku, kita buat sesi fotografi Raja Sarah dengan majalah tu. Apa pendapat kau?”
“Idea yang sangat bagus. Ada ambil nombor mereka yang boleh dihubungi untuk berurusan?”
“Beres. Kita hanya perlu siapkan secukupnya busana yang akan dipaparkan. Aku juga telah menghubungi sebuah syarikat pengeluar beg dan kasut yang terkenal untuk menaja penggambaran itu nanti. Syarikat itu sangat berbesar hati kerana mereka juga sedang dalam rangka mempromosikan produk keluaran terbaru mereka,” terang Hayati panjang lebar. 
“Hebat sungguh engkau,Yat! Memang otak geliga. Otak peniaga. Sekejap saja sudah tahu selok-belok memajukan perniagaan. Memang tepat pilihan aku,” puji Syifa.
“Jangan puji melambung. Nampak hidung aku yang mula nak mengembang ni? Kalau aku jadi tak cantik, aku mahu engkau bertanggungjawab untuk membiayai kos pembedahan plastik aku, okey?”
Syifa ketawa mendengar gurauan Hayati. Keakraban selama belajar dulu berterusan sehingga ke hari ini.
“Okeylah. Jom kita periksa stok yang ada. Sebaik segalanya lengkap, bolehlah hubungi pihak majalah tu,” ujar Syifa.
“Cuma, berkenaan lokasi penggambaran, engkau mahu dibuat di dalam studio, di dalam butik ini ataupun di luar?” soal Hayati.
“Kalau kat studio, kita kena angkut segala barang ni. Kalau buat kat luar, kita kena pastikan cuaca mengizinkan. Kalau buat dalam butik ini sahaja, selain butik ini dapat promosi percuma, jika ada penambahan apa-apa yang perlu last minute, tak ada masalah,”  ulas Syifa.
Hayati terangguk-angguk.
“Okey! Sambil kita pertimbangkan tentang itu, sambil kita periksa stok yang ada,” ajak Syifa.
Mereka mula meneliti satu persatu busana yang terpamer. Berbincang dengan teliti sehingga tidak sedar waktu berlalu. Mereka hanya berhenti bekerja jika ada pelanggan yang datang. Setiap busana yang dirasakan sesuai dipamerkan di dalam majalah, diasingkan.

Segalanya selesai apabila jarum pendek jam sudah menyentuh angka lapan. Sudah jam lapan malam rupanya.
“Dahaganya!”
Hayati mengeluh.
“Saya lapar….”
Serentak kedua gadis itu berpandangan lalu tergelak serentak.
“Jom! Kita cari makan,” Syifa bingkas. Dia menyambut huluran tangan Hayati dan cuba menarik rakannya itu berdiri. Hampir tidak berusik. Beratnya!
“Adoiii…makan apa ni? Batu-bata ke?”
Hayati tergelak panjang.
“Segala dahan, ranting, daun aku makan,” jawabnya sambil melentokkan pinggangnya ke kiri dan ke kanan. Cuba meregangkan tubuh yang banyak tertunduk-tunduk sejak tadi.
Melihat wajah keletihan Hayati, Syifa bertanya, “ Hendak makan apa? Aku belanja.”
“Aku dah kebulur sangat ni. Tak payahlah pergi jauh-jauh. Tak larat,” berkerut-kerut wajahnya menjawab.
“Nak aku bungkuskan dan kita makan di sini?” soal Syifa penuh prihatin.
“Selang dua lot dari butik ni, ada Restoran Nasi Ayam Istimewa. Buka 24 jam. Kita makan di sana aje la,” cadang Hayati.
“Set! Aku tak kisah makan apa saja waktu lapar,” Syifa memeriksa barang-barang peribadinya. Memastikan supaya telefon bimbit, dompet dan buku diari harian semuanya ada. 
Ting-tong…!
Bunyi di pintu utama butik menandakan ada orang yang masuk. Melalui CCTV dari dalam pejabat itu, mereka melihat seorang wanita muda sedang masuk.
“Macam mana? Kita dah nak keluar ni,” kata Syifa.
It’s ok. Biar aku pergi tengok,” lalu Hayati meminta diri.
Syifa membersihkan tangan di singki sementara Hayati melayan pelanggan yang boleh dianggap sebagai pelanggan terakhir untuk hari itu.
Hampir sepuluh minit menunggu namun kelibat Hayati tidak muncul-muncul. Perut Syifa mula rancak menyanyikan lagu 150 Juta. Beg tangan dicapai, disangkutkannya ke bahu kanan dan beredar ke ruang depan.
Dia berhenti melangkah apabila terlihat Hayati sedang bercakap dengan seorang wanita muda di celah-celah barisan jubah yang baru tiba.
‘Siapa perempuan itu? Takkanlah muka begitu serius? Hendak shopping, mesti dengan mood yang ceria, baru dapat memilih busana yang lawa,’komennya sendiri.
Dengan senyuman, Syifa menghampiri Hayati dan wanita muda itu.
“Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”
Serentak mereka berdua menoleh.
“Cik ni datang nak tanya jika kita perlukan pembantu di butik ni,” beritahu Hayati.
“Hai! Nama saya Fifi Arni. Panggil Fifi je,” wanita muda itu menghulurkan tangan untuk bersalam.
“Err..hai!” Syifa menyambut huluran itu. Seketika tangannya digenggam erat. Mata saling bertentangan dan berbalas senyuman sebelum eratnya salam itu dileraikan.
“Cik Syifa, saya sangat berminat dengan busana muslimah seperti ini. Selalu lihat dalam majalah sahaja. Berilah saya peluang untuk bekerja di sini. Gaji kecil pun tidak mengapa. Ini resume saya,” sebuah fail dihulurkan.
“Tetapi butik ini baru sahaja bermula. Saya belum mampu membayar gaji seorang pekerja. Lagipun, kerja bukannya banyak. Saya dan Cik Hayati pun mampu melakukan semuanya,” terang Syifa berhati-hati. Tidak sanggup mengecewakan hati wanita muda itu tetapi apa boleh buat, takkanlah dia mahu menanggung kos yang lebih tinggi untuk menbayar gaji seorang pekerja lagi.
“Seperti yang saya katakan tadi, gaji tidak penting. Saya memerlukan pengalaman untuk menyokong kerjaya saya pada masa depan. Saya berjanji akan bekerja bersungguh-sungguh dan akan setia dengan butik ini,jika diberi peluang,” bersungguh-sungguh benar dia merayu.
“Sekiranya diberi peluang, apa sumbangan yang boleh cik berikan pada butik ini?” Syifa menunjukkan muka serius.
“Jika diberi peluang, saya akan mereka hiasan-hiasan yang baru. Saya mempunyai kemahiran menjahit labuci dan manik-manik. Saya juga boleh membuat sulam untuk pakaian,” ceria wajahnya menerangkan.
“Hiasan macam mana awak maksudkan?” Hayati yang sejak tadi hanya memerhati mula menyampuk.
“Contohnya…err..,” wanita itu mencapai sepasang abaya yang sedang tergantung berdekatan.
“Contohnya macam ni. Abaya ini sangat cantik tetapi kurang menyerlah. Warna polos yang sangat cantik ini, jika saya tambahkan sedikit manik di bahagian leher dan hujung lengan, pasti nampak lebih bergaya. Dengan penambahan sedikit kilauan, harga pun boleh dinaikkan,” dengan yakin dia menerangkan.
Abaya itu disangkutkannya semula dan mencapai sepasang kurung moden.
“Bahagian pinggang baju kurung ini agak berpotongan. Potongan yang cantik ini boleh dijahitkan manik yang sesuai untuk menyerlahkan kelangsingan tubuh si pemakai,” tambahnya.
“Itu bagi fabrik kosong tanpa corak. Bagaimana jika fabrik yang berbunga-bunga? Sesuaikah dengan manik-manik dan labuci begitu?” soal Syifa mahu menguji.
“Fabrik berbunga boleh disesuaikan dengan hijab yang polos. Manik boleh ditambahkan sedikit pada selendang, tudung mahupun hijab yang mahu dipadankan dengan fabrik yang polo situ,” jawabnya.
“Baik. Saya suka dengan kesungguhan kamu. Saya akan beri kamu tempoh percubaan selama sebulan bekerja di sini. Jika saya dapat lihat komitmen dan kesungguhan kamu dan hasil kerja kamu memuaskan hati pelanggan, kamu akan terus diambil bekerja di sini. Jika tidak, maafkan saya. Saya terpaksa minta kamu mengundur diri. Okey?”
Syifa memandang Hayati yang setia mendengar. Hayati mengangguk tanda setuju.
“Alhamdulillah….Setelah lima butik saya pergi, di sini baru saya diterima,” luahnya lagi.
“Kenapa tidak diterima?” berkerut dahi Syifa bertanya.
“Sebab mereka mahukan pekerja yang mempunyai pengalaman bekerja sekurang-kurangnya tiga tahun,” balasnya.
“Oh…” hampir serentak Syifa dan Hayati mengangguk. Mulut terbentuk bulat seperti huruf  O kecil.
Greekkkk….
Pandangan mata Syifa jatuh ke arah bunyi itu muncul. Tersengih-sengih Hayati menutup bahagian perutnya.
“Baiklah, Cik…,” Syifa menjongketkan keningnya ke arah wanita muda itu.
“Fifi Arni. Panggil Fifi aje,” segera soalan itu dijawab beserta senyuman.
“Okey, Fifi. Bila boleh mula bekerja?”
“Esok pun boleh,” nada itu penuh semangat.
“Kalau begitu, butik dibuka tepat pukul sepuluh pagi. Pastikan datang paling lewat pun setengah jam sebelum butik dibuka,ya?” 
“Baik. Saya akan datang tepat jam sembilan setengah. Terima kasih kerana memberi saya peluang,” ucapnya sambil tertunduk-tunduk.
“Okey! Jumpa esok. Saya dan Cik Hayati kena tutup butik ni sekarang sebab ada hal penting yang perlu diselesaikan,” langkah Syifa menuju ke pintu dan dituruti oleh Hayati.
“Jumpa esok, Cik Syifa dan Cik Hayati.”
Syifa dan Hayati mengangguk dan dengan langkah tidak sabar kedua-duanya berjalan pantas menuju ke Restoran Nasi Ayam Istimewa yang berdekatan.
“Nasib baik ada meja kosong. Kalau tidak, sempat kebulur aku,” kelihatan Hayati melepaskan nafas penuh legas saat mereka melabuhkan punggung. Restoran itu agak sesak.
Seorang wanita separuh umur berbaju kurung kedah datang mengambil pesanan.
“Jus oren,dua. Nasi ayam sedap,dua,” pesan Hayati.
“Nasi ayam sedap?” wanita itu meminta kepastian.
“Ya. Saya lapar dan saya hanya mahu yang sedap-sedap saja,” mendengar kata-kata Hayati, wanita yang mengambil pesanan itu semakin berkerut-kerut dahinya.
“Maaflah,kak. Dia ni dah nak kebulur. Sebab tu bahasa dia pun jadi merapu-rapu. Bagi nasi ayam yang special tu je. Sebenarnya, itu yang dia maksudkan,” Syifa menyelamatkan keadaan.
“Oh, begitu!” dengans senyuman, wanita itu berlalu.
Syifa menendang kaki Hayati di bawah meja.
“Tak baik buat begitu tau! Kesian kakak tu aku tengok,” tegus Syifa.
“Aku gurau aje la. Aku dah lapar sangat. Kalau tak bergurau, nanti aku akan tambah tension dan perut ni lagi berkeroncong,” sambil terkekeh Hayati menjawab.
Jus oren yang dipesan sudah tiba. Masing-masing meneguk sedikit sekadar membasahkan tekak sementara makanan yang dipesan sampai.
“Tentang budak yang nama Fifi tu, engkau rasa, boleh percaya tak?” tiba-tiba keluar persoalan itu di bibir Hayati.
“Nampak macam okey. Apa pun, kita bagi dia tempoh percubaan dulu. Kalau tidak boleh diharap, kita persilakan dia keluar,” jawab Syifa.
“Idea dia tadi nampak bagus,kan?”
Dua set nasi Ayam Istimewa yang baru diletakkan, aromanya membangkitkan selera.
“Lepas ni, baru kita fikirkan hal butik. Jom kita isi perut dulu,” ajak Syifa dan disambut anggukan dari sahabatnya itu.
Sambil menikmati hidangan, mereka senyap tidak bersuara. Benar-benar melayan permintaan perut yang sedang lapar.
“Syifa…,” bisikan Hayati yang amat perlahan menghentikan suapan Syifa yang terakhir. Dia membesarkan mata pada Hayati tanda bertanya.
Hayati pula memuncungkan mulutnya ke sebelah kiri. Dengan ekor mata, Syifa mengekori arah yang ditunjukkan.
Gulpp!!
Encik Rafi Fahri!
Dia perlahan-lahan melirik ke arah yang sama sekali lagi. Kali ini mahu memastikan yang dia tidak salah tengok dan paling penting dia mahu melihat wajah wanita yang sedang masuk beriringan ke dalam restoran yang sama itu.
‘India? Nampak berumur tapi masih bergaya,’ komennya dalam hati.
Nasib baik Rafi dan wanita yang berjalan beriringan dengannya itu duduk agak jauh.
“Cepat habiskan makanan. Kita keluar cepat-cepat dari sini,” bisik Syifa.
“Kenapa nak pergi cepat-cepat?”
“Sebab aku rasa pelik. Hari tu, aku terlihat dia dengan si mata sepet, kali ni dengan si hitam manis pula,” balas Syifa.
“Takpe. Lepas ni dengan si mata bundar pula,” tanpa risau, Hayati menambah.
“Maksud kau?” Syifa mengecilkan matanya memandang Hayati.
“Engkaulah! Si Mata Bundar!”
“Aku baru nak jatuh hati bila terlihat kemurahan hatinya pagi tadi, tapi sekarang aku mula sangsi. Dia ni anak ikan ke?”
“Anak ikan apanya?  Dia anak mak ayah dia la,” Hayati menahan gelak. Pura-pura tidak memahami apa yang Syifa maksudkan.
“Walau apa sebabnya, aku memang rasa pelik!” ujar Syifa tidak puas hati kerana Hayati tidak melayan kerisauan hatinya.
“Mungkin hanya klien. Tak baik bersangka buruk. Kau pun bukan kenal sangat dengan dia,kan?”
“Jomlah!”
Hayati memandang wajah Syifa.
“Jom apa?”
“Jom balik rumah. Okey! Ambik duit ni, tolong bayarkan,ye? Aku tunggu di luar,” Syifa mengangkat punggung dan berlalu. Dia sempat memberi isyarat kepada Hayati agar cepat sedikit selesai.
Hayati menghabiskan jus oren yang tinggal separuh. Dalam perjalanan menuju ke kaunter itu, dia sempat mencuri pandang ke arah Rafi Fahri yang sedang leka berbual.
“Memang kacak dan berkarisma,” pujinya dalam hati. Bila dia terpandangkan Syifa yang menjegilkan mata ke arahnya, mahu dia cepat-cepat beredar, dia segera menjelaskan bil dan keluar dari restoran itu.
“Dia memang kacaklah!” puji Hayati sebaik dia menghampiri Syifa.
“Sebab tu dia jadi anak ikan,” cebik Syifa.
“Tak baik bersangka buruk. Dah berapa kali aku ulang,” tegur Hayati.
“Aku tak suka tengoklah dia bertukar-tukar pasangan macam tu,” keluh Syifa tiba-tiba.
“Dah jatuh cinta?” 
Pertanyaan spontan Hayati membuatkan kaki Syifa seperti dipasangkan brek mati.
“Kalau dia kekal dengan sikap budiman dia yang aku suka tu, dengan sikap lucu-lucu hensem dia tu, rasanya aku akan jatuh cinta. Tapi, sekarang jangan haraplah. Lelaki yang bertukar-tukar pasangan begitu, pasti sudah dihinggapi pelbagai jenis penyakit. Oh! Aku tak rela,” Hayati tergelak besar melihat Syifa yang menuturkan ayat terakhir itu dengan gaya ala-ala perempuan celup!
“Okey! Esok kita jumpa lagi,ya? Malam ni rehat cukup-cukup,” pesan Syifa kepada Hayati apabila mereka tiba di tempat meletak kereta.
“Ya. Jangan lupa touch-up blog kita tu,ya? Selain menjual di butik, kita gunakan blog tu juga untuk mempromosi dan menjual produk,” balas Hayati.
“Okey, set!”
Masing-masing hilang di dalam perut kereta dan mula meninggalkan kawasan itu.